Semalam, selepas saya menonton YouTube Zahariz, Dengan Basikal Aku Mnejelajah, tentang perjalanannya ke Everest Base Camp, saya mula resah. Saya mahukan lebih daripada itu.

Sejak dulu lagi, saya memang teruja dengan gunung. Apa saja berkaitan gunung memang menarik perhatian saya. Antara laut dan gunung, saya lebih gemar menatap gunung. Entah kenapa, saya pun tak tahu. Tapi saya boleh memandang gunung berjam-jam lamanya tanpa melakukan apa-apa. Ia terlalu indah pada pandangan mata saya.

Saya membayangkan, alangkah seronoknya saya menikmati secawan Chai Masala panas di satu kawasan berhadapan dengan gunung-ganang yang indah. Chai akan terasa lebih nikmat dengan pemandangan begitu.

Malangnya, saya tidak begitu fit. Banyak lemak-lemak di badan malah stamina juga setakat boleh menaiki tangga 3 tingkat tanpa letih. Selebihnya pasti semput dan memerlukan bantuan tong oksigen.

Begitu kehidupan ini, sesuatu yang kita sangat cinta dan gemari, bukan selalunya berada dalam genggaman kita. Bukanlah ia mustahil tapi manusia seperti saya tak cukup keazaman. Jadi, saya hanya dapat menikmati keindahan gunung dari bawah. Atau melalui rencana di skrin TV atau komputer riba mahupun telefon pintar. Kadangkala saya cari apa saja filem berkaitan dengan gunung. Dan semalam, buku Conquering Everest tulisan Azim Afif terbitan Kasi Terbit memenuhi kehausan saya mendalami kisah-kisah menawan gunung tertinggi di dunia.

Walaupun Kasi Terbit sendiri yang menerbitkan buku ini, penglibatan saya dalam buku ini agak kecil. Pertama kali bertentang mata dengan Azim dan Anis, sewaktu di medan selerea IOI Mall Puchong. Masa tu, manuskrip yang mereka hasilkan masih banyak kelemahan sana sini.

Selepas setahun (kalau tak silap saya), Anie mendekati pasangan ini dan mencadangkan agar perjalanan Azim ke puncak Everest dibukukan dalam Bahasa Inggeris. Ini agar kisah hebat Azim bukan hanya berlegar di kalangan pembaca Bahsa Melayu saja. Ini kisah yang didambakan hingga ke peringkat antarabangsa. Jika Malaysia tidak begitu ke depan dengan aktiviti outdoor, tapi banyak negara lain di Asia dan Eropah terutamanya, sangat menghargai perkara sebegini. Maka Kasi Terbit mahu satu dunia dapat menghadap perjuangan Azim sekaligus memberitahu dunia, orang Malaysia juga hebat.

Walaupun Azim bukan orang Malaysia pertama yang menjejakkan kaki di puncak tertinggi dunia itu, tetapi ia tak bermakna perjalanan jejaka asal Utara ini adalah biasa-biasa. Jika kita rujuk rekod di Wikipedia, 305 orang telah terkorban dalam usaha menawan puncak tertinggi di dunia itu. Ketinggiannya mencecah 8,848 meter. Misi untuk menawannya pula makan tahun. Wang yang dibelanjakan pun makan ratusan ribu ringgit. Ia tak mudah. Cabarannya setinggi puncak gunung itu sendiri.

Maka, Kasi Terbit mahu ia dibukukan dan dibawa ke peringkat antarabangsa. Moga perjuangan anak muda dari Kedah ini menjadi inspirasi kepada siapa saja yang membacanya. Biar mereka yang sentiasa rasa kerdil tahu, tak ada yang mustahil untuk dicapai. Namun untuk menjadikan sesuatu yang mustahil itu satu realiti, banyak cabaran harus dilalui dan kecekalan bukan hanya pada fizikal, tetapi mental!

Saya mula membaca buku ini petang semalam. Saya pernah membaca beberapa perenggan ketika di peringkat manuskrip. Waktu itu hanya apabila perlu memberi pendapat, maklumlah saya sendiri salah seorang warga kerja Kasi Terbit. Dan saya sendiri sudah menulis 8 buah buku bercorak kembara. Namun baru semalam petang, saya benar-benar ‘menghadap’ seluruh naskhah ini.

Conquering Everest: Do or Die Mission.

Buku ini membuatkan saya sukar berhenti. Ini kerana Bahasa Inggeris yang digunakan mudah difahami. Adalah beberapa perkataan terma gunung dan alam yang perlu saya selak kamus di telefon pintar. Namun keseluruhannya mudah difahami. Buku ini setebal 240 muka surat dan ada 3 galeri gambar yang mana setiap galeri gambar memilik 16 muka surat. Kekaguman saya bertambah kerana gaya bahasa tak kelihatan dangkal. Buku ini sama seperti buku-buku berbahasa Inggeris yang dikeluarkan penulis Amerika dan Eropah yang saya baca sebelum ini. Bahasa Inggeris yang digunakan tidak terlalu tinggi larasnya namun cukup untuk membuatkan kita faham dan ‘masuk’ ke dalam situasi penulis.

Buku ini membawa saya memahami kehidupan penulis. Kisah-kisah hidupnya yang membentuk dirinya kepada siapa Azim hari ini. Saya kagum, Azim tak pernah putus asa. Kejayaannya menawan puncak Everest bukanlah sekali cuba sudah berjaya. Perancangannya bermula sejak Azim memulakan pembelajarannya di Universiti Teknologi Malaysia pada 2010. Persiapan dan latihan sudah bermula sejak 2011. 5 tahun…itulah tempoh yang Azim lalui sebelum ke Puncak Everest.

Selain membawa kita meneroka bagaimana kehidupan di awal remajanya membentuk seorang pendaki berjiwa kental, buku ini menenggelamkan pembaca dengan perjalanannya meneroka gunung demi gunung sebelum dia benar-benar menakluk bumbung dunia itu.

Walaupun begitu, Azim hampir kecundang dan membuang segala impian ketika kehilangan manusia yang paling penting dalam hidupnya. Saya sangat sedih ketika membaca bab ini. Walaupun Azim seorang lelaki yang kental dan tak pernah menyerah kalah, namun hal yang satu itu hampir membuat dia hilang arah. Mujur ada mereka-mereka yang ambil berat dengan Azim, menarik lelaki ini kembali menjadi dirinya. Dan kerana pesanan insan yang selama ini tunggak hidupnya mula membayangi dirinya, Azim bangun dan menyudahkan sesuatu yang sudah dia mulai.

Kisah Azim bukan hanya tentang panjat gunung. Kisah Azim adalah tentang keazaman. Tentang megharungi halangan dalam diri sendiri. Ia tentang menawan gunung dalam fikiran manusia itu sendiri. Kisah Azim membuatkan kita sedar, kita mampu jika kita fikir bahawa kita boleh. Dan untuk mencapai sesuatu, bukan hanya kekuatan fizikal, persiapan, latihan dan alatan yang lengkap saja yang diperlukan dalam mencapai sasaran. Yang menjadi tunggak dalam mencapai impian adalah membina kekuatan emosi, ketahanan hati dan memperkasakan mental.

Azim juga membuat kita sedar, banyak lagi perkara lain yang perlu ditekuni. Salah satunya, kejayaan kita bukan hanya kerana diri kita seorang. Kadangkala peranan orang lain yang membantu itu adalah salah satu punca kejayaan. Tanpa mereka, kita takkan berada di mana kita berdiri sekarang.

Saya habis membaca buku Conquering Everest: Do or Die Mission ini tak sampai 24 jam. Saya akui saya tidur lewat malam tadi. Mungkin jam 2 pagi. Saya bangun dan sambung bacaan sehingga pukul 12.30 tengah hari. Saya puas. Buku ini mencapai jangkaan saya. Saya seolah-olah bersama dengan Azim dalam setiap langkah beliau menuju ke puncak tertinggi dunia. Sakit, sejuk, lelah, gembira, puas…saya dapat rasakannya. Menyesal pula saya tak sama-sama menelaah manuskrip ini dari awal. Adalah sedikit kesilapan kecil dalam percetakan dan susunan. Ia terlalu kecil dan sedikit namun tak menghilang atau mengurangkan mood bacaan.

Farul di Puncak Everest
Azim di puncak Everest

Tahniah Azim. Tahniah Anis. Tahniah Farul yang turut sampai ke puncak Everest bersama Azim. Tahniah semua yang terlibat dengan Misi Perdana UTM Everest 2016. Anda semua hebat.

Terima kasih Azim dan Anis kerana sudi berkongsi pengalaman dan memilih Kasi Terbit dalam menghasilkan buku ini. Terima kasih kepada Kak Delaila juga yang banyak membantu kami dalam proses menerbitkan buku ini. Terima kasih Yan Yahaya. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penerbitan buku Conquering Everest: Do or Die Mission.

Kepada pencinta buku, ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini, saya kira kita masih mampu mengembara. Membaca adalah salah satu caranya. Ia membawa kita ke tempat yang tak pernah kita jejaki. Ia membuat kita memahami pengalaman yang tak pernah kita alami. Dan buku ini, pasti buat anda mengembara tanpa batasan.

Saya percaya buku ini sangat sesuai dibaca ketika ini supaya kita semua boleh bangkit dan bersemangat menghadapi segala cabaran. Anda boleh dapatkan buku ini DI SHOPEE KASI TERBIT dengan KLIK DI SINI.

-Admin NAS-
Penulis Backpack Pusing Jerman &…