Tahun lepas, saya ke India.

Saya ke sana selama sebulan. Merangkumi Delhi, Agra, Srinagar, Leh, Jammu, Manali dan Amritsar.

Sebelum saya ke India, saya dapati masih sangat kurang rujukan atau artikel mengenai India yang ada dalam bahasa melayu. Kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Jadi, saya mencadang untuk tulis mengenai backpack ke India ini, insya Allah di blog saya backpacker ini dan kemudian dalam buku terbaru terbitan kami nanti.

Alhamdulillah, September 2017 saya dan 3 kawan berjaya travel ke India. Pergi bertiga, balik pun bertiga. Tapi total yang pergi empat orang.

Sebabnya masa pergi tu saya, Aina dan kak Jue. Kak jue hanya ikut sampai hari kelima sahaja. Setakat cover Delhi dan Agra. Kemudian dia balik dan tinggalkan saya dan Aina berdua sahaja. Saya dan Aina travel sebulan,  tapi 10 hari terakhir, Normi NAS join kami. Tu yang balik bertiga juga tapi orang ketiga berbeza.

Imigresen India

Baik, saya kongsikan beberapa perkara yang kita perlu tahu sebelum ke India.

1) Elakkan tiba di sana hampir tengah malam. 

Penerbangan kami tempoh hari dari Kuala Lumpur ke Delhi dengan menaiki Air Asia. Penerbangan kami jam 7 malam di KLIA,  sepatutnya tiba di Delhi jam 10 malam. Tapi disebabkan kelambatan melepasi Imigresen, kami keluar ke balai ketibaan airport dah jam 11 lebih.

Sedangkan metro dari airport ke bandar, paling last jam 11.30 malam. Belum berjalan kaki ke stesen metro lagi… kami memang tak sempat haritu. Terpaksa naik teksi sahaja.

Jadi, kalau boleh, ambik penerbangan lebih awal. Biar tiba di Delhi paling lewat pun jam 8 malam, supaya lebih jimat naik metro airport sahaja. Kalau dapat tiba di Delhi siang, jauh lebih bagus. Kita pun tahu ada banyak scam kat sana kan.. Jadi, siang lebih mudah cari stesen metro dan cari hotel atau hostel yang kita tempah. Lebih selamat.

Untuk memudahkan kemasukan ke India, lebih baik mohon visa secara manual di kaunter permohonan visa India di Lebuh Pasar berbanding mohon e-visa secara online. Sebab? Bila mohon secara manual, mereka dah scan kesepuluh jari kita di situ. Rekod dah ada dalam sistem. Berbanding mohon e-visa, dah sampai imigresen di India nanti baru nak scan 10 jari. Lambat la nak lepas sebab orang ramai kan..

Haritu saya dan Aina apply visa manual, Kak Jue apply secara e-visa. Melangut kami tunggu Kak Jue  kat imigresen airport Delhi. Tu yang lagi lambat keluar di balai ketibaan.

 

2) Teksi budget di airport. 

Dah terlepas metro kan. terpaksa lah kami naik teksi. Nak jimat punya pasal, kami ambik budget teksi. Ehe.. nama je teksi tapi sebenarnya ia cuma van mini.

Kerusi pun tak ada la empuk sangat. Kiranya asal ada kusyen je. Harga dari airport ke stesen keretapi sebab masa tu kami nak ke stesen keretapi, adalah 500 rupee. Sedangkan kalau naik metro, dari airport ke stesen New Delhi cuma 60 rupee. Masa saya pergi tu, 100 rupee bersaman rm6.70.

Kalau nak naik teksi yang kereta tu, teksi yang lebih mahal, tapi selesa lah. Saya rasa mungkin lebih 1000 rupee kalau naik teksi ni.

Nak naik teksi budget ni, tak susah. Lebih kurang macam sistem teksi airport di Malaysia. Pergi ke kaunter teksi, beritahu nak ke mana, berapa orang penumpang dan bawak berapa beg. Kemudian mereka akan beritahu harga. Bayar harga tambang dan mereka akan beri resit. Kemudian kita pergi ke laluan teksi budget sedang beratur untuk ambil penumpang. Kita pun naik lah ikut turutan teksi budget tu.

3) Tiket keretapi ada kuota untuk foreigner

Selalu tengok dalam filem hindi, mereka kan berpusu-pusu naik keretapi ke mana-mana. Siap ada adegan mereka menari dan menyanyi atas koc keretapi lagi. Haaa.. itu Shah Rukh Khan dan geng dalam filem Dil Se.

Jadi, kita yang berangan nak backpack ke India ni pun berangan la nak naik keretapi kat sana. Tapi rupanya, mereka kurang nak beri peluang kita foreigner ni untuk naik keretapi mereka. Seolah-olah keretapi ni priority untuk rakyat mereka sahaja. Untuk foreigner, ada kuota yang kecil.

Untuk booking tiket keretapi secara online, boleh cuba

Indian Railway Catering and Tourism Corporation Limited

Cleartrip

Kami ada cuba nak beli tiket secara online, cuma masalahnya untuk mendaftar akaun di website begini, mereka perlukan no handphone tempatan. Memang tak ada lah kan…

Kawan saya berkongsi, dia berjaya beli tiket keretapi di stesen keretapi sahaja. Tapi itu ikut rezeki. Tiket untuk destinasi popular ni cepat habis untuk foreigner. Yelah.. kuota foreigner ni kecik.

Macam kami dulu, kami cuba ke stesen keretapi di Delhi untuk beli di kaunter. Tapi rupanya dah habis dan ada banyak scam di sana sampai kami pun terkena. Ahahaha.. pasal scam tu saya akan cerita dalam buku.

 

4) Naik bas ekspress lebih mudah

Selepas saya ke sana, saya dapati lebih mudah naik bas sahaja. Berbanding dengan naik keretapi. Bas sentiasa ada setiap hari dan tiket tak sold out.

Macam haritu, selepas kena tipu, saya dan kawan-kawan hanya naik bas ekspress dari Delhi ke Agra dan dari Agra ke Delhi. Cuma perkhidmatan bas di sana, tak boleh expect akan menepati masa. Janji gerak jam 11 pagi, tapi rupanya gerak jam 12.15 tengahari. ehehehe…

Suasana dalam bas

 

5) Sim Kad

Bila bayangkan India ada banyak programmer hebat, saya bayangkan kat sana mesti senang je nak beli sim kad tempatan kan. Mesti internet kat hp laju dan unlimited kuota.

Tapi saya silap. sangat silap!

Booth jual sim kad di airport Delhi

Semasa saya tiba di airport Delhi, ada satu booth jual sim kad kat dalam tu, sebelum keluar ke balai ketibaan. Saya nampak ramai beratur panjang nak beli sim kad.

Tapi sebab kami nak kejar metro terakhir, kami tak jadi beratur sama. Kami terus keluar.

Rupanya, itu sahajalah tempat untuk foreigner beli sim kad di sana. Bila sampai di Agra, kedai-kedai telefon beritahu foreigner tak boleh beli simkad. Kalau beli pun, line tak akan diaktifkan sebab untuk aktifkan, mereka perlukan nombor kad Aadhar. Kiranya kalau kat Malaysia, kad pengenalan la.

Kalau key in no passport, tak akan berjaya. Banyak kedai saya tanya, jawapan yang saya terima sama. No for foreigner.

Ada satu kedai di Agra tu yang jual. Dia ambik salinan passport saya dan janji lepas 24 jam, line akan diaktifkan.

Huh, hampeh… sampai ke sudah sim kad tu tak ada line.

Bila saya ke airport Delhi semula untuk naik flight Delhi ke Srinagar, saya pun pergi ke booth yang jual sim kad tu. Dia terangkan, selepas beli sim kad, esok harinya baru kita boleh call customer service dan mohon aktifkan sim kad tu.

Oh man.. macamana nak call customer service kalau sim kad yang kita letak dalam hp tu belum ada line?

Dan satu lagi, salesman sim kad tu kata, sim kad yang mereka jual ni tidak boleh digunakan di Jammu and Kashmir. Sedangkan kami nak ke Srinagar dan Leh selepas tu, yang mana dua-dua tempat ni berada di negeri Jammu and Kashmir.

Rupanya di J&K, memang takkan ada peluang foreigner untuk ada sim kad sendiri atas dasar keselamatan. Jadi, kalau saya beli pun, buang karan je. Kecuali saya memang nak lepak Agra dan Delhi sahaja kan.

Nubra Valley, Ladakh

Jadi di India, memilih hostel dan hotel yang ada free wifi sangat penting sebab itu je la peluang untuk kita dapat akses internet. Itu pun, tak semestinya ada internet. Banyak juga kes, wifi ada… data tak ada. Jadi, kena baca review hotel atau hostel tu sama ada wifi yang dikatakan disediakan tu memang ada atau hanya hiasan.. huhuhu…

 

Nak baca pengalaman kami backpack ke India selama 30 hari? Boleh dapatkan buku berkembar ni ya. Backpack India 4 Idiots oleh Rohaniah Noor dan Backpack India Pubjab ke Kashmir oleh Normi NAS. Untuk menempah buku ni, whatsapp ke 0123547636 atau dapatkan di kedai buku Popular, Gallery Bookstore, Kinokuniya, The Borders atau SMO.