Selamat petang kawan-kawan.

Petang macam ni rasa mengantuk. Biar saya kongsi satu filem menarik yang saya tonton malam kelmarin di Netflix.
Filem bertemakan kembara bajet mencekik, berdasarkan kisah benar.

Tajuk filem ni Into The Wild.

Ditayangkan pada tahun 2007, filem ni sebenarnya diangkat dari buku non-fiksyen bertajuk Into The Wild tulisan John Krakauer. Buku ini sebenarnya mengenai kisah benar Christopher McCandless, seorang anak muda yang mengembara seorang diri ke Amerika Selatan, kemudian patah balik dan hitchike masuk hutan di Alaska. Ia berlaku pada awal tahun 1990 apabila Chris baru habis graduate.

Dia budak pandai. Budak baik. Ada adik perempuan. Tapi dia sangat frust dengan mak ayah dia sebab masa mak ayah dia berkahwin, rupanya ayah dia dah berkahwin pun. Kat sana, mana boleh poligami kan. Jadi perkahwinan mak ayah dia tak sah dan dia adik beradik jadi anak tak sah.

Dia kecewa dan dia juga dikatakan terpengaruh dengan puisi dan buku yang dia baca hinggakan dia rasa nak hidup dengan alam sahaja. Back to nature tanpa wang. Tanpa komitmen.

Tu yang dia keluar mengembara tanpa memberitahu mak ayah dan adik dia. Pergi begitu sahaja dengan membawa kereta Datsun, backpack dan peralatan berkhemah. Namun kereta Datsun itu tak bertahan lama apabila tersangkut dalam banjir besar.

Kemudian dia berkayak sampai ke Mexico tanpa dokumen tak sah. Dan bila nak masuk Amerika semula, dia curi-curi naik keretapi barang. Hinggalah satu hari pengawal keretapi yang meronda dengan anjing dapat kesan dan dia dipukul dengan teruk kerana naik keretapi tanpa tiket yang sah.

Dalam pengembaraannya, dia bertemu ramai orang baik yang nak membantu dia, nak beri bantuan kewangan dan sayang pada dia. Namun dia tak suka komitmen dan mungkin tak mahu terhutang budi. Jadi, segala pertolongan ditolak kecuali kasut boot yang diberikan oleh lelaki yang hitchike dia ke jalan masuk hutan.

Di Alaska, dia merentasi sebuah sungai yang pada masa tu, sungainya agak cetek. Masa tu musim sejuk. Tak jauh dari tebing sungai, ada sebuah bas lama yang ditinggalkan. Jadi Chris duduk sahaja dalam bas itu. Berburu, tidur dalam bas dan menulis jurnal setiap hari dalam tempoh pengembaraannya.

Chris kemudian tersangkut di situ, tak dapat keluar dari hutan kerana air sungai sangat deras bila glacier di atas gunung mencair. Tiada haiwan untuk diburu, menyebabkan Chris kelaparan. Katanya dia hanya bawak 10 kg beras sahaja masa nak masuk hutan tu dan bekalan makanan lain pun sangat tak mencukupi. Chris ketakutan, sunyi, kelaparan seorang diri dalam bas lama.

Chris bertahan selama 113 hari di sana sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Apa punca kematian dan apa berlaku sebelum ia mati, haaaa tu kawan-kawan kena tonton sendiri.

Penulis buku ini, John Krakauer telah menyiasat semula kejadian ini hingga ke Alaska. Jurnal dan kamera tinggalan Chris yang gambarnya belum dicuci antara bahan yang membongkar apa berlaku sebenarnya pada Chris sepanjang kembara ini. Antaranya gambar dia yang dia snap sendiri depan bas tu. Dan dari gambar-gambar dalam kamera tu, jelas dia semakin kurus namun sentiasa tersenyum happy.

Christpher bergambar sendiri di depan bas

Dikatakan mayat Chris ditemui dalam 13 hari selepas dia meninggal dunia. Berat mayatnya hanya seberat 30 kg sahaja.

John juga menemuramah semua orang yang ditemuinya dan yang pernah dia tumpang tidur semasa kembara ni. Dari situlah puzzle kisah ini dicantum.

Bagi saya, filem ni sangat berbaloi ditonton.
Buku Into the Wild ini sendiri telah diterjemah dan diterbitkan dalam 30 bahasa.
Bila menonton filem ini, saya terfikir-fikir.

1. Budak pada umur awal 20an memang tak fikir panjang kan. Mereka hanya buat apa yang mereka mahu buat. Mereka tak kaji dengan secukupnya.

2. Adakah berbaloi kembara seorang diri ke dalam hutan tanpa kelengkapan dan bekalan makanan yang cukup? Adakah kita mampu survive seperti golongan orang asli di hutan? Orang asli juga ada komuniti. bukan seorang diri.

3. Backpacker biasanya memang akan jumpa orang yang baik. Jelas, dalam dunia ni ramai orang yang baik sebenarnya.

Kalau belum tonton, korang boleh tonton kat Netflix dan mungkin beberapa laman web streaming.

Yang dah tonton, apa pendapat korang pasal kisah Chris ni?