Penulis: Rohaniah Noor

Salam Ramadhan semua.

Jumaat – Ahad baru-baru ni, saya pergi ke Kuala Selangor. Memang trip solo berjalan. Saya ada tulis di Facebook saya tentang aktiviti pertama saya di sana. Saya kongsikan di sini ya.

****

Pernah tak korang nampak sesuatu yang sangat ohsem tapi tak dapat snap gambar atau video sebagai bukti?

Ya, itu saya semalam.

Kembara solo ke Kuala Selangor, nama trip saya kali ini.

Jadi semalam saya bergerak ke Kuala Selangor dengan kereta. Saya ada join trip untuk beri makan helang, lawatan ke Kampung Kuantan melihat kunang-kunang atau kelip-kelip dan akhirnya melihat blue tears.

Saya ambik satu pakej ni dari Klook. Harganya dalam RM54.28 seorang untuk 3 aktiviti ini. Jam 6.20 petang dah kena start berkumpul di jeti sebuah kedai makanan laut di sini.

Kami diberikan jaket keselamatan dan dalam jam 6.40 petang, bot bergerak menuju ke tempat memberi makan helang.

Ada seorang guide bersama kami dan seorang pemandu bot. Botnya besar juga. Bila dah sampai di tempat helang, pemandu bot pun mencurahkan kaki ayam yang dah dipotong halus-halus dan direndam dengan air ke dalam air laut. Ini untuk memanggil helang datang berkumpul.

Wahh.. maka datanglah berbondong-bondong helang ke sekeliling bot kami. Pemandu bot tuang makanan lagi di belah lain pula. Helang pun datang lagi. Fuhh… banyak betul helangnya. Ada yang kecil, ada yang besar. Ada yang berbunyi seperi kanak-kanak merengek.

Saya pernah alami pengalaman beri makan helang di Langkawi. Dari segi saiz, helang di Langkawi saya kira lebih besar tapi dari segi kuantiti, betul kata review netizen. Helang di Kuala Selangor lebih banyak.

Selesai aktiviti helang, bot kembali jke jeti untuk menurunkan penumpang yang hanya ambil pakej helang sahaja. Kemudian kami menyelusuri pula Sungai Selangor ke Kampung Kuantan. Mencari kunang-kunang.

Hari mula renyai. Saya yang mulanya duduk di depan bot, terpaksa berpindah ke dalam sebab hujan. Ah Bung, guide kami kata, kalau hujan, takut kunang-kunang menyorok. Yela.. ini kan nature. Siapa boleh janji dan set appointment dengan kunang-kunang untuk keluar banyak mana pada hari apa.

Bot yang tadi bergerak laju, kini semakin perlahan. Bergerak mendekati pokok-pokok di tepi sungai. Kata Ah Bung, itu pokok berembang. Kami menunggu, di mana kamu sang kunang-kunang yang bercahaya ketika gelap?

Ok, saya nampak satu. Berkedip di dalam pokok Berembang. Ok saya nampak lagi.. dan lagi .. dan lagi. dan wahhhhhhhhh banyaknya!

Ah Bung dah pesan, kalau nak cuba tangkap gambar, tak boleh pakai flash. Saya pun cuba tangkap. Arghh gagal. Mata manusia jauh lebih tajam dari lensa handphone atau kamera mirrorless saya. Mungkin orang yang sangat mahir dengan fotografi masih boleh snap, tapi saya gagal. Walaupun saya dah naikkan ISO tapi disebabkan bot yang bergerak dan cahaya kunang-kunang yang sangat halus dalam gelap ini, saya tak berjaya snap. Mengalah.

Ah Bung gunakan satu lampu kecil berwarna merah dan berkedip. Dia mahu menarik beberapa kunang-kunang masuk ke bot kami. Ah Bung kata, hanya kunang-kunang jantan yang akan terbang bergerak sini sana. Kunang-kunang betina hanya menunggu di pokok. Saya memperhatikan sahaja. Tapi, hey, trick tu menjadi.

Saya ghalit memandang ini semua. Tiba-tiba Ah Bung datang. “Rohaniah, mari bagi saya dua tangan kamu,” kata dia sambil tangannya menggenggam sesuatu.

Saya hulur dua tangan saya dalam keadaan terkatup sedikit. Ah Bung pun memindahkan seekor kunang-kunang ke dalam genggaman dua tangan saya. Heyyyy kunang-kunang itu bercahaya dalam tangan saya! Saya suka!

Selepas dalam 5 saat, kunang-kunang jantan itu berjaya meloloskan dari dari genggaman longgar tangan saya ini. Dan dia pergi meninggalkan kenangan manis dalam hati saya.

Bot bergerak lagi menyelusuri sungai ini. Mata saya terpana. Mungkin seperti suasana malam raya yang kawasan kejiranan penuh dengan lampu lip lap? OK, saya mula menyanyikan lagu raya dalam hati.

Tapi bila tenung balik, oh itu penerangan yang kurang tepat. Ia sebenarnya seperti pokok krismas yang dihias dengan lampu lip lap. Tapi bukan satu pokok krismas, tapi mungkin 50 pokok. Ya, mungkin 50.

Akhirnya bot pergi meninggalkan kawasan yang berkilau ini. Meski kamera gagal menangkap suasana ini, tapi memori saya jelas membayangkannya. Memori yang snap.

Bot pulang ke jeti mengambil penumpang untuk aktiviti seterusnya. Blue tears. Kemudian bot bergerak meninggalkan jeti semula.

Ah Bung beritahu saya, hari ni hujan. jadi biasanya kalau hujan, kita nampak dia seketul-seketul. Saya tanya dia semula, blue tears ni apa sebenarnya? Ah Bung jawab, plankton. oh..

Bot berhenti. Pemandu bot mengambil sauk ikan yang kecil dan digerak-gerakkan ke dalam air sungai. Kemudian dia bercakap sesuatu kepada Ah Bung dan dia hidupkan semula enjin bot.

“We go to other place,”, terang Ah Bung.

Tak lama kemudian, bot berhenti lagi. Kali ni Ah Bung terus ambil beberapa sauk ikan. Dia beri kepada kami beberapa sauk. Pesannya jangan satu tangan pegang sauk, satu tangan tangkap gambar. Kena orang berbeza. Baik.

Di sebelah saya ada couple berbangsa India. Saya melihat sauk yang lelaki tu gerak-gerakkan dalam air. Heyyy nampak ada kilauan biru dalam air lah. Saya cuba snap gambar. Aghh.. nampak gelap je.

Ah Bung datang. “Let me help you,” ehehe dia tau saya sorang je yang seorang diri dalam group ni. Jadi Ah Bung pun gerakkan sauk tu ke kiri ke kanan. Wahhh nampak biru-biru dalam laut. Saya cuba snap gambar lagi. Gagal.

Ah Bung nampak saya tak dapat snap gambar. Dia kata, “Ok. put aside your camera. Hold this. Make a memory.”

Saya pun pegang sauk tu sendiri. Gerakkan ke depan dan ke belakang. Satu, kemudian tiga kemudian makin banyak cahaya biru dalam sauk saya. Ini menggembirakan!

Lelaki India tu nampak jeles sebab plankton biru dalam sauk saya lagi banyak dari dia. Ahaa.. mungkin plankton tu lagi suka saya. Ya, saya pun suka awak semua juga! kata saya.

Ok, mungkin nama Blue Tears tak sesuai. Mungkin yang betul adalah Blue Happiness atau Blue Glowing.

Dah puas bermain dengan sauk, bot pun mahu bergerak. Ah Bung pesan, tengok pada ombak bot di kiri dan kanan. Wahh mesti boleh nampak sesuatu.

Bila bot bergerak laju dan ombak bot besar, saya nampak ada bahagian ombak yang berwarna biru. Heyyy ini amazing. Sangat!

Kata Ah Bung, ada waktunya langsung tak nampak blue tears ni. Tapi hari ni kami bertuah. Nampak semua.

Ya, walaupun saya agak kalut dan stress semasa nak ke sini, tapi trip ini benar-benar menggembirakan saya. Amazing evening in Kuala Selangor.

Sebelum pulang ke hotel, saya makan nasi goreng udang di Warung Udang Galah. Ok jugak nasi goreng dia. Dapat 3 ekor udang besar digoreng rangup di luar tapi juicy di dalam.