Penulis: Rohaniah Noor

China Central TV

Selalunya kalau kita dengar orang ke Beijing, pasti tempat menarik yang wajib dikunjungi adalah Tiananmen Square dan Forbidden City kan.

Kali ni saya nak perkenalkan satu tempat yang boleh anda kunjungi iaitu Bangunan ibupejabat CCTV. Saya ke sana pada tahun 2014.

CCTV bukan bermakna kamera litar tertutup ya. Tapi nama penuhnya China Central TV. Bangunan ini setinggi 234 m (768 ft) dan mempunyai 44 tingkat.

Upacara pecah tanah dilakukan pada 1 Jun 2004 tetapi ia hanya siap sepenuhnya pada bulan Mei tahun 2012.

Senibinanya unik kerana ia mempunyai dua menara yang disambungkan di bahagian atas sekali sebegini rupa. Keunikannya menyebabkan ia boleh kelihatan seperti huruf n atau L terbalik, bergantung pada sudut mana anda melihatnya.

Bangunan ini juga diberi nama jolokan dà kùchǎ (大裤衩),yang bermaksud seluar katok besar.

Pelawat boleh naik ke tingkat 22 di ruang tinjau untuk melihat pemandangan bandar Beijing dari atas. Terdapat juga TV Culture Hall di Tingkat 19 dan restoran berputar di tingkat 18.

Bangunan ini terletak di Fuxin Road. Untuk pergi ke sana, ambil Subway Line 1, keluar di stesen Gongzhufen. Kemudian berjalan ke arah utara melewati bangunan-bangunan lain dahulu.

Hmm.. kalau dah asyik tengok bangunan lama dan temple di Beijing, memang seronok pula ke sini sebab ada banyak bangunan moden.

Tiket masuk ke Menara Ibupejabat CCTV ini pada masa itu adalah 70 yuan, lebih kurang RM40.80. ada juga pakej makan tengahari siap dengan tiket masuk ke menara pada harga 168 yuan, bersamaan RM 98 dan pakej makan malan pada harga 298 yuan, lebih kurang RM174.

Untuk backpacker bajet ketat macam saya, cukuplah tiba di luar bangunan dan mengambil gambar sahaja.