Non from Thailand
Bersama Non dari Thailand di pantri hostel

Kepada yang baru nak berjinak-jinak dengan dunia backpacker, apa kata biasa-biasakan duduk bilik hostel. Memanglah hotel atau private room lebih privasi, mudah nak solat dan tak risau barang kena kacau atau tak, TAPI cuba rasa tinggal di hostel. Kenapa? Ok, Saya Backpacker kongsikan sebab-sebabnya:-

  1. Hostel lebih murah kerana kita bayar ikut individu, atau katil dan kita kongsi kemudahahan seperti tandas, bilik mandi, pantri, TV dan lain-lain lagi yang ditawarkan pihak hostel.
  1. Tawaran harganya berpatutan walaupun di negara yang kos sara hidupnya tinggi seperti Korea Selatan, Jepun, negara-negara Eropah, Singapura, Australia dan di benua Amerika. Rata-ratanya serendah US$ 5-10
  1. Dapat bergaul dengan rakan kembara dari pelbagai negara. Ia bukan saja terhad di dorm anda saja, tapi ketika berkumpul di pantri atau ruang tamu.
Yamosh From Turki
Lepak di kafe bersama Yamosh dari Turki
  1. Hasil dari perkenalan dengan rakan dari pelbagai negara membuka peluang yang lebih besar seperti mereka tawarkan penginapan percuma jika mengembara ke negara mereka, mereka beri barangan yang mereka tak mahu bawa pulang ke negara mereka atau jual murah-murah saja dan mereka akan bertukar-tukar tips kembara di tempat-tempat yang telah mereka lawati.
  1. Lokasi hostel kebanyakannya berhampiran dengan kawasan tumpuan dan kemudahan awam seperti stesen subway, stesen bas, berada di tengah atau berhampiran bandar yang mudah cari makan dan beli barang keperluan serta dekat dengan tempat pelancongan.
  1. Menikmati kemudahan percuma atau diberi bersama pakej hostel seperti pantri (boleh memasak dan sesetengahnya dapat sarapan percuma) dan mesin basuh (basuh baju sendiri).
Charlene from Singapore
Bersama Charlene dari Singapura di female dorm
  1. Mudah mendapatkan pengangkutan alternatif yang diuruskan pihak hostel seperti ada motorsikal sewa, basikal sewa, ada kemudahan tempah bas atau tren dan pengurusan pakej-pakej panjat gunung atau trekking atau apa saja aktiviti yang terkenal di negara tersebut oleh pihak hostel. Hotel pun ada tapi mahal. Motor dan basikal sewa pula jarang disediakan pihak hotel, ada tapi tak meluas sangat seperti yang ditawar di hostel-hostel.
  • CUMA, Saya Backpacker secara peribadi tak galakkan anda guna mix-dorm atau dorm campuran lelaki perempuan demi menjaga etika, kesopanan, tuntutan agama dan keselamatan para backpacker sekalian. Terpulang anda untuk menilai.

Orait, apa macam? Saya Backpacker cabar anda yang belum rasa duduk hostel cuba untuk next trip anda. Sahabat saya yang dah berstatus ibu dan isteri, buat pertama kali rasa tinggal di hostel semasa trip saya ke Seoul, masa tu dia kata, “Best rupanya tinggal di hostel, dapat kenal macam-macam orang dan dapat banyak pengetahuan baru,” ha….tengok! Nampak tak?

Ok semua, selamat berbackpack!

Nak tips bajet backpack lagi banyak? Boleh baca DI SINI dan Di SINI JUGA.

Backpackers from Hong Kong
Bersama backpackers dari Hong Kong