kohlipesbKoh Lipe terletak di daerah Satun, Thailand dan ia merupakan pulau yang terletak di Laut Andaman. Kedudukannya amat hampir dengan Pulau Langkawi dan boleh juga masuk ke pulau ini dari situ. Namun kebiasaannya pulau ini dimasuki melalui Pakbara, Thailand dan tambang botnya lebih murah.

Pulau kecil dan terkenal di kalangan diver ini sangat indah dan warna air laut yang biru sungguh menenangkan. Ada enam aktiviti yang boleh kami cadangkan untuk anda lakukan di sini.

1. Island Hoping & Snorkeling

  • Ada beberapa pakej ditawarkan di Koh Lipe. Pakej-pakej ini bergantung dengan pulau-pulau yang ingin dilawati. Anda boleh melakukan aktiviti snorkeling di pulau-pulau tertentu.
  • Kami memilih pakej yang membawa kami ke 7 buah pulau dan lebih kurang 5 kali snorkeling.
  • Bayaran yang dikenakan untuk pakej yang kami pilih adalah 650 Baht (RM65) seorang, tetapi hasil tawar-menawar, kami hanya perlu membayar 600 Baht (RM60) termasuk makan tengahari (pakej halal) dan hidangan buah-buahan di atas bot di tengah-tengah laut.
  • Anda boleh juga menyewa bot melawat ke pulau-pulau berhampiran di laut Andaman, kosnya lebih kurang 1500 – 2500 Baht (RM150 –RM250) satu bot. Bot ini boleh memuatkan 8-10 orang, jadi bolehlah berpakat dengan teman-teman atau sesiapa yang anda ‘tiba-tiba’ kenal di sana untuk menyewa sebuah bot, murahlah sedikit.

snork

2. Diving

  • Koh Lipe terkenal dengan aktiviti menyelam atau diving. Hidupan lautnya memang menakjubkan. Namun sayangnya saya tidak ada lesen menyelam. Kepada yang berminat, boleh ambil lesen menyelam di sini. PADI ada di mana-mana termasuk di Koh Lipe.
  • Kos diving bergantung kepada berapa kali dive yang anda mahu lakukan. Kos dive bermula dari 1800 Baht untuk satu kali menyelam.

sblautdive2 sblaut

3. Menjelajah Koh Adang

  • Selalunya aktiviti yang dilakukan di Koh Adang adalah hiking ke viewpoint. Perjalanan ke Koh Adang mengambil masa 10 minit sahaja. Tambang ke Koh Adang dari 100 Baht ke 200 Baht seorang (RM10-20). Selalunya kalau pandai menawar, dapatlah 100 Baht seorang pergi dan balik. Kita boleh memberitahu pekerja bot berkenaan berapa jam kita mahu berada di situ. Tepat waktu yang dijanjikan, bot akan ambil kita di sana.
  • Ada beberapa viewpoint di Koh Adang. Dari satu viewpoint ke viewpoint seterusnya hanya mengambil masa 10-20 minit untuk sampai, itupun jika anda fit. Kalau tak, tambahkan saja 10-15 minit lagi. Pemandangan dari viewpoint memang cantik, sesuai bagi mereka yang gemar photoshoot.
  • Anggarkanlah 2 jam untuk berada di Koh Adang. Beritahu pekerja bot untuk mengambil anda selepas 2 jam. Bawalah barangan yang sesuai untuk hiking. Kasut yang sesuai, air mineral yang mencukupi dan pakaian yang sesuai adalah penting untuk diambil kira.

4. Walking Street

  • Walking Street di Koh Lipe memang hidup dan meriah, terutamanya pada waktu malam. Di sini suasananya seperti uptown. Kedai-kedai yang menjual cenderahati, pakaian, barangan snorkel dan menyelam, restoran-restoran, 7Eleven, pub dan bar, rumah urut, spa, klinik dan farmasi semuanya terdapat di sini.
  • Anda mungkin akan membeli belah di sini walaupun anda tiada niat nak membeli. Ada beberapa ATM di Walking Street. Bersiap sedialah mengeluarkan duit.

walkingstreet

5. Membeli Barang-barang Diving

  • Disebabkan Koh Lipe terkenal dengan aktiviti menyelam, banyak juga kedai-kedai menjual alat-alat diving. Kepada penyelam tegar, bolehlah anda membelinya di sini.

 

6. Jalan-jalan Cari Makan

  • Thailand terkenal dengan makanannya yang sangat sesuai dengan tekak Asia seperti kita. Apalagi orang Malaysia yang gemar makanan pedas.
  • Antara menu yang saya cuba dan tak dapat lupakan rasanya yang hebat itu adalah tomyam putih, pulut mangga, pad Thai, siakap stim limau, pancake beraneka rasa dan aiskrim kelapa. Makanan-makanan ini adalah wajib untuk anda cuba.
  • Ramai juga yang makan ikan, sotong, udang dan ketam bakar. Saya tidak berkesempatan merasa semua makanan itu kerana bajet yang diperuntukkan adalah terhad. Jika anda ada wang lebih, apa salahnya.
  • Café yang berasaskan kopi juga sangat menarik untuk dicuba. Ramai warga Eropah yang membuka pub, bar, kedai kopi dan restoran di sini. Oleh itu, tiada masalah untuk mendapatkan makanan barat di sini.

food2 food1

Oleh kerana kedudukan Koh Lipe agak hampir dengan Malaysia, iaitu sejam lebih memandu dari sempadan Wang Kelian di Perlis ke jeti Pakbara, agak mudah mahu ke sana.

Bolehlah anda masukkan Koh Lipe dalam senarai pulau atau tempat percutian yang akan anda lawati.

*Jika mahu sample sebahagian e-book Koh Lipe, boleh dapatkan di http://bit.ly/freekohlipe