Penulis: Rohaniah Noor

Semalam, masa kami kat Lata Bayu, Azza dan Mija kata mereka nak panjat Gunung Keriang esok. Lepas tu belah petang baru panjat Bukit Mok Cun.

Gunung Keriang memang ada dalam cadangan Dahlia masa mula-mula saya offer dia ikut trip Kedah saya ni. Saya setuju hike ke sana sebab dia kata, pemandangan atas tu lawa. Tapi sebab dia terpaksa tunda tarikh kembara, dari plan asal 7 hari ke 6 hari je, saya rasa kami terpaksa potong Gunung Keriang dari plan itinerari.

Yelah.. sebab gunung ni kat Alor Setar. Sedangkan kami dah kena cut satu hari kan. Kami pun hanya main area Sedim, Baling dan seterusnya Yan.

Tapi bila gua di Baling ni tutup, esok pagi macam ada lapang pulak. Boleh jugak lah kot panjat Gunung Keriang. Maknanya pagi-pagi esok kena check out awal pagi terus sebelum ke Alor Setar.

En Zul, ketua group dari Perlis cuba racun saya dan Dahlia untuk terus hiking Bukit Mok Cun lepas tu. Kemudian terus ke Perlis, ikut Azza dan Mija. Hmmm minta maaf la. Saya tak larat nak hike dua bukit dalam satu hari. Nak ke Perlis pun, bukan dalam perancangan kami. Saya dah book penginapan di Yan dah. Memang Yan tempat yang saya nak repeat dan nak datang dalam trip Kedah ni.

Gunung Keriang je la yang kami boleh join. Sebab memang esok pagi ada kosong. Itu pun jika Azza dan Mija nak panjat lewat sikit. Tunggu kami sampai sana. DIjangkakan perjalanan dari Baling ke sana dalam 2 jam.

En Zul tak dapat join, tapi Haji Zimin, Sue dan anak dia Damian berminat. Ok, kita pakat panjat Gunung Keriang.

Tu yang pagi-pagi ni, saya dah Dahlia check out dan meninggalkan Baling jam 7 pagi. Kami singgah di sebuah kedai makan tepi jalan untuk Dahlia sarapan. Saya masih kenyang pula dengan air teh segera yang Dahlia bancuhkan sebelum check out tadi. Dahlia memang bagus, setiap pagi dia tolong bancuhkan air panas untuk saya. Alang-alang dia bancuh air panas untuk dia. Sweet..

Dahlia order nasi kerabu kat kedai makan ni. Saya pula bungkus nasi lemak dengan lauk sotong. Lepas makan, kami teruskan perjalanan.

Tapi rupanya perjalanan dari Penawar Inn ke tempat permulaan hiking Gunung Keriang bukan 2 jam. Tapi lebih. Saya rasa ada dalam dalam 2 jam 15 minit. Kemudian, kami berhenti sarapan pulak kan. Haaa lagi lah jadi 2 jam 30 min agaknya.

Jam 9.35 pagi, baru kami sampai di sana. Mija, Azza, Haji Zimin, Sue dan Damian dah menunggu. Minta maaf lah buat kalian menunggu kami. Dah dalam perjalanan lama, saya nak ke tandas dulu. Tapi alamak.. tandas kat bawah ni tak ok. Sangat tak ok. Dahlia tanya, ok ke tandasnya? Jawapan saya, kalau pernah ke India, akan rasa tandas ni boleh pakai. Kalau tak, hmmm. Air pun tak ada. Jadi, saya terpaksa pakai air mineral yang kami bawak bekal.

Bab ni, memang berbeza sangat dengan kemudahan di Gunung Baling. Kat Gunung Baling, tandas bersih.

Jam 9.50 pagi, kami semua mula memanjat. Mula-mula trail dah buli kami dengan tangga yang memacak tinggi. Lepas tangga, tangga lagi. Lepas tu tangga lagi. Adehhh. Kiranya 10 minit pertama tu panjat tangga je la.

Lepas tu barulah jumpa laluan berbatu dan bertanah, tapi masih pacak juga. 75 darjah la pacaknya. Kat satu tempat yang redup, jumpa sorang lelaki yang sedang lepak berehat.Rupanya dia pun tiktoker dan aktif IG juga. AloneG nama tiktok dia. Sempat dia tanya akaun tiktok dan IG saya, terus dia follow. Wahh terima kasih

Kami teruskan pendakian. Sampai kat satu viewpoint yang cantik, kami berhenti dan tangkap gambar. Mija dan Azza sangat laju Diorang memang kat depan. Damian pun boleh tahan. Tapi saya, Dahlia, Sue dan Haji Zimin memang group di belakang. Bila nampak viewpoint cantik, berhenti dan ambik giliran bergambar lagi. Hahaha. Lagi lah slow.

Nak bergambar kat viewpoint ni, kita kena berjalan ke batu di hujung tu sikit. Haaa. Ketaq jugak lutut nak berdiri kat batu tu. Yelah, kena hati-hati. Kalau terjatuh, tamat cerita kita.

Kami juga lalu depan satu gua. Bergambar jugak. Tapi akhirnya jam 10.40 pagi, kami sampai di puncak.

Haaa. Walaupun namanya Gunung Keriang, tapi dia tak la tinggi sangat. Cuma 217 meter dari paras laut sahaja. Trail dia pun tak panjang sangat. Saya boleh kata, separuh dari trail Gunung Baling semalam la. Cuma bab pacak tu je la kena ada stamina sikit.

Kat puncak tu, group pendaki tempatan dah bina dua pelantar atau pangkin untuk bergambar dan rehat. Dari pangkin ni, jelas nampak pemandangan sawah padi yang menghijau di bawah. Fuhh lawa betul.

Ada juga sebuah wakaf yang dibina tapi tu masih sedang pembaikan lagi. Sebab ni persatuan dan pendaki tempatan yang buat sendiri kan. Bukan macam gunung Baling semalam yang dijaga oleh Majlis Perbandaran.

Lama juga kami lepak, berehat dan bergambar di puncak. Jam 11.30 pagi, kami bergerak turun. Tapi Mija dan Azza dah pecut turun bawah dulu dah. Sebab rupanya mereka belum check out lagi. Ohh..

Perjalanan turun pada awalnya berjalan dengan baik. Damian macam biasa laju di depan. Kami berempat slow slow di belakang. Bila laluan mencanak naik tadi, bila turun agak bahaya. Dia curam. Jadi kami hati-hati.

Tapi tiba-tiba kaki Sue sakit di pergelangan kaki. Nasib baik Haji Zimin ada bawak tongkat mendaki. Dia pinjamkan Sue untuk pakai. Saya dan Dahlia pun slow-slow teman mereka turun. Nasib baik saya ada bawak krim sejuk. Persiapan sebab semalam kaki saya terpeleot dua kali masa turun Gunung Baling kan. Jadi bila ada bekal krim sejuk ni, boleh la bagi Sue sapu kat kaki dia.

Dahlia kata, lepas ni kita ke rumah kawan dia. Tak jauh dari gunung ni je rumahnya. Kawan dia ajak makan. Wow.. makan percuma. Terbaik.

Jam 12.30 kami sampai di bawah. Akhirnya… walaupun dalam kesusahan Sue turun dengan kakinya yang sakit. Tapi, kami berjaya juga! Saya pergi ke sebuah kedai runcit kat situ, belikan ais untuk Sue tuam kaki. Saya pun beli sirap kurang manis sekali.

Masa tu, kawan Dahlia dah pun menunggu kami. Dia naik motor je. Rumah dekat area situ je. Kami pun bergerak ke rumah dia. Dia ingat kami sampai pagi. Jadi dia dah prepare sarapan nasi lemak Kedah yang sedap. Nasinya warna kuning, Sambalnya terbaik dan tak pedas sangat. Saya suka!

Ada juga roti canai dan kuah apam yang sedap. Dan air sejuk yang menyenangkan tekak yang dahaga. Malangnya saya lupa nama akak tu. Tapi syok sembang dengan dia walaupun kami baru kenal. Terima kasih jamu kami semua makan sampai kekenyangan.

Jam 1.50 tengahari, kami meninggalkan rumah kawan Dahlia. Haji Zimin, Sue dan Damian pulang ke Perlis. Saya dan Dahlia bergerak ke Yan.

Selamat tinggal Gunung Keriang!