7 Disember 2019, Sabtu

Saya nak sambung itinerary dan tempat menarik yang kami lawati semasa bercuti di Padang dan Bukittinggi. Apa berlaku pada 7 Disember 2019. Apa yang menarik di sekitar Bukittinggi ini?

1 . Tabek Patah

Kami mulakan hari ini dengan melawat ke Tabek Patah. Tempat yan kami harapkan anak sedara saya boleh main basikal atas pokok. Namun kami kecewa dengan kemudahan yang tidak diselenggara dengan baik di sana. Kawan-kawan boleh baca cerita penuh DI SINI ya.

Kemudian kami bergerak ke Istana Besar Pagaruyung pula.

2 . Istana Besar Pagaruyung

Istana Besar Pagaruyung berada di daerah Batu Sangkar. Jauh juga dari pekan Bukittinggi, lebih kurang 46 km. Kalau direct dari pekan Bukittinggi, perjalan ambik masa lebih satu jam. Tapi kami kan singgah Tabek Patah dulu. Jadi lagi lama la perjalanannya.

Semasa saya ke sini tahun 2008, Istana Besar Pagaruyung sedang dibina semula. Ia terbakar, katanya akibat dipanah petir. Jadi masa kami ke sana tu, bumbungnya belum sempurna dan begitu juga dalam bangunan istana tu sendiri.

Sebenarnya ia bukan kali pertama terbakar.

Asalnya Istana ini didiami oleh Raja Alam, atau Raja Yang Dipertuan Pagaruyung. Lokasi asal istana ini di tempat lain, di Bukit Batu Patah. Namun pada tahun 1804 ketika berlakunya Perang Paderi, istana ini terbakar. Ia kemudiannya dibina semula oleh kerajaan Belanda. Tahun 1966, ia terbakar lagi. Kemudian pada tahun 1976, replikanya siap dibina semula dan menjadi tarikan pelancongan. Hinggalah pada tahun 2007, ia terbakar untuk kali ketiga, disebabkan petir. Tu yang bila saya ke sana tahun 2008, ia sedang dibina semula.

Namun sekarang ia dah lama siap. Wah… seronok. Besar betul. Ada tiga tingkat di dalamnya. Ada bilik-bilik tidur anak raja dan beberapa bilik lagi. Kalau nak bergambar dengan pakaian tradisional pun boleh. Mak dan abang Am pula tertarik dengan wanita tempatan yang menjual buah durian belanda di pintu masuk istana.

Tiket masuk ke Istana ini adalah 25 ribu rupiah seorang.

3. Makan nasi padang di Rumah Makan Sawah Laman

Selama kami di sini kami belum makan nasi padang lagi. Asyik makan soto, satey padang atau nasi pecel. Jadi hari ni saya nak Kak Ina, Abang Am dan budak-budak merasa nasi padang.

Jadi saya minta Pak Feri bawak ke kedai makan nasi padang yang sedap dan harga tak mencekik tekak sangat. Yelah.. dah kelaparan selepas lama di Tabek Patah dan Istana Pagaruyung.

Pak Feri bawak kami ke Rumah Makan Sawah Laman. tak jauh dari Istana Besar Pagaruyung. Lokasi nya di Jalan Ahmad Yani, tak jauh dari pekan Batu Sangkar.

Makanannya sedap. Harga pun berpatutan. Saya pilih perut lembu yang ada telur di dalamnya. Lauk ni kita takkan dapat jumpa kalau bukan kat kedai makanan padang yang sebenar.

Kedai makan ni besar, cantik dan ada rumah tradisional minang di sebelahnya. Ada kolam ikan juga. Kiranya sambil makan, sambil cuci mata. Surau pun ada, jadi kami solat jamak siap-siap di sini. Senang.

4. Nagari Tuo Pariangan

Nagari Tuo Pariangan atau Desa Kuno Pariangan sebenarnya merupakan perkampungan tradisional di tepi Gunung Merapi. Ia mempunyai rumah-rumah tradisional dengan sebuah masjid lama yang dikatakan telah berusia beratus tahun. Terdapat sebuah rumah gadang di sini juga.

Penduduk di sini masih mengekalkan senibina asal rumah lama. Bumbung tinggi ala- Minangkabau. Perkampungan ini juga bersih. Ada kawasan sawah padi dan kami berhenti minum kopi di gerai tepi jalan. mengadap sawah padi tu. Memang cantik pemandangannya. Sawah padinya di tepi kawasan ketinggian 70 meter dari paras laut, sememangnya tak ada di Semenanjung Malaysia.

Sawah padi ini juga jauh lebih luas dari Jatiluwih, Bali. Jadi memang lebih syok la.

Mungkin bagi kita orang Malaysia, kampung ini cantik dan unik. Tapi bagi mat salleh atau pelancong yang betul-betul tak biasa dengan gaya perkampungan tradisional Indonesia, ia memang perkampungan lama yang mereka perlu singgah.

5. Danau Maninjau

Selesai makan, kami teruskan perjalanan ke Danau Maninjau pula. Besar tasik ni. Tapi entahlah, saya geram pula dengan Pak Feri. Sebesar-besar tasik ni, kenapa nak parking kat tempat yang kena bayar?

Ada banyak kedai makan di tepi tasik ni. Boleh la kalau nak minum air panas sambil menikmati pemandangan tasik yang luas ni.

Mak dan Kak Ina tersangkut dengan makcik-makcik tempatan yang bersungguh menjual dan mempromosi buah kepada mak. Saya pula berjalan kaki sikit ke tempat yang agak sunyi. Kemudian snap beberapa gambar dan menikmato kecantikan dan ketenangan tasik yang besar ini.

6. Muzium Kelahiran Buya Hamka

Yang ni saya dan Awaddah teringin sangat nak pergi. Dah betul dah tu kat tepi Danau Maninjau.

Tapi Pak Feri kata, jalan nak ke situ tutup. Ada tanah runtuh. Nak ke Kelok 44 pun tak boleh. Kecewa betul.

Lusanya masa saya nak grab di Padang, saya cerita hal ni kat pemandu grab. Dia kata, mana ada. Betul, jalan tutup bila ada tanah runtuh tapi kejap je tutup nya. Jalan dah dibaiki dan dah dibuka semula.

Hampeh Pak Feri. Saya tak nak rekemen dia kat orang lain yang cari supir kat sini. Agaknya dia malas pergi sana. Nak balik awal kot.

Huh.

Walaupun kami tak dapat ke sini, tapi untuk rujukan kawan-kawan yang membaca artikel ni, saya senaraikan juga tempat ini untuk kawan-kawan masukkan dalam itinerary kawan-kawan ya.

7 . Live band di Bandar Bukittinggi

Haaaa menjelang maghrib, khemah-khemah gerai makanan akan mula meriah di bandar Bukittinggi. Macam-macam makanan tempatan ada dijual. Begitu juga dengan pelbagai jenis minuman. Tapi jangan berani-berani order teh telur tapai macam saya kena semalam. Hahaha.. tak larat nak telan.

Kalau jumpa menu cappuccino, jangan expect ia betul-betul cappuccino macam kafe kopi ala mat salleh tu ya. Lain sangat. Tapi boleh la minum. Macam kita minum kopi tongkat ali CNI rasanya. Sedap dan boleh la…

Kami membeli bungkusan makanan sahaja untuk makan malam di homestay sebaik tiba di bandar Bukittinggi dari Danau Maninjau. Kemudian balik ke homestay.

Malam ini malam terakhir saya berada di bandar Bukittinggi sebab esok kami akan check out. Malam esok kami akan tidur di sebuah hotel bajet berhampiran airport supaya senang naik flight balik pagi lusa.

Lepas solat maghrib dan makan malam, terasa malam ni masih muda. hahaha.. saya teringat live band yang saya nampak malam semalam. Ok, malam ni kena layan.

Tak ada anak sedara nak ikut. Jadi saya keluar seorang. Ada satu kedai makan yang nampak cantik tu, ada live band. Jadi saya ke sana. Order air dan makanan, saya enjoy menikmati nyanyian live band secara akustik ini. Memang sedap persembahan mereka. Sesuai untuk lepak di waktu malam di sini sambil bersembang dan menghayati lagu-lagu merdu band Indonesia nyanyian mereka. Dalam kes saya, saya layan muzik mereka sambil makan, minum dan membaca manuskrip.

Dah puas layan muzik, saya jalan kaki pulang ke homestay.

Baca juga:

Episod 1 – Padang ke Painan

Episod 2 – Dari Pantai Cerocok Menyerbu ke Pulau Setan dan Pulau Cubadak

Episod 3 : Puncak Mandeh ke bandar Padang

Episod 4: 9 Tempat Menarik di Padang dan Bukittinggi dalam 1 hari

Episod 5: Teh Telur Tapai dan Tabek Patah yang Menakutkan