Penulis: Rohaniah Noor

Selepas makan tengahari, kami teruskan perjalanan ke Baling. Lalu jalan dalam menuju ke hotel yang saya dah booking melalui telefon kelmarinnya.

Penawar Inn, nama hotel ni. Sebenarnya ia sederet bilik penginapan yang dibina oleh orang tempatan. Lokasinya betul-betul tepi jalan utama dari Kupang ke Baling. Jam 2.20 kami sampai sini, terus check in.

Penawar Inn ni ada 5 bilik semuanya. Kami ambik bilik yang ada 2 katil single. Biliknya besar. Ada meja dan kerusi kerja, ada set kerusi kat beranda dan ada set kerusi tepi katil. Kat ruangan dapur ada minibar dan iron. Kat bilik air, lengkap dengan water heater. Harga satu malam cuma RM80 sahaja.

Bila perut dah kekenyangan, badan pula letih main air, lepas tu nampak katil pulak.. aduhaii.. sedapnya kalau lelap. Dahlia cuba lelapkan mata. Saya pula ghalit test meja dan kerusi kerja. Backup gambar-gambar dari memory card handphone ke notebook. Handphone saya masuk air lagi tadi. Walaupun dah pakai sarung waterproof, tapi tetap masuk air lagi. Aduhhhh…

Dahlia pula tak dapat tidur walaupun matanya mengantuk sangat. Sebabnya aircond kat biik ni agak kurang sejuk. Masih terasa bahang panas lit lit di luar. Alahai, kesian dia.. sampai baring atas lantai mozek yang sejuk untuk selesakan badan.

Dalam jam 4 petang, kami terpaksa keluar juga. Nak mendobi baju yang basah main rafting tadi. Saya pun nak beli sekilo beras. Nak letak handphone saya yang terkena air tu, dalam bekas beras.

Lepas settle dua perkara ni,kami balik sahaja ke bilik. Keletihan, jadi rehat-rehat sahaja.

Lepas maghrib, korang buat apa? Haa kami ada projek menarik. Kami bersiap dan bertolak ke Pusat Rekreaksi Air Panas Ulu Lengong.

Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lenggong ni merupakan sebuah tempat yang ada banyak kolam air panas. Siap ada bilik-bilik penginapan lagi. Kolamnya pula ada pelbagai saiz. Ada untuk dewasa, ada juga untuk kanak-kanak.

Tempat ni dibuka dari jam 8 pagi – 12 tengah malam. Haa.. ya.. tu yang kami pergi malam. Gerak dalam jam 8.35 malam dari hotel, jam 9.10 malam sampai. Tiket masuk RM8 seorang dewasa.

Ada ramai juga orang malam ni. Ahad agaknya kan. Tapi kawasan ni besar jugak. Ada banyak kolam, jadi walaupun ada ramai orang, masih ada ruang untuk kita celup air atau berenang dalam kolam tu.

Air untuk kolam-kolam ni juga memang suam kuat. Ibarat masak air satu cerek, kemudian tuang dalam baldi bersaiz sederhana. Kemudian masukkan air biasa ke dalam baldi tu. Haaa.. panas lagi kan.. tak la melepuh, tapi lebih panas dari suam.

Tapi ada satu kolam tu, panas betul. Macam air baru dimasak di cerek. Mungkin tu air asal yang tak dibancuh. Ia berpalang besi sampai atas. Mungkin untuk keselamatan, takut ada orang termasuk dalam kolam tu. Saya dah Dahlia duduk bertenggek juga kat depan palang tu. Nak cecah kaki. Fuhh.. memang panas. Kalau termasuk dalam kolam ni, mau melepuh.

Kat sini juga ada kemudahan surau, tandas, bilik mandi dan persalinan serta beberapa kedai menjual makanan. Ada juga yang bawak bekal makanan dari luar dan berpiknik satu keluarga di tepi-tepi kolam. Tapi yang paling best, ada satu khemah dipasang. Bila anak dia tukar kolam lain, mak ayah dia alihkan khemah tu ke kolam yang anak dia berpindah tu pulak. Lejen.

Jam 11.15 malam, korang mesti dah tidur kan. Tapi suasana kat Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lenggong ni makin meriah. Masih ramai yang baru masuk. Agaknya, dapat mandi air panas setengah jam pun dah ok sangat dah ni. Haaa

Kami berdua keluar dari sini dalam jam 11.30 malam. Puas berendam dan merasa kolam air panas ni. Pengalaman saya yang pernah ke Air Panas Sungai Klah dan Poring Hot Spring di Kundasang, saya berpandangan, air di Ulu Lengong ni lebih panas lagi. Lebih meriah sebab bukak sampai tengah malam. Kalau dapat bermalam di bilik penginapan kat sana, agaknya lagi lah boleh berendam jam 4 pagi pun.

So, kalau KL, Sunway Lagoon pun tutup jam 6 petang, orang Baling kata, ellee.. kami lagi power. Jam 11 malam pergi mandi kolam air panas tau…