Sambung dari cerita sebelum ini. Kalau belum baca, boleh baca dengan klik Episod 1 Di Sini , Episod 2 Di sini dan Episod 3 Di Sini.

6 Disember 2019

Bangun pagi, mandi, lapar.

Kami check out siap-siap tapi Pak Feri belum sampai. Jadi saya riki kedai-kedai area hostel ni. Yaaa.. ada satu kedai makan Acheh. Jadi saya panggil semua datang sarapan dulu. Yelah, free breakfast kami dah dibatalkan disebabkan kesilapan teknikal harga yang owner hostel letak kat booking.com

1 . Warung Kopi Aceh Mega

Sedap juga makan kat kedai makan Acheh ni. Hanya di sini kami order mee goreng, betul-betul dapat mee sebenar yang digoreng. Bukan mee segera atau maggie ayam. Tapi saya sendiri order roti bakar yang diletakkan coklat. Sedap.

2 . Jambatan Siti Nurbaya

Siap makan, kami bergerak ke bandar Padang. Pak Feri bawa ke tempat wajib bila sampai sini iaitu Jambatan Siti Nurbaya.

Hehehe.. sebenarnya ia hanya kelihatan seperti jambatan biasa di tengah bandar. Cuma sekarang ni mereka dah buat signboard lawa sikit untuk bergambar. jambatan Siti Nurbaya sebenarnya dibina pada tahun 1995 dan siap pada tahun 2002. Ia dibina menyeberangi Sungai Batang Arau. Panjangnya 156 meter. Tak panjang sangat kan.

Jambatan Siti Nurbaya dari sisi bawah
Pemandangan dari atas jambatan Siti Nurbaya
Bergambar atas Jambatan Siti Nurbaya

Siti Nurbaya sebenarnya adalah satu cerita lagenda yang terkenal di Sumatera Barat. Kemudian, cerita lagenda ini dirakam dalam sebuah novel klasik yang terkenal, ditulis oleh Marah Rusli. Dikatakan atas Bukit Padang, ada makam Siti Nurbaya. Hm.. nampak Siti Nurbaya ni ibarat lagenda Mahsuri bagi penduduk Langkawi kan.

3 . Muzium Adityawarman

Selepas Jambatan Siti Nurbaya, kami ke Muzium Adityawarman. Kami kena pantas kerana rupanya muzium ni ditutup waktu solat Jumaat. Hah! Silap percaturan la agaknya. Sepatutnya masuk Muzium dulu tadi.

Muzium ini dibina pada tahun 1974 dan dirasmikan pada tahun 1977. Ia diberi nama sempena nama seorang Raja pada abad ke 14 semasa zaman kerajaan Majapahit. Tiket masuk adalah 3k rupiah seorang bagi dewasa dan 2k rupiah bagi kanak-kanak.

Muzium ni sangat menarik. Di sebelah pintu masuk, kita disajikan dengan arca tokoh-tokoh besar yang berasal dari Padang. Pada masa tu juga, ada pameran pertanian di muzium. Motto nya “Aku bangga jadi petani”. Woww satu kempen yang bagus. Satu motto yang bagus yang memberi penghargaan kepada semua petani. Buat rakyat Padang yang mengusahakan pertanian bangga dengan kegiatan ekonomi mereka.

Di dalam muzium pula. ada pameran budaya orang Minang. Ada senjata, tradisi majlis perkahwinan, pakaian tradisional dan juga penerangan pr-sejarah Manusia Jawa. Tapi yang lebih menarik bagi saya adalah senibina bangunan Muzium yang berasaskan rumah tradisional Minangkabau.

4. Monumen Korban Gempa

Keluar dari Muzium Adityawarman, kami berjalan kaki ke sebelahnya. Ada Monumen Korban Gempa iaitu peringatan kepada semua mangsa gempa bumi yang berlaku di Padang dan Bukittinggi pada 30 September 2010. Di sini nama setiap penduduk Padang yang meninggal dunia akibat gempa bumi ada dicatat.

5. Gramedia Padang

Puas hati melihat tugu monumen gempa, kami naik van semula. Abang Am minta saya carikan satu buku agama untuk kawan dia. Kawan dia pesan. Jadi kami berhenti di Gramedia, kedai buku yang popular di Indonesia. Tapi saya seorang sahaja yang masuk Gramedia ni. Yang lain duduk dalam van je.

Untuk kaki buku, penulis dan penerbit buku seperti saya, masuk ke kedai buku adalah satu perkara yang menyeronokkan. Saya mencari buku yang Abang Am nak tu, tak ada. Tapi saya jumpa satu buku lain yang nampak menarik dan designya cantik. Terus tangkap satu buku. Sayangnya saya tak ada banyak masa di sini sebab yang lain menunggu dalam van.

Kemudian kami terus bergerak menghala ke Bukittinggi.

6. Air terjun Lembah Anai

Satu jam setengah kemudian, kami lalu di depan Air terjun Lembah Anai. Ya… jika kawan-kawan datang dari Padang ke Bukittinggi, air terjun ni berada dalam perjalanan sebelum tiba di Bukittinggi ya. Ia sebelum sampai di Padang Panjang pun.

Air terjun ni hanya di tepi jalan sahaja. Semasa pertama kali saya ke sana tahun 2009 dulu, saya dan famili memang masuk bergambar di air terjun ni. Tapi sebab ni kali kedua, anak-anak sedara dalam van semuanya mabuk kenderaan atau tidur, kami yang berjaga hanya berhenti tengok dari jauh sahaja. Kena pulak harga tiket masuk agak mahal. 5k rupiah seorang untuk dewasa dan 3k rupiah untuk kanak-kanak bagi satu air terjun yang kecil sahaja kawasannya, saya rasa tak berbaloi untuk didarab dengan 10 orang.

Jadi, cukuplah bergambar dari luar sahaja.

jus alpokat

Kemudian Pak Feri lapar. Kami berhenti sekejap di kedai makan tepi jalan. Pak Feri makan nasi, saya pula minum air jus alpukat. Yang lain tak lapar, jadi mereka tidur sahaja dalam van.

7. Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau

Bergerak dari Lembah Anai, dalam hampir 8 km kemudian, kami kita tiba di Padang Panjang. Kalau pernah menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk atau membaca novelnya, pasti familiar dengan Padang Panjang kan. Kampung asal ayah Zainudin di mana dia berjumpa Hayati.

Di Padang Panjang, satu tempat tarikan pelancong di sini adalah Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau. Ada banyak manuskrip dan buku-buku berkaitan Minangkabau yang dipaparkan di sini. Namun sebenarnya tarikannya adalah senibina Minangkabau tu sendiri. Bumbung yang tinggi, sejuk di dalamnya.Ukiran dinding bangunannya dan pintu masuknya juga sangat cantik. Memang boleh buat kita jakun.

Puas hati bergambar, kita teruskan perjalanan ke Bukittinggi. Lagi 22 km ke destinasi kami ni.

Di bukittinggi, kami nak ke Panorama Ngarai Sianok dan Lobang Japang dulu.

8. Ngarai Sianok

Ngarai Sianok adalah kawasan ngarai atau canyon yang cantik dan terkenal di Bukittinggi. Untuk melihat pemandangannya dari jauh, anda boleh ke Panorama Ngarai Sianok, betul-betul di sebelah Lobang Japang atau Lubang Jepun. Bayar tiket 20k rupiah untuk masuk kawasan

Pak Feri juga ada bawa kami memasuki kawasan Ngarai Sianok dari dekat, iaitu di lembah yang ada perkampungan di bawahnya.

Ngarai Sianok dari Panorama Park

9. Lobang Japang

Ia tempat di mana terdapat terowong yang dibina oleh tentera Jepun untuk menyimpan senjata, bermesyuarat, tempat memotong mayah yang telah mati dan tempat perlindungan. Seperti biasa kejahatan tentera Jepun, mereka membina bukan dengan tenaga buruh dan atau mengupah pekerja, tetapi dengan menjadikan rakyat negara mereka menjajah sebagai buruh paksa. Untuk lobang japang, mereka dikatakan mengambil penduduk dari Jawa, Kalimantan dan Sulawesi untuk menggali terowong ini.

Sebenarnya ketika kami sampai di pintu masuk Lobang Japang, dah pun jam 5.20 petang. Jam 6 lebih dah nak maghrib. Jadi Pak Feri tak galakkan kami masuk dalam terowong, ditakuti unsur mistik dalam terowong tu.

Tapi keluarga kakak saya baru pertama kali tiba di sini kan, sayang pula kalau kami tak masuk. Jadi saya snap gambar peta terowong dan kami hanya lalu terowong utama untuk terus keluar sahaja. Tak explore betul-betul terowong tu macam tahun 2008 masa saya mula-mula tiba dulu.

Sebenarnya dalam hati saya, gerun juga bila mereka pesan begitu. Yelah.. entah berapa banyak mayat buruh paksa yang telah dikerat-kerat dan dibuang dalam terowong ni. Scary.

Masuk ikut pintu yang bertangga ke bawah, namun keluar ikut pintu lain. Bila dah sampai pintu keluar, hati saya sangat lega. Alhamdulillah…

Selepas selesai melawat Lobang Japang, Pak Feri bawa kami ke homestay di Bukittingi.

Baca juga:

Episod 1 – Padang ke Painan

Episod 2 – Dari Pantai Cerocok Menyerbu ke Pulau Setan dan Pulau Cubadak

Episod 3 : Puncak Mandeh ke bandar Padang