Sambung dari cerita sebelum ini. Kalau belum baca, boleh baca dengan klik Episod 1 Di Sini , Episod 2 Di sini , Episod 3 Di Sini dan Episod 4 Di Sini.

6 Disember 2019, Jumaat malam Sabtu.

Kami dah check in di Homestay Bukittinggi. Cantik betul lokasi homestay ni. Betul-betul tengah bandar Bukittinggi. Ia sebuah rumah yang ada 4 bilik. Saya dan mak macam biasa ambik satu bilik. Ada 2 bilik air yang ada tandas dan pemanas air. Ada mesin basuh juga. Jadi bolehlah kami basuh baju yang dah kotor.

Selepas maghrib, kami order satey padang dan soto di gerai tepi jalan yang betul-betul kat pintu masuk homestay. Peniaga satey tu hantar ke rumah.

satey padang
soto

Sedap ke tak satey padang? Err… respek pada satey mereka tapi ia bersaiz kecil dan saya percaya satey Kajang jauh lebih amazing. Jadi, kalau kawan-kawan nak test, jangan expect tinggi ya. Soto tu pula, ok la… tak jauh beza dengan soto yang kami makan masa mula-mula sampai di Padang haritu.

Kemudian anak-anak sedara saya semua berehat. Ramai berehat di bilik saya dan mak juga sebab saya je yang bawak international adapter. Jadi dari international adapter tu, baru cucuk extension elektrik kita yang biasa tu. Apa lagi, berkerumun la Abdullah, Ammar, Alia dan Afifah yang nak caj handphone mereka di bilik saya.

Saya pula rasa malam masih muda. Jadi, saya berjalan-jalan seorang diri di pekan Bukittinggi ni. Time macamni, rindu pula pada Normi dan Aina. Kalau mereka ada, sure malam macamni kami explore pasar malam atau lepak gerai makan mana-mana.

Haaa… rupanya Bukittinggi memang happening pada waktu malam. Ada banyak gerai dalam khemah yang dibina di tepi jalan. Mereka menjual pelbagai makanan dan minuman. Saya pun order teh telur tapai dalam salah satu gerai khemah ni. Plan nak test minuman signature di sini sambil review manuskrip yang saya akan terbitkan. Jadi, saya order teh telur tapai. haaaa rare ni!

Tapi bila teh telur tapai sampai, saya rasa alamak.. ia lembek, pekat dan menggelendet. Bayangkan makan tapai beras yang diblender dan dimasukkam dalam teh susu, bercampur telur kuning. Haih… betul saya tak mampu habiskan.

Siap review beberapa bab manuskrip, saya keluar dari gerai ni dan berjalan-jalan di sekitar. Saya melintasi sebuah restoran yang ada live band. Sedap nyanyian dan muzik unplugged mereka. Esok malam saya akan duduk singgah di restoran ni.

7 Disember 2019, Sabtu

Perancangan asal, kami nak ke Lembah Harau. Alia nak sangat main basikal atas pokok. Dulu saya dan mak dah ke Lembah Harau masa kami ke sana tahun 2008. Tapi boleh la kalau nak pergi lagi.

Tapi Pak Feri kata, mustahil untuk saya pergi ke Lembah Harau dan Istana Pagar Ruyung dalam hari yang sama. Dia kata jaraknya jauh. Kalau Istana Pagar Ruyung dan Danau Maninjau, boleh. Ia dalam satu arah. Danau Singkarak dan Kelok 44 tak boleh, kata Pak Feri. Katanya sebab ada tanah runtuh di sana. Nak ke Muzium Kelahiran Buya Hamka pun tak boleh sebab ia di Danau Singkarak.

Kecewa rasanya sebab kali ni tak dapat ke Muzium Kelahiran Buya Hamka. Saya belum pernah ke sana. Awaddah juga dah excited sebab Awaddah berminat dengan karya Buya Hamka.

Bila saya cadang Lembah Harau esok sahaja sebelum kami gerak ke Padang, Pak Feri tak setuju. Dia kata sangat kalut disebabkan lokasi Lembah Harau tu sendiri. Memandangkan kekangan masa, Lembah Harau juga jadi kos lepas. Tak dapat pergi.

Sudahnya kami ke Tabek Patah. Pak Feri kata di Tabek Patah, ada basikal atas pokok juga. Saya pun search di google, memang ada artikel tulis pasal ni. Jadi, memang betul lah ada. Kesian juga Alia kalau tak dapat naik basikal atas pokok ni. Tu yang, ok la.. kita ke Tabek Patah dulu. Lagipun Tabek Patah ni dalam perjalanan ke area Istana Pagar Ruyung.

Jarak dari homestay ke Tabek Patah tak jauh sangat. Dalam 31 km sahaja. Sampai sahaja di Tabek Patah, saya nampak ada kaunter tiket. Tiket untuk dewasa adalah 5 k rupiah manakala untuk kanak-kanak adalah 3 rupiah. Saya terus bertanyakan pekerja yang menjaga tempat ni. Betul ke ada speda terbang boleh naik di sini? Pak Feri juga tanya soalan yang sama.

Jawapan lelaki tu, iya ada speda.

Pintu masuk Tabek Patah
Pemandangan pokok-pokok tirus di Tabek Patah. Ada pokok yang ditoreh untuk getah agaknya.

Jadi kami terus membeli tiket masuk untuk 10 orang ahli rombongan cik kiah kami. Kalihatan ada banyak spot instagarammable di sini. Dia tanam pokok cantik-cantik atau buat spot yang cantik untuk bergambar. Lokasinya di tepi bukit berhampiran Gunung Merapi memberikan suhu dingin dengan pokok yang tinggi dan tirus. Pagi pula kan.. memang berkabus.

Namun apabila berada di atas bukit itu, saya dapati permainan atas bukitnya seperti tidak diselenggara dengan baik. Rupanya speda terbang atas pokok tu rosak. Tak boleh dinaiki.

Speda yang tadi kata ok, sekali dah masuk kata tak ok

Senang lelaki tu cakap macamtu. Eh, tadi bukan ke penuh keyakinan dia jawab speda boleh naik? Kalau tak speda tak boleh naik, buat apa kami masuk tabek Patah tadi. Macam sengaja nak tipu kami.

Saya dapat rasakan anak-anak Alia dan Afifah mesti kecewa. Awaddah, Ammar dan Abdullah hanya berebut satu buaian.

Kemudian pekerja tu memberitahu, flying carpet boleh main. Ahaa.. boleh la kan flying carpet sebagai pengganti speda. Flying carpet ni rupanya karpet dihampar atas satu pelantar kayu. Pelantar kayu tu pula digerakkan ke seberang pokok dengan kawalan tiga kabel.

Mula-mula Afifah naik dengan adik bongsunya Aisyah. Pekerja lelaki tu mula mengawal kabel untuk menggerakkan pelantar, tapi sampai tengah-tengah antara dua pokok tu, pelantar ditarik semula. Patah balik separuh perjalanan. Eh tak sampai separuh, dalam 1/4 je dari jarak antara dua pokok. Budak-budak ni baru nak lambai-lambai syok, dah patah balik.

Flying carpet?
Pekerja tu tarik dan tolak pelantar kayu tu menggunakan kabel

Kemudian Abdullah dan Ammar pula naik. Pekerja lelaki tu cuba tolak pelantar ke tengah sikit kali ni tapi nampak macam pelantar tu tak stabil. Dalam hati saya pun agak bimbang. Saya rasa pekerja tu pun tak yakin, cepat dia tarik semula pelantar tu. Haih.. flying carpet rupanya jadi scaring carpet.

Muka kurang semangat naik flying carpet ni
Tak la tinggi sangat dari tanah sebenarnya. Tapi ngeri juga bila tengok pelantar tu macam tak stabil.

Last-last kami bergambar je la di bawah tu. Pemandangan cantik pun tak nampak sangat sebab berkabus dan bukitnya tak la tinggi sangat. Bagi saya, Tabek Patah ni 2 bintang sahaja dari 5 bintang penuh.

Bergambar kenangan di Tabek Patah
Aisyah dan Abdullah