Sambal Hitam
Sambal Hitam Pahang

Jika mengembara ke negara bukan Islam atau mengembara dalam tempoh yang lama, kita seringkali merasa rindu ingin menjamah sesuatu yang kena dengan tekak Malaysia kita ini. Walaupun kita boleh mendapatkan makanan halal, namun sesekali perut kita mula mengada-ngada mahu menjadi patriotik. Lagi pun, sesetengah negara meletakkan harga yang tinggi terhadap makanan halal.

Oleh itu Saya Backpacker ingin mencadangkan sahabat-sahabat semua 10 makanan yang boleh difikirkan dan dipertimbangkan jika ingin dimakan ketika mengembara.

Namun perlu diingatkan, periksa dahulu syarat-syarat penerbangan sesetengah negara. Ada larangan-larangan yang perlu diambil perhatian, contohnya seperti di negara Australia, serunding tidak dibenarkan dibawa. Makanan-makanan yang diletak di dalam bagasi pula perlu diisytiharkan dahulu. Jika tertangkap, dendanya hampir sama dengan harta tiket kapal terbang yang anda bayar.

Baiklah, makanan-makanan yang boleh difikirkan adalah seperti berikut:-

1. Serunding

Serunding ada pelbagai jenis, ada daging, ayam malah ikan juga. Ketika bersekolah asrama, mak saya seringkali membekalkan saya dengan serunding ikan. Kini serunding amat mudah didapati di kedai atau pasar malam.

2. Sambal ikan bilis kering

Ia antara yang menaikkan selera lebih-lebih lagi apabila dijamah di negara orang. Cara memasaknya mudah dan pelbagai. Yang paling mudah, tumis bahan-bahan yang telah dikisar seperti cili kering, bawang putih dan bawang merah, kemudian masukkan ikan bilis setelah bahan tumis pecah minyak dan kering. Letakkan garam dan gula secukup rasa. Saya suka jika ia ada rasa masam, jadi bolehlah ditumis bersama asam keping. Ikut selera masing-masing. Lain orang lain cara.

3. Sambal hitam Pahang

Saya pernah bekalkan sambal hitam kepada Rohaniah Noor ketika beliau mengembara ke Indochina. Beliau menghidangkan sambal hitam bersama mee segera. Saya pula, pasti lazat jika dihidang bersama roti dan nasi panas.

4. Nasi segera

Kebanyakan kedai serbaneka di luar negara sudah mempunyai makanan-makanan segera dari negara Asia seperti Korea Selatan dan Jepun. Antara produk yang boleh dibeli dan tidak diragui adalah nasi segera. Ketika teman-teman pejabat saya ke Korea Selatan tahun lepas, mereka membeli nasi tersebut dan dimakan bersama sambal kering dan serunding.

5. Mee/Mihun Segera

Ini adalah makanan biasa yang dibawa hampir semua pengembara. Terdapat banyak jenama dan perasa. Ia mudah dibawa dan hanya memerlukan air panas. 2 minit, siap! Mee segera

6. Brahim

Ia makanan segera yang dipaket kemas dan mudah dibawa ke mana-mana. Pelbagai menu makanan Malaysia menjadi produk yang dipasarkan oleh jenama Brahim. Nasi goreng kampung pun ada. Hanya perlu dipanaskan di dalam ketuhar atau diletakkan di dalam air yang mendidih selama beberapa minit tanpa membuka pembalutnya, makanan sudah pun siap untuk dimakan. Namun harganya agak mahal sekitar RM 9 – 12 sekotak/paket.

7. Ikan bilis goreng masak kicap

Yang ini sungguh mudah. Potong bawang, kemudian tumis, masukkan cili padi yang dipotong-potong semasa menumis jika mahu pedas, tuang kicap dan masukkan ikan bilis yang telah digoreng. Kacau sehingga kering dan tutup api. Ikut anda, mungkin resepi anda lebih menarik dari saya. Resepi saya ini resepi orang malas.

8. Sardin dalam tin

Jika gusar mengenai makanan halal di negara luar, bawa sahaja ikan sardin di dalam tin yang dijual di Malaysia. Sudah tentu ia tahan lama.

9. Sambal belacan segera

Ada beberapa jenama yang dijual di pasaran. Malah ia sudah siap dibungkus dan ada yang dibotolkan. Memang Malaysia sangat!

10. Dodol

Di kedai serbaneka di Malaysia kini sudah boleh didapati dodol yang dibungkus comel seperti gula-gula. Ia mudah dibawa dan jika kita tidak sempat mengambil makanan berat, anda boleh mengunyah dan mengalas perut dengan dodol.

 

Baiklah, selamat mengembara dari Saya Backpacker.