Oleh Siti Noridah (ET)

Bagi peminat air terjun, saya cadangkan untuk melawat daerah Sikkim di India. Tak pernahlah saya jumpa tempat yang ada bagitu banyak air terjun, seperti yang ada di sini.

Untuk ke Sikkim, mula-mula perlu mendapatkan In-Line Permit (ILP) dari pejabat District Magistrate yang terletak di bandar Darjeeling. Permit percuma sahaja. Cuma perlu isi satu borang ringkas kemudian kepilkan bersama salinan Indian e-Visa dan 2 keping gambar bewarna berukuran pasport. Biasanya tak lama pun, macam saya cuma perlu menunggu 30 minit sahaja untuk mereka siapkan permit. Simple.

Di Darjeeling saya bertemu dengan seorang pengembara solo bernama Natalie dari Belgium. Sebetulnya kami menginap di homestay yang sama di Darjeeling dan kemudian merancang untuk ke Sikkim bersama-sama. Natalie seorang artis pelukis tattoo dan saya sering teruja dengan cerita-cerita dia. Kami click seperti sudah kenal lama. Setelah hampir seminggu juga berada di Darjeeling, kami mulakan pengembaraan ke destinasi yang seterusnya iaitu Sikkim.

Gangtok ialah bandar bagi daerah Sikkim. Memang berbeza betul vibe Gangtok kalau nak dibandingkan dengan bandar-bandar lain yang pernah saya lawati di India. Di sini, pengaruh Tibetan sudah jelas kelihatan dari segi rupa paras orang tempatan, makanan dan seni binanya. Tak hairan juga, sebab sempadan Sikkim ke Tibet, China sudah tidak berapa jauh pun.
Saya dan Natalie merancang untuk ke utara Sikkim, iaitu kawasan yang sudah berdekatan dengan sempadan Tibet, China. Untuk ke utara Sikkim, kami wajib mendapatkan satu lagi permit iaitu North Sikkim Permit melalui mana-mana travel agensi yang ada di Gangtok.

Perjalanan kami dengan 4×4 dari Gangtok ke utara Sikkim iaitu Lachung, diiringi pergunungan banjaran Himalaya yang tersergam indah di kanan dan kiri jalan. Air terjun tak terkira banyaknya. Lepas satu, satu. Selama 8 jam perjalanan kami dari Gangtok ke Lachung, entah-entah ada lebih kurang 15 ke 20 air terjun yang kami jumpa. Air terjun biasanya melimpah sehingga ke jalan. Seronok betul bila 4×4 meredah air terjun, baju habis basah lencun tapi semakin buat teruja!

Di utara Sikkim, penggunaan botol plastik tidak dibenarkan sama sekali. Jika didapati bersalah boleh didenda ya. Pemandu 4×4 sempat mengingatkan kami berdua, supaya periksa bag dan pastikan tidak terbawa botol plastik. Jika terbawa, tak pasal-pasal pula kami boleh didenda. Sebab itulah saya perasan, alam sekitar di sini masih tip top dan terjaga rapi. Jauh dari pencemaran. Udara lebih segar dan sangat fresh begitu.

Selalunya bila sebut tentang negara India, perkara pertama yang terlintas di kepala ialah kotor dan kotor dan kotor. Tetapi yang sebenarnya, terlalu banyak kawasan yang indah jauh dari pencemaran begini. Tetapi perlu masuk di pedalaman, dapatkan permit itu dan ini. Leceh memang leceh, tapi pada saya amat berbaloi. Masih terlalu banyak tempat di India yang saya nak terokai. Covid cepatlah pergi!