Pada 31 Disember 2018 sehingga 9 Januari 2019, saya dan Anie berada di Harbin, China. Ia berada di wilayang Heilongqiang. Kedudukannya di utara China dan berhampiran dengan negara Rusia. Masa kami pergi tu musim sejuk. Merasalah suhu -23 darjah celcius!

Biasalah, negara China ni agak ketat penggunaan Google, Facebook dan pelbagai laman yang dibangunkan Amerika dan yang sewaktu dengannya. Jadi, saya nak kongsikan beberapa aplikasi yang memudahkan kembara kami ke China Januari lepas. Kami dah gunakan dan semuanya berjalan dengan lancar. Syukur.

Ada enam aplikasi yang sangat berguna. Di China, sekurang-kurangnya di wilayah Heilongqiang, hampir semua penduduk tempatan tak boleh berbahasa Inggeris.

Sebelum saya beritahu enam aplikasi ini, elok saya ceritakan tentang penggunaan internet di Tanah Besar. Sebagai pengguna prepaid, saya telah melanggan DiGi Roam 3-Day (RM25) CHN. Maxis pun boleh. Kadarnya RM20 untuk tiga hari tetapi terhad kepada 500 MB. Maklumat mengenai data ini relevan sehingga tarikh artikel ini ditulis iaitu 5 Mac 2019.

Baik, cara untuk aktifkan roaming data bagi DiGi, tutup mobile data sebelum meninggalkan Malaysia. Apabila tiba di China, lakukan aturan telefon dengan memilih “Mobile Network>Data Roaming>Carrier:China Mobile”. Kemudian dail *128*5# dan pilih RM25 untuk 72 jam dengan jumlah data 2GB. Selepas menerima sms daripada DiGi, barulah aktifkan mobile data semula. Yang bagusnya, segala yang disekat seperti Facebook, Google Maps, Google, IG, semuanya boleh diakses.

Okey, sekarang tentang aplikasi.

 

  1. Baidu Map (Peta)

Walaupun boleh buka Google Maps, tetapi dengan ‘ketinggian tembok China’, banyak jalan dan lorong yang tak dikesan Google. Senang cakap, Google Maps agak tidak lengkap jika digunakan di Tanah Besar. Di China, Baidu Map sangat berguna kerana kita boleh dapat maklumat lengkap tentang laluan bas yang mana untuk ke destinasi kita. Ia juga lengkap dengan maklumat tambang dan waktu operasi. Segala perincian tentang metro, teksi dan kereta sewa, semuanya ada. Malangnya, bahasa dan tulisan yang digunakan hanya Mandarin. Di sinilah pentingnya aplikasi kamus. Anda boleh snap shot peta, buka semula gambar tersebut di aplikasi Translator dan ia akan alih bahasa maklumat di situ. Anda juga boleh taip nama tempat di aplikasi Translator untuk mendapatkan nama tersebut dalam bahasa Cina. Kemudian salin perkataan itu ke Baidu Map. Setelah mendapat segala maklumat, snapshot kembali hasil carian di Baidu Map dan tempekkan di aplikasi Translator. Begitulah yang kami lakukan ketika di Harbin.

 

  1. Translator (Kamus)

Saya menggunakan aplikasi Translator dari Microsoft. Untuk bahasa Chinese Simplified, Inggeris dan Bahasa Melayu, ia telah saya muat turun siap-siap ketika di Malaysia supaya boleh digunakan ketika ketiadaan Internet. Bagusnya aplikasi ini, kita boleh mengambil gambar tulisan dan ia terus mengalih-bahasakan tulisan di dalam gambar tersebut. Saya banyak gunakan kamus ini ketika melakukan snapshot peta Baidu atau jika mahu menaip nama lokasi dalam bahasa Cina untuk di ‘paste’ ke Baidu Map. Selain itu, kita boleh berkomunikasi dengan orang tempatan menggunakan kamus ini. Alternatif lain, boleh gunakan Google Maps atau Hanping Lite. Cuma Hanping Lite, untuk alih bahasa gambar, kita perlu membeli versi advance.

  1. Trip.com.

Walaupun boleh menempah penginapan dari booking.com dan Agoda, Trip.com lebih berguna di China. Hotel yang ditawarkan lebih banyak dan digunakan secara meluas. Malah ia lebih dipercayai.

Ketika menggunakan booking.com pada hari pertama kami di Harbin (1 Jan 2019), hotel yang ditempah tidak wujud. Kami cuba tempah hotel lain di aplikasi yang sama, jumpa hotelnya tapi kedudukan dalam peta yang disediakan jauh menyimpang dua kilometer. Trip.com adalah versi bahasa Inggeris. Versi China adalah Ctrip.com. Rakyat China sendiri banyak menggunakan aplikasi ini. Untuk membaca review dalam bahasa Cina, boleh guna Translator. Setakat ni, hotel yang kami tempah melalui Trip.com memang tak ada masalah, lebih murah dan bagus sekali. Contohnya salah satu hotel kami di Harbin, harganya RM83 semalam. Ruangnya besar, biliknya bersih, cantik, kedudukannya dekat dengan hentian bas, kedai-kedai, Carrefour dan restoran makanan halal!

Oh ya, Trip.com boleh menyenangkan kita membeli segala tiket tren di China. Jadualnya lengkap dan boleh pilih jenis tren sama ada keretapi peluru atau yang biasa. Harganya pun lengkap cuma ada sedikit upah untuk pengendali. Selepas membeli, kita akan diberi kod. Kemudian pergi ke kaunter tiket keretapi, tunjukkan kod untuk menukar tiket.

 

 

  1. Didi – Greater China

Aplikasi ini menggantikan Grab dan Uber. Kita cuma perlu ada akaun We Chat untuk mendaftar. Aplikasi ini versi yang ada bahasa Inggeris, malah boleh alih bahasa komunikasi antara kita dan pemandu. Boleh pilih cara bayaran juga. Kalau nak pilih kenderaan lebih mewah pun, boleh. Untuk saya, cukuplah setakat teksi dan kereta biasa. Jika pilih teksi, bayarannya mengikut meter. Seperti Grab, kita boleh tahu lokasi pemandu dan laluan yang digunakan. Nama tempat pun boleh masukkan dalam tulisan rumi. Versi China adalah Didi Yucheng. Anda digalakkan membayar tambang menggunakan akaun debit yang telah kita daftar dalam aplikasi ini. Ramai pemandu tak suka menerima tunai. Mereka lebih gemar bayaran melalui WeChat atau terus tolak akaun debit dari aplikasi Didi ini.

 

  1. We Chat

Aplikasi ini sangat berguna terutamanya apabila mahu mendaftar aplikasi di atas. Dan ia juga boleh digunakan untuk berhubung dengan pihak hotel jika terpaksa. Contohnya jika kita tak tahu lokasi atau hotel tersebut menawarkan servis mengambil dan menghantar. Kita perlu menghubungi mereka jika perlukan servis ini. Selain itu, di China, mereka membayar ketika membeli belah atau tambang pun menggunakan We Chat. Anda boleh top-up wang di dalam aplikasi tersebut. Wang akan ditolak setiap kali kita imbas kod ketika membeli atau membayar tambang. Lagi satu, jika kita guna WiFi di China dan tak boleh nak lakukan carian di Google, We Chat boleh dijadikan ‘search engine’ juga. Cuma tidaklah begitu banyak maklumatnya seperti di Google. Oh ya, jika anda berkomunikasi dengan orang tempatan menggunakan We Chat, taip saja guna bahasa anda atau bahasa Inggeris, si penerima warga tempatan akan boleh terus membacanya di We Chat mereka dengan hanya menekan perkataan translate. Jika mereka balas menggunakan bahasa Cina, kita juga boleh terus alih bahasa di We Chat itu saja. Senang, kan?

 

  1. Turbo VPN

Aplikasi ini digunakan untuk menembusi laman sesawang atau aplikasi yang disekat negara China. Jika guna Wi-Fi hotel, bolehlah aktifkan Turbo VPN dan ber’whatsapp‘lah sepuasnya. Setakat ni, kami tiada masalah menggunakan aplikasi ini walaupun dikatakan negara ini menyekat penggunaan VPN di talian.

 

********

Semoga maklumat yang kami kongsikan ini memberi manfaat kepada anda yang nak ke Tanah Besar. Selamat mengembara!

Ukiran Ais di Zhaolin Park, Harbin