Oleh: Nadia Rashid

Dumfries, Scotland
Hujung minggu saya habiskan dengan mengembara ke Dumfries, tempat paling selatan di Scotland. Tempat ini pernah menyaksikan beberapa siri perang ke atas Kerajaan Skolandia sebelum kurun 1200 masihi lamanya. Nama Dumfries asalnya ialah perkataan Scottish “Dun Phris” yang bermaksud kubu yang bersemak samun.

Melewati lorong-lorong kecil berturap sambil menikmati pemandangan padang ragut hijau nun sehingga mendaki ke gunung dan menjunam jauh ke bahu pantai, segar terasa sepertinya bumi dilahirkan semula. Engkau tahu, saat dafoddil menguning tumbuh meliar di sepanjang jalan, saya melihat rumah-rumah petani yang kecil berwarna krim, kadang-kadang keemasan disinari matahari, terletak elok berselang-seli di tengah padang-padang ragut itu. Kelihatan juga lembu-lembu bertompok hitam serta biri-biri yang berserakan di sekitar padang ragut maha luas itu. Mengisi perut yang berkeroncong, mungkin.

Kota kecil ini terletak tidak jauh dari bandar besar Glasgow, hanya 2 jam perjalanan. Namun, seumpama rumput-rumputnya yang hijau tidak pernah terusik, pantainya yang biru seperti baru semalam Tuhan ciptakan dan pepohon besar hijau tua di hutannya seperti menjadi pelindung alam. Kadang-kala bertembung anak-anak sungai yang mengalir deras membawa airnya yang putih bersih suci walau batu-batu kesat kecil menghalang perjalanan.

Buat mereka yang gilakan gaya hidup di kota metropolitan, jelaslah Dumfries bukanlah penenang jiwa. Apalah yang ada, hanya petani-petani kecil dengan ladang-ladang besar beserta kincir-kincir air. Di kota kecilnya, tepat di persimpangan, berdiri sebuah patung perempuan kehitaman yang mendukung bayi dan tertulis di bawahnya “The Wife of Robert Burns”, seorang penyair terkenal yang pernah hidup di Dumfries sekitar tahun 1700 dahulu.

Kota kecil Dumfries tidaklah sebesar Petaling Jaya, kalah sekali dengan kesibukan Kuala Lumpur pada jalan-jalan utamanya. Dumfries, hampir semuanya dipenuhi padang ragut, kincir air yang kecil, lembah luas yang menghijau dan kekuningan, lembu-lembu gemuk yang bertompok, dan juga biri-biri putih yang gebu bulunya. Di tengah kotanya, Sungai Nith mengalir perlahan kebiruan airnya menghala ke Solway Firth arah selatan. Jambatan-jambatan yang merentanginya seolah seperti merestui aliran airnya yang tenang. Antara jambatan tertua ialah Devorgilla (atau lebih dikenali “The Old Bridge”) yang diambil namanya sempena nama ibu kepada salah seorang Raja Scotland, John Balliol.

Saya menyusuri pula ke Caerlaverock, mencari sisa runtuhan Caerlaverock Castle yang pernah menjadi kubu pertahanan sekaligus kediaman bagi Sir Herbert Maxwell dan keluarganya lebih 350 tahun. Istana kecil yang berbentuk segitiga ini berparit besar di sekelilingnya dibina pada awal abad ke 13 adalah antara istana batu yang paling awal dibina di Scotland. Ia berdekatan dengan laut kira-kira hanya 2 atau 3 kilometer sahaja. Saya membayangkan kesibukan sekitar istana ini pada tahun-tahun ia berfungsi dengan laskar-laskar yang mengangkut meriam ke sana ke mari, kuda-kuda perang dan mungkin juga beberapa orang laskar terlatih bersiap-sedia dengan panah masing-masing di atas menara tingginya, meneropong kalau musuh datang menjengah.

Menuju masuk ke dalam istana, saya disambut oleh 2 buah meriam kecil, tidak pasti jenisnya. Saya melalui jambatan ke pintu depan istana. Di bawah jambatan tersebut ada parit besar yang dipenuhi air. Di tengah-tengah istana yang berbentuk segitiga itu terdapat halaman terbuka menghala ke pemandangan belakang istana dan di bahagian selatannya pula terdapat bilik-bilik awam yang luas dan terang.

Saya membayangkan betapa istana itu dahulunya dihiasi langsir-langsir baldu merah besar menutupi sebahagian jendelanya yang menghadap matahari itu. Semestinya kandil-kandil bergemerlapan di segenap ruang istana. Saya memanjat tangga yang berputar-putar ke tingkat atas. Terdapat ruang makan di tengahnya. Di sisinya ada 2 bilik lengkap dengan satu ruang kecil di dalamnya. Ke arah belakang sedikit, terdapat satu menara yang menjulang tinggi ke atas dengan tangganya yang berpusing-pusing itu. Mungkin untuk meneropong musuh nun jauh di luar kota.

Dikatakan, istana ini bukan sahaja berfungsi sebagai kubu pertahanan atau kediaman keluarga Maxwell, tetapi juga sebagai mahkamah, tempat bermesyuarat para ketua politik dan juga penjara. Istana ini pernah dikepung oleh orang Inggeris ketika peperangan menuntut kemerdekaan untuk orang-orang Scotland.

Caerlaverock Castle akhirnya ditinggalkan pada abad ke 17 atau lebih tepatnya pada tahun 1640. Yang menariknya pada saya, walaupun istana ini mengalami keruntuhan dan dibina semula atau dibaiki dalam beberapa abad lamanya, ia tetap mengekalkan ciri-ciri binaannya yang terawal iaitu berbentuk segitiga dan berparit sehingga kini.

Kampung Dumfries

Petang di Dumfries sungguh menenangkan dengan cahaya matahari merah yang seakan-akan malas untuk pergi. Langit berbalam merah-biru terasa cerah membumbungi Dumfries yang aman. Rumah-rumah kecil di sekitar perkampungan di Caerlaverock membawa ke Southerness sepi sahaja. Saya terjenguk kalau ada kanak-kanak riang yang berlari ke sana sini. Tiada. Tinggal warga tua sahaja yang setia dan tekun berbakti pada tanah, tiada yang muda. Hampa.

:: Nadia Rashid
Catatan kembara
29-31 Mac 2014
Dumfries, Scotland