Ada rancangan mahu ke Banda Aceh?

 

Banda Aceh sememangnya antara destinasi yang menarik untuk dilawati. Kepada yang beragama Islam, makanan halal tak perlu dirisaukan. Rata-ratanya HALAL dan BERSIH.

 

Saya Backpacker menyarankan beberapa jenis makanan yang patut kau orang semua cuba. Rugi tak rasa. Sedapnya, masya-Allah, memang terbaik.

 

Antaranya:

nasi bebek

  1. Nasi Bebek
  • Ia adalah sarapan orang Aceh. Bebek itu maksudnya itik. Nasi bebek terdiri daripada nasi putih, rendang itik, sambal yang tidak pedas, keropok, dan sejenis masakan menyerupai sambal goreng jawa.
  • Banyak gerai yang menghidangkan nasi bebek. Jika di Malaysia kita ada nasi lemak yang dijual merata-rata, samalah dengan nasi bebek ini.

 

  1. Ayam TangkapAyam Tangkap
  • Ayam ini adalah ayam kampung yang digoreng garing bersama rempah ratus yang tertentu. Ia dihidang bersama juadah lauk yang lain seperti nasi padang. Isi ayamnya sangat lembut dan keenakan rempahnya terasa.
  • Mana mahu cari? Sila ke Warung Nasi Hasan yang mempunyai beberapa cawangan di Banda Aceh.

murtabak daging aceh

  1. Murtabak Aceh
  • Ia tidak sama dengan murtabak di Malaysia. Kalau nak digambarkan, ia seperti telur dadar yang ditaruk daging atau ayam dengan kuantiti yang memuaskan hati dan dicicah dengan kuah kari yang cair. Bak kata orang kedai, kuah kari ceroi.
  • Selalunya ia terdapat di kedai-kedai kopi di Aceh.

Mie Kepiting Razali

  1. Mie Kepiting di Gerai Mie Razali
  • Ini adalah hidangan mi Aceh yang terkenal. Rasanya bukan sepeti mi goreng di Malaysia. Bumbunya berbeza dan menjanjikan rasa yang sangat enak dan bakal meninggalkan igauan dan rindu dendam yang mendalam. Sehingga hari ini, saya sendiri tak mampu menatap gambar mi ini lama-lama kerana hati membuak-buak ingin ke Aceh semata-mata ingin mendapatkan hidangan ini.
  • Kepiting bermaksud ketam. Anda boleh memilih ‘cumi-cumi’ iaitu sotong, atau udang, daging dan juga ayam. Mereka akan meletakkan bahan-bahan ini dengan banyaknya sehingga kita merasa puas sekali.

Mie Lepung Aceh

  1. Mie Leupung Aceh
  • Sebenarnya mi Aceh ini ada dua jenis cara masak. Satu digoreng basah seperti gambar nombor 4 itu, satu lagi dimasak berkuah. Itu sahaja bezanya. Jika ikut selera tekak saya, yang berkuah memang lebih saya gemari kerana rasa ketam atau apa saja lauk yang kau orang pilih terasa meresap di dalam kuah mi itu tadi. Yang paling popular adalah Mie Kepiting kerana ketam boleh dipilih di dalam akuarium. Saiznya sama besar dengan pinggan nasi, bayangkanlah.
  • Gerai Mie Leupung Aceh ini agak jauh dari Banda Aceh. Ia terletak di daerah Leupung yang di kelilingi bukit bukau dan hutan. Rumah-rumah penempatan semula mangsa Aceh juga banyak yang dibina di daerah ini.

Kopi Acheh

  1. Kopi Aceh
  • Jangan terkejut melihat kedai-kedai kopi di Aceh sentiasa penuh dengan manusia 24 jam. Kopi Aceh memang antara kopi paling sedap pernah saya rasa. Malangnya, apabila saya bawa pulang serbuk kopi Aceh ke Malaysia dan membancuhnya, rasanya langsung tak sama. Saya perhatikan di dapur kedai kopi di Aceh, cara membancuh kopi atau “brewing method” mereka memang istimewa. Agaknya itulah sebab mengapa rasa kopi yang saya buat sangat berbeza.
  • Jika memesan kopi susu, perlu diingatkan supaya memesan kopi susu kurang manis. Susu yang diletakkan ke dalam air kopi adalah separuh dari cawan itu.
  • Dan rasalah roti kaya sekali. Kayanya dibuat sendiri dan rotinya sangat lembut. Gandingan yang mantap apabila diminum bersama kopi Aceh.
  • Menurut supir yang bernama Cek Nasir, kedai kopi yang terkenal adalah Kedai Kopi Solong, Ulee Kareng, Banda Aceh.

 

Bolehlah kau orang cuba mana-mana menu yang kami cadangkan tadi. Selamat ber’backpack’ ke Aceh!

 

-NAS-