Tahun lepas saya dan kawan-kawan ada rezeki kembara ke Sri Lanka. Ada 3 perkara mengapa kami pilih Sri Lanka.

  1. Sri Lanka sebuah negara yang kos travelnya murah. Saya rasa lebih murah dari India pun
  2. Sri Lanka dicalonkan dalam beberapa laman web travel sebagai destinasi yang sangat cantik. Even ada yang kata ia the next Thailand.
  3. Saya mempunyai pengalaman kembara yang unik dan menarik di India. Bila melihat kepada lokasi Sri Lanka sebagai sebuah pulau di selatan India, jadi mungkin pengalaman travel ke Sri Lanka sehebat atau lebih kurang seeksotik India.

Disebabkan itulah, saya nak sangat ke Sri Lanka. Saya ajak Normi, Aina dan Kak Jue join. Mereka nak join. Yeahh..

Sebenarnya Sri Lanka sebuah negara yang cantik. Kami tak dapat pusing semua tempat dalam 10 hari perjalanan ni. Setakat dapat pusing Colombo membawa ke pertengahan Sri Lanka dan selatannya. Secara tepatnya, kami ke Colombo, Hatton dan Nallanthaniya untuk ke Adam’s Peak, Nuwara Eliya, Thissamahamara untuk ke Yale National Park dan melalui Unawatuna dan tidur di Galle.

Kiranya kami explore ibu negaranya, kawasan sejuk atas bukit bukau, gunung yang diangap suci di sana, sebuah safari di national park dan kawasan pantai dan tepi laut.

Cuma balik dari Sri Lanka, perasaannya sedikit berbeza dari pulang dari India. Mungkin sebab kami banyak kali kena scam kat sana. Mungkin juga ada tempat menarik tak dapat pergi atau spend banyak masa, sedangkan kami spend masa kat tempat yang agak menggeramkan.

Saya tak nak kawan-kawan follower dan pembaca Saya Backpacker mengalami pengalaman yang sama dengan kami di negara yang cantik ni, jadi mari saya kongsikan 9 perkara yang kawan-kawan kena tahu sebelum kembara ke Sri Lanka.

1. Wajib mohon Visa / ETA atau Electronic Travel Authorisation untuk masuk Sri Lanka

Permohonan ETA ni boleh dilakukan online sahaja di http://www.eta.gov.lk/

Nanti selepas submit permohonan, kita akan terima kelulusan melalui email. Saya haritu dapat kelulusan pada hari yang sama. Jangan lupa cetak ETA ni.

Yuran untuk mohon ETA adalah 35 USD. Itu amaun yang saya bayar. Tapi yang terkini, bila rujuk kat laman web ETA Sri Lanka ni, nampak macam Melaysia antara negara yang dapat eta fee waive. Maknanya tak perlu bayar la dah kan..

2. Rakyat Sri Lanka sangat berbeza dengan rakyat India walaupun mereka berjiran.

Melihat kepada kedudukan Sri Lanka sebagai pulau kecil di selatan India, saya ingat mereka mungkin tak jauh beza dengan rakyat India. Makanan, bahasa, bangsa… Rupanya saya salah!

Majoriti iaitu hampir 75% adalah Singhalese yang mempunyai bahasa dan adat sendiri. Kemudian hanya 11% dari etnik Tamil Sri Lanka, 9% dari etnik Moors dan 0.5% etnik lain termasuklah Melayu.

Dari segi agama pula, saya bayangkan mesti majoriti Hindu macam di India. Salah sekali lagi. Majoriti 70% adalah penganut agama Budha. Hanya 12.6% beragama Hindu, 9.7% beragama Islam dan 7.4% beragama Kristian. Biasanya orang Singhalese menganut agama Buddha.

Dikatakan Sri Lanka adalah negara beragama Buddha yang paling tua berbanding negara lain. Agama Budha dibawa ke Sri Lanka pada abad ke3 selepas Masihi. Ia dibawa oleh Arhantha Mahinda Thereo, anak Mahakaraja Asoka.

3. Bila rakyat Sri Lanka berbeza dengan India, chai mereka tak sama dengan chai di India.

Ya.. saya ingat bila sampai di Sri Lanka, saya boleh minum chai seperti di India. Saya pun order chai di sebuah kedai makan di Colombo. Tapi alamak… lain sangat rasa chai nya.

Rupanya rakyat tempatan suka minum teh o. Sri Lanka merupakan pengeluar teh terbesar di dunia. Siapa tak pernah dengar teh ceylon kan.. Haa.. jadi mereka menikmati teh dalam bentuk teh o atau teh susu macam kita di Malaysia.

Makanan di sini juga lain ya… Berbeza dengan makanan di India.

4. Scam di Sri Lanka boleh tahan hebat. Bila ambil tour trip dengan auto (tuk-tuk), harga yang mereka bagi tu tak semestinya harga final.

Ya… ini pengalaman kami sendiri dan terkena pada kami 2 kali.

Kali pertama di Colombo. Itu hari kedua kembara tapi sebab hari pertama tu, sampai pun dah malam, jadi kiranya tu pengalaman hari pertama betul-betul di Sri Lanka la.

Pagi tu kami jalan kaki je ke stesen keretapi Colombo. Tujuannya nak beli tiket keretapi dulu untuk ke Hatton. Semasa berjalan kaki ni la kami diapproach oleh seorang lelaki pemandu tuktuk. Beriya-iya dia bodek kami suruh ambik servis auto dia, ronda satu Colombo. Dia kata, cuma 500 rupee je (lebih kurang RM11) untuk satu auto yang boleh muat kami berempat. Tour satu bandar.

Banyak kali saya tanya, betul ke 500 rupee je? Dia kata ya. Then kami pun setuju.

Tour tu dalam 6 jam. Memang beberapa lokasi yang dia bawak. Dari lebih kurang jam 12.30 tengahari sampai jam 6.30 ptg. Jadi masa dah nak balik tu, saya memang ingat, kami patut bayar lebih sebagai bonus kat dia ni. Mungkin patut bayar 1,000 rupee? Atau paling banyak pun 1500 rupee?

Sekali bila dah sampai hostel, tau berapa dia minta?

2500 rupee!

Alasannya sebab dia tanya, “Are you happy?” dan kami jawab kami happy. kemudian sebab tour 6 jam. Mana boleh 500 rupee je.

Aik.. pulak.. tadi dia yang kata harga 500 rupee tu.

Dia minta juga harga 2500 rupee (lebih kurang RM 57). Akhirnya kami setuju dengan syarat, esok pagi ambik kami kat hostel dan hantar ke stesen keretapi. Kiranya tambang 2500 rupee tu dah termasuk tambang auto pagi esok. Dia setuju.

Malangnya, keesokan hari, kami tunggu sampai saat akhir, dia tak muncul. Kami terpaksa jalan kaki sikit dan takut tertinggal keretapi, kami tahan auto lain. Kena caj 100 rupee untuk ke stesen keretapi.

Nasib baik semasa di dalam keretapi, pemandu auto ni datang cari kami, minta maaf sebab lewat dan tak dapat ambik kami di hostel tadi. Sebagai tanda maaf (dan mungkin rasa bersalah sebab dia ketuk kami), dia pulangkan 500 rupee kepada kami.

Pengalaman kedua: terkena di Nuwara Eliya. Pun sama jugak. Dia janji auto bawak kami ronda 2 hari di sana dengan harga 2,000 rupee satu auto. Kami ambik 2 auto sebab dia kata kat sana salah kalau kami bersesak empat orang satu auto. (pulak dah kan..)

Sekali bila hari last, dia minta tambahan tambang. Alasan yang hampir sama dengan pemandu auto di Colombo tadi.

Haih, belajar dari pengalaman, kali ni memang kami tak setuju. Dah janji 2,000 rupee satu auto, kena stick to it. Selepas puas berdebat, akhirnya dia terpaksa mengalah. Cuma pengangkutan dari homestay ke bandar, dia nak kami tambah lagi 200 rupee. Masa pergi, dia bawak kami dari bandar ke sini. Bila balik, tak cover dah. Hadoi..

5. Berhati-hati dengan soalan, are you happy?

Ya, sebenarnya bila pemandu auto, pemandu bas atau pemandu pelancong bertanya soalan “Are you happy?”, maknanya itu satu klu yang dia akan minta tips atau naikkan tambang jika kita jawab ya.

Mereka akan tanya beberapa kali tau, selagi kita tak jawab. Once jawab, habis. Ia akan jadi alasan untuk mereka minta tips atau tambahan tambang tu.

So, kalau boleh tak jawab, baik jangan jawab. hahahaha…

6. Ada tiket keretapi, kita kena beli online lebih awal. Ada yang beli kat stesen sebelum train bergerak.

Sebenarnya tiket keretapi kat Sri Lanka tak mahal. Tapi mereka tak ada sistem online sendiri setakat ni.

Dalam kes kami, kami terpaksa beli tiket keretapi dari Colombo ke Hatton melalui laman web https://www.visitsrilankatours.co.uk/

Isunya, harganya mahal dan dalam Pound Sterling. Jauh lebih mahal dari beli direct di stesen keretapi. Beza berganda-ganda-ganda. Namun kami tak ada pilihan sebab untuk semua tiket keretapi dari Colombo ke tempat lain, habis sold out. Masa saya pergi tu, semua tiket dari Colombo ke merata destinasi selama semimggu dah sold out. Peliknya kalau beli melalui agensi macam ni ada pulak.

Maknanya apa? Maknanya agensi pelancongan macam ni dah kaut awal-awal tiket ni dan jual balik secara online ke tourist macam kami. Kami pun tak ada pilihan, terpaksa beli juga. Siap terpaksa bayar 5 pound tambahan sebagai upah hantar tiket tu ke hostel kami. Hampeh.

Tapi tu tiket keretapi dari Colombo la. Mungkin sebab ia pusat bandar kan. Tapi kalau nak naik keretapi dari Nanuoya (stesen keretapi terdekat dengan Nuwara Eliya) ke Ella, boleh beli pada hari perjalanan je.

Begitu juga masa kami nak balik dari Galle ke Colombo semula, pun kami beli dalam sejam setengah sebelum perjalanan. Tiket ada je.

7. Bas antara semua bandar ada. Jangan risau. Cuma tak ada secara online.

Ya, walaupun untuk tiket keretapi ada dijual online, tapi tiket bas antara bandar memang tak ada dijual online ya. Tapi jangan risau, bas ada banyak dan boleh beli tiket masa nak naik tu je.

Lagipun tiket bas kat sana sangat murah. Kami naik bas dari Nuwara Eliya ke simpang utama ke Thissamahamara cuma 262 rupee. Lebih kurang RM8 sahaja. Padahal perjalannya sejauh lebih kurang 130 km dan mengambi masa 3 jam setengah. Kemudian dari simpang tu, kami naik bas lagi ke pekan Thissa cuma dengan tiket berharga 25 rupee, lebih kurang 50 – 60 sen.

Jadi jangan bimbang. Bas ada banyak dan sangat murah. Cuma jangan expect la bas tu selesa macam bas ekspress kita apatah lagi jauh beza dengan bas ekspress yang saya naik di Turki yang siap ada pramugara hensem bagi makanan.

8. Tak semestinya panjat Adam’s Peak boleh lihat tapak kaki nabi Adam. Kecuali anda memang nak panjat gunung tu dan lihat pemandangan sahaja.

Kami ke Hatton dan Nallathanniya kerana Adam’s Peak. Kak Jue bersungguh nak tengok tapak nabi Adam yang katanya ada di atas puncak gunung ni.

Betul ke ada tapak nabi Adam kat atas ni? Orang Islam dan Kristian kata ia tapak Nabi Adam ketika mula-mula turun dari Syurga. Namun, ia diclaim oleh semua agama. Penganut Buddha kata tu tapak kaki Gautama Buddha. Penganut Hindu kata tu tapak kaki Lord Shiva. Bagi orang Portugis pula, mereka percaya itu tapak kaki St Thomas, orang yang mula-mula membawa agama kristian ke Sri Lanka.

Kalau tanya saya, saya tak berapa percaya ia tapak kaki Nabi Adam. Tapi terpulanglah pada kepercayaan masing-masing.

Dalam kes kami, kami pergi bulan Oktober. Masa tu off peak season untuk orang panjat Adam’s Peak. Kalau time peak season, ada ramai penganut Buddha naik untuk upacara agama mereka.

Di atas tu pun ada kuil Buddha. Puncak tu dikawal oleh sami Buddha. Jadi masa Kak Jue dan aina panjat Adam’s Peak, tempat yang dikatakan ada tapak kaki tu ditutup. Ada Sami Buddha jaga.

Jadi usaha mereka panjat tangga non stop berjam-jam dari jam 6 pagi dan sampai di bilik penginapan jam 5.30 petang sangat mengecewakan kerana tak dapat tengok tapak kaki tu pun. Kesian juga tengok mereka. Dah la mereka sesat masa naik tadi. Dah berjalan 2 jam baru tau mereka salah jalan.

Sebenarnya kalau kita google Adam’s peak footprint memang ada satu gambar je yang orang letak kat internet. Gambar yang sama.

Adakah semua orang yang naik boleh tengok je tapak kaki tu tapi tak boleh snap gambar? Atau memang semua yang naik tak diberi kebenaran masuk dan lihat tapak kaki tu pun?

Bagi saya, kalau nak panjat gunung yang penuh laluan bertangga selama 3-4 jam naik, kemudian 2 jam turun semata-mata dengan harapan nak tengok tapak kaki Nabi Adam ni, saya nasihatkan tak payah lah. Takut anda kecewa kalau kat atas tu tutup.

Kecuali anda memang kaki hiking dan nak panjat untuk kepuasan diri nak tengok pemandangan atas gunung, tak apalah. Macam saya dan Normi, kami tak panjat Adam’s Peak sebab Normi masih bertongkat dan saya pula baru keluar hospital selepas jangkitan kuman di tulang belakang. Jadi kami ronda di pekan Nallanthaniya ni sahaja, iaitu di kaki lembah untuk mula naik ke Adam’s Peak.

9. Harga makanan dalam balai pelepasan airport Bandaranaike, Colombo cekik darah.

Semasa di lapangan terbang Bandaranaike, Colombo, hanya ada satu kantin atau food court yang kami jumpa di ruang legar. Tu pun naik tingkat atas. Jadi kami ingat, nanti dah masuk dalam balai pelepasan je la baru makan. Selalunya ada banyak cafe kan.

Sekali bila dah masuk dalam, kami terkejut beruk tengok harga makanan di semua cafe. Semuanya dijual dengan USD, bukan lagi rupee. Harganya pula bukan harga makanan di Sri Lanka yang diconvert ke USD. Bukan! Harga semuanya macam harga di Amerika je.

Bayangkan harga makanan di Burger King terus jadi 16 USD. Nasi goreng harganya 15 USD. Fridge magnet yang kami jumpa di Colombo cuma 130 – 200 rupee iaitu lebih kurang RM3.30 ke RM4.50 terus dijual pada harga 3 – 7 USD.

Aina kelaparan sangat. Jadi, dia beli juga air dan makanan. Bila convert jadi RM60 lebih. Hambik!

Jadi, kawan-kawan, kalau boleh, makan siap-siap sebelum masuk balai pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike tu ya! Kalau naik Air Asia, bertahan je la dulu. Nasi lemak pak nasser jauh lebih murah. hehehehe

Jadi itu sahaja dulu perkongsian saya mengenai 9 perkara anda wajib tahu sebelum kembara ke Sri Lanka. Semoga selepas berakhirnya pandemik covid 19 ni, kita dapat kembara seperti biasa semula.