Penulis: Rohaniah Noor

Malam tadi, saya susah nak terlelap. Bunyi air sungai yang menderu sepatutnya buat saya tenang untuk tidur. Saya memang tak boleh tidur dalam sunyi. Tapi, nampaknya mata masih terbuntang besar.

Saya ada bawak speaker bluetooth. Sambung dengan handphone, pasang spotify. Lagu-lagu Lofi untuk tidur biasanya juga dapat memejamkan mata dengan pantas, tapi tidak malam ni. Di sebelah kiri saya, Dahlia nampak dah sedap lena. Jeles betul.

Jam 12.30, untuk kali keempat pada tengah malam ni, saya keluar dari khemah sebab nak terbuang air kecil. Haih.. Dah la tandas kat belah atas tu. Kena lalu dua khemah, naik tangga dan lalu depan satu chalet. Barulah sampai di tandas.

Akhirnya entah jam berapa baru saya terlelap. Tak tau ada mimpi apa ke tak, tapi saya tersedar beberapa kali kesejukan dalam khemah. Cepat-cepat saya tarik sleeping bag sampai kepala. Merengkuk.

Jam 6 pagi, alarm berbunyi. Arghh.. alarm masa Pesta Buku Selangor ni. Awal sangat. Sepatutnya 6.30 la baru bunyi. Huhuh….

Bila dah alarm berbunyi, saya dah tak boleh tidur dah. Huhuhu…

Jam 7 pagi, saya dan Dahlia mula bersiap. Mandi, kemas barang dan lipat khemah. Dahlia juga bancuhkan americano panas. Minum tepi sungai.

Pagi ni, kami akan buat white water rafting di Sungai Sedim ni. Yeayy.. white water rafting keempat saya setakat ni.

Kali pertama saya buat white water rafting atau WWR ni di Gopeng, kali kedua di Kuala Kubu Bahru dan kali ketiga di Ulu Slim. Jadi, saya amat teruja untuk buat white water rafting lagi. Bila Dahlia kata dia teringin nak buat WWR kat sini, saya terus setuju. Tiada bantahan.

Jam 9 pagi, guide sampai di pintu masuk Anjung Sireh Sedim ni. Tempat permulaan kami rafting nanti kat depan Taman Eko Rimba Sungai Sedim. Dekat dengan Tree Top Walk. Tak jauh dari Anjung Sireh ni. Jadi en Ikram, boss RapidFire yang operate wwr ni kata guide boleh ambik. Terbaik.

Bercakap pasal Tree Top Walk Sungai Sedim , dah lama saya teringin nak naik benda alah ni. Pernah tengok Kaz Hariz bawak isteri dan anak-anak dia di Youtube panjat laluan tinggi kat celah-celah pokok tinggi ni. Tapi, nampaknya hajat saya tak kesampaian. Sebabnya, sejak 10 November semua Hutan Eko Rimba di Kedah ditutup, termasuklah Tree Top Walk. Sampai bila tutup, tak tau. Sehingga akan dimaklumkan kemudian katanya.

Kami dan guide menunggu kedatangan guide lain dan satu lagi group peserta. Pagi ni hanya ada kami berdua dan 4 orang lelaki je yang akan jadi peserta wwr ni. Tak ramai. Operator sediakan dua bot sahaja untuk kami 2 kumpulan.

Mula-mula kita buat water confident. Guide akan brief cara kalau kami terjatuh dalam air dan mereka akan baling tali untuk selamatkan kita. Kita kena pegang tali tu dengan cara yang betul. Haaa.. jadi, untuk water confident ni kami kena la lomat ke dalam air sorang-sorang dan demo macamana cara yang betul bila penyelamat baling tali untuk selamatkan kami.

Dah siap ubat water confident dan briefing peraturan di bot, kami pun mulakan sesi rafting ni. Air banyak tapi batu pun banyak. Ada beberapa jeram yang best yang kami kena lalu. Sampai la kat jeram paling besar dan popular kat sini. Namanya Elbow Fall. Fuhh. Ada beberapa tingkat batu-batu kat sini. Airnya tinggi turun ke bawah beberapa tingkat. Kami kena turun dari bot. Kemudian, guide angkat bot kami ke tepi kiri. Barulah boleh sambung semula perjalanan melalui jeram ni. Dua guide lagi dah standby kat bawah dengan tali penyelamat. Mana tau bot tergolek nanti.

Tapi disebabkan bot saya dan Dahlia tu ringan, Cuma bertiga dengan guide, bot kami dapat bertahan atas air sambil menerjunkan diri ke bawah jeram yang penuh dengan arus air berbuih-buih laju ni. Dia punya adrenalin dalam badan mengalir laju.. fuhhh.. mendebarkan tetapi seronok.

Tapi kami je yang bot tak tenggelam. Bot group lelaki tu tenggelam. haaa.. kami nasib baik.

Ada beberapa jeram lagi yang kami lalui di sini. Semuanya mencabar. Saya boleh katakan, dari 4 lokasi WWR yang saya dah harungi, Sungai Sedim yang terbaik.

Selepas melalui beberapa jeram, kami akhirnya melalui kawasan yang penuh batu-batu. Mereka kata, ini Stone Garden. Berapa kali bot tersangkut sebab dihalang batu-batu ni. Dah kami kena beralhir tempat ke kiri, ke kanan dan ke belakang untuk gerakkan bot. Tak lama lepas tu, bot lalu kat campsite Anjung Sireh dan beberapa campsite di sebelahnya hinggalah akhirnya perjalanan ini tamat kat depan tu sikit je lagi.

Jam 11.30 kami sampai semula ke Anjung Sireh. Mandi sungai lagi sekali. Kemudian baru tukar baju dan keluar dari Anjung Sireh. Kami singgah di kedai makan tak jauh dari sini untuk makan tengahari. Kebuloq dah perut kami haihh…