Ramai di antara kita yang berangan mahu travel sahaja. Travel tanpa henti.

Selepas satu negara, pergi ke negara lain. Selepas habis diredah gunung dan gunung berapi, turun pula meneroka tasik dan pantai. Kemudian bertukar bandar pula dan bergambar dengan pelbagai monumen terkenal seluruh negara.

Sangat indah kan..

Ya, impian ini sangat indah. Namun, ramai yang tidak dapat melakukannya dek kerana satu kekangan. Kewangan iaitu tidak bajet mencukupi.

Sedarkan kita bahawa ada ramai pengembara di luar sana yang dibayar gaji ketika mengembara. Aha..

Hari ini Saya Backpacker ingin berkongsi salah satu kerjaya atau pekerjaan yang boleh dilakukan sambil mengembara. Kerjaya itu adalah sebagai divemaster atau diving instructor.

IMG_6347

Apa tu?

Biar saya beri latarbelakangnya dahulu.

Biasanya penyelam yang pergi ke pulau atau tempat tarikan yang ada tapak menyelam akan mendaftar dengan mana-mana dive shop atau pengusaha diving untuk turun menyelam.

IMG_6354

Selepas mengisi borang, diver dan operator akan berbincang mengenai tarikh dan masa untuk turun menyelam, dive spot mana yang akan mereka pergi dan jika perlu, memilih saiz peralatan yang disewa.

Pada masa inilah pihak operator akan letakkan seorang divemaster atau instructor untuk membawa diver turun menyelam nanti.

IMG_20131222_185525- ada watermarkIni kes penyelam yang dah ada lesen. Bagi yang baru nak buat lesen, operator akan lantik instructor untuk mengajar bakal penyelam ini. Jika nak buat lesen Open Water iaitu lesen yang membolehkan penyelam turun menyelam sehingga 16 meter, tempoh masa 4 hari 3 malam diperlukan. Jika dah ada lesen OWD dan mahu buat lesen lanjutan seterusnya, biasanya 2 hari sahaja sudah cukup.

Dari segi ranking, instructor lebih tinggi dari divemaster kerana instructor layak mengajar untuk mendapatkan lesen tertentu. Divemaster hanya membawa penyelam turun sahaja. Belum layak mengajar.

Jadi, divemaster atau instructor inilah yang akan menguruskan penyelam, membawa mereka turun ke bawah laut dan memastikan keselamatan penyelam dijaga dengan baik.

 

Bagaimana divermaster atau instructor dibayar?
Divermaster dan instructor dibayar ikut kepala. Kadar bayaran berbeza mengikut dive shop atau operator dan bergantung pada lokasi.

Namun secara purata, seorang divemaster akan dibayar lebih kurang RM40 – RM70 untuk setiap penyelam yang turun menyelam biasa, atau dipanggil fun dive. Dalam satu group fun dive, mungkin seorang, berdua atau hingga 8 orang untuk seorang divemaster.

Maksima 6 ke 8 orang , tetapi dalam kes saya, biasanya saya dan kawan-kawan turun bertiga. Katalah untuk 3 orang,

RM40x 3 = RM120

RM70 x 3 = RM210

Ini bermaknya untuk setiap satu dive saya dan 2 kawan lagi, divemaster boleh dapat purata dalam RM120 -RM210. Dalam satu hari, satu kumpulan penyelam mungkin ambil 2 atau 3 kali dive.

Jadi, darab lah.

Bayaran Instructor

Bagi instructor yang mengajar bakal diver mendapatkan lesen pula, bayarannya lebih tinggi. Seorang instructor boleh dibayar secara purata RM200 – RM400 untuk setiap pelajar. Ia bergantung pada persetujuan instructor dengan dive shop tadi.

Berbalik kepada situasi tadi, satu kali orang nak buat lesen, ia mungkin seorang, berdua atau bertiga.

Katakan tiga orang mahu buat lesen bersama-sama, macam situasi saya dahulu, ini bermakna instructor berkenaan boleh memperoleh RM600 – RM1200 untuk tempoh 2 – 4 hari sehingga tamat semua modul lesen tersebut.

RM200 x 3 = RM600

hingga

RM400 x 3 = RM1200

Menarik tak bayarannya?

Ini kalau instructor mengajar untuk lesen. Tapi kalau sekadar bawa penyelam turun fun dive, instructor akan dibayar mengikut kepala dan berapa kali dive sepertimana divemaster tadi.

Bergantung pada persetujuan dan perbincangan dengan dive shop, ada dive shop menyediakan tempat tinggal untuk instructor dan divemaster di dive shop itu sendiri atau di kuarters. Jika tidak, instructor dan divemaster boleh menyewa di mana-mana penginapan murah yang ada di kawasan kampung.

 

Kerja Sepenuh Masa atau freelance?

Ada instructor dan divemaster yang memang bekerja untuk sesetengah dive shop tertentu. Kira macam full time di sanalah. Tetapi ada ramai juga yang bekerja secara freelance. Mereka ni datang ke pulau atau lokasi tersebut untuk satu jangka masa pendek, kebetulan ada dive shop nak pakai divemaster atau instructor, mereka apply.

Bincang kadar komisen, tempoh bekerja dan deal!

Dapat dah melancong sambil bekerja.

 

Mereka yang saya kenali

 

Saya nak berkongsi beberapa instructor dan divemaster yang saya kenali.

 

Tawfiq Arif Ahmad

DSCF4061
Tawfiq di sebelah kanan sekali.

Tawfiq pernah mengembara selama 5 tahun berterusan.  Semasa kembaranya, dia bekerja sebagai divemaster di hampir semua tempat dive komersial yang ada di Asia Tenggara. Ini bererti, antaranya adalah Malaysia sendiri, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Dia pernah juga mengembara ke Maldives dan Sri Lanka dan menjadi divemaster di situ. Wang dari kerjaya ini dapat membiayai pengembaraan 5 tahunnya itu.

Kini dia berumur awal 30an, menetap di Bandar Baru Bangi dan bekerja sebagai Prudential Wealth Planner di Prudential BSN. Aha.. kalau nak cari pakar takaful yang faham dunia backpacker tegar dan diving, Tawfiq lah orangnya.

 

Birgit Weber

birgit weber
Birgit di tengah-tengah

Birgit merupakan instructor saya semasa saya mengambil lesen Open Water Dive di Pulau Perhentian. Warganegara German tetapi sudah lama bekerja sebagai instructor di Pulau Perhentian.

Dia amat sukakan Perhentian kerana kecantikan alam semulajadinya. Namun setiap Oktober – Februari, semua resort di Pulau Perhentian dan Pantai Timur ditutup. Pada masa itu,  barulah dia pulang ke German untuk bertemu keluarganya.

 

Christophe

DCIM100MEDIA
Christophe

Tak ingat nama keluarganya. Christoph merupakan instructor yang membawa saya dan kawan-kawan turun fun dive di Koh Lipe awal tahun ini.

Warganegara Belgium. Dia sebenarnya instructor di Pulau Kapas. Tapi memandangkan resort di sana ditutup mulai Oktober, dia pun bercuti ke Koh Lipe, Thailand.

Pada hari akhirnya di sana, dia ternampak satu signboard di sebuah dive shop di sana yang mengiklankan kekosongan sebagai instructor. Dia mohon dan dapat peluang bekerja itu.

Apabila resort di Pulau Kapas dibuka semula, dia akan kembali ke Pulau Kapas seperti biasa.

 

Bagaimana nak jadi divermaster dan instructor?

Untuk melayakkan anda menjadi divemaster atau instructor diving, anda perlu mengambil lesen tertentu yang telah ditetapkan dalam syarat kerjaya ini. Lesen boleh diambil dari badan scuba dive professional antarabangsa seperti PADI, SDI dan lain-lain.

Untuk syarat di bawah PADI, boleh rujuk gambarajah ini.

padi_scuba__courses

 

Dibayar sambil bercuti

Orang lain bercuti habis duit, Christophe, Birgit dan Tawfiq bercuti tetapi dibayar. Pekerjaan yang dibuat pula bukan kerja yang bikin mereka stress. tetapi adalah kerja yang kena dengan jiwa mereka.

Ini bukan sahaja sambil menyelam sambil minum air

Tapi sambil menyelam sambil dapat duit.