Ditulis oleh: Nadia Rashid

Usai Subuh pada suatu pagi musim bunga, saya termenung seketika. Ralit. Sengaja membiarkan minda kosong tanpa memikirkan apa-apa. Telefon bimbit dicapai lalu terus mengajak seorang teman ke Edinburgh, ibu kota Kerajaan Skolandia dan merupakan bandar kedua berpopulasi terbesar di Scotland selepas Glasgow. Kota lama ini menyimpan seribu satu macam misteri sehingga ia terkenal dengan jolokan kota berhantu.

Tepat 9.30 pagi, saya dan teman sudah terpacak di Stesen Keretapi Anniesland. Perjalanan ke Edinburgh membuaikan saya. Saya memilih untuk membaca bacaan santai karya Faisal Tehrani sambil sesekali menjeling ke luar jendela kalau-kalau ada pemandangan padang ragut yang memukau. Entah mengapa, sejak ke Dumfries tempoh hari, saya bagai ketagihan menjamu mata dengan padang ragut kehijauan dan kadang kekuningan itu.

Dan, nah! Tidak sia-sia saya terjeling-jeling keluar. Tiba di Blackridge, terdampar padang-padang ragut dengan biri-biri yang kehitaman mukanya. Berserakan. Sekaligus bagai melantun lagu “Ba Ba Black Sheep” di kuping telinga. Bahkan, saya diberi bonus dengan keberadaan tasik biru di celah padang ragut maha luas itu. Ia masih cantik walau langit kelihatan kusam kehitaman warnanya. Nikmat, mata yang melihat.

Setibanya di Edinburgh, kami menapak keluar dari bangunan Stesen Waverly Edinburgh, langsung terus menuju Market Street mencari-cari arah ke Edinburgh Castle. Edinburgh terletak di Lothians, arah timur Bandar Glasgow atau lebih tepatnya di muara Sungai Forth yang arusnya terus mengalir ke Laut Utara. Kota lama yang penuh misteri, dari kisah pembunuhan kepada kisah kematian, ia bagai satu sumpahan laknat kehitaman yang menyimpan banyak sejarah jika dikorek satu persatu. Maka, tidak hairanlah apabila keseluruhan bandarnya (Old Town dan New Town) dinobatkan oleh UNESCO sebagai salah satu tapak warisan dunia. Perkataan “Edin” dipercayai berasal dari bahasa Cumbric yang pernah dituturkan oleh populasi kaum Votadini yang terawal mendiami kawasan itu.

Saya dihidangkan dengan kepelbagaian ragam manusia di sepanjang High Street menuju ke Edinburgh Castle. Di bahu-bahu jalan, kelihatannya peniaga-peniaga kecil menjual pelbagai barangan, dari pakaian tradisional Scotland (tartan), selendang cashmere, pelbagai cenderamata sehinggalah kepada lukisan-lukisan pemandangan bandar Edinburgh. Suasana ini mengingatkan saya kepada kemeriahan peniaga-peniaga kecil di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman menghala masuk ke Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.

Setibanya di Edinburgh Castle, saya dan teman beratur panjang untuk membeli tiket. Kedengaran dari perbualan mereka yang beratur di hadapan atau di belakang kami, bukanlah penduduk tempatan. Semuanya pelancong dari serata dunia seperti China, Nepal, Rusia, German, Perancis, Pakistan, Romania dan pelbagai lagi. Tidak hairanlah jika Edinburgh dicatatkan sebagai bandar kedua United Kingdom yang paling ramai dikunjungi pelancong selepas Kota London di England.

Kami berjalan ke pintu besar istana, menuju masuk ke dalam kawasan istana. Edinburgh Castle sangat berbeza dengan Caerlaverock Castle yang saya kunjungi di Dumfries dahulu. Ia merupakan kediaman keluarga diraja Scotland bermula dari pemerintahan King David I pada abad ke 12 dan merupakan ikon sejarah tertua bagi Kerajaan Skolandia. Antara keluarga diraja yang pernah mendiami istana ini ialah Queen Margaret (cucu perempuan King Alexander III of Scots dari sebelah ibunya) yang seterusnya mangkat di sini pada tahun 1093 dan Mary Queen of Scots yang melahirkan anak lelakinya King James IV pada tahun 1566. Namun, peranan istana ini sebagai kediaman diraja Scotland telah dialihkan sedikit demi sedikit kepada tujuan ketenteraan dan kubu pertahanan.

Seterusnya, pada abad ke 17, istana ini sepenuhnya menjadi berek tentera dengan pasukan pengawal yang besar. Maka, tidak hairanlah saya disambut oleh 8 buah meriam besar yang teratur elok di sebelah kanan pintu masuknya. Saya menapak ke tembok yang terletak meriam disampingnya, melepaskan pandangan ke luar istana. Kelihatan muara Sungai Forth jelas kebiruan airnya nun sepertinya jauh melepasi bahagian New Town Edinburgh. Saya dan teman menghala ke bahagian “Low Defences” yang menurut sejarahnya ia dibina oleh seorang ketua komander Utara Britain, General George Wade bersama arkiteknya Kapten John Romer. Bukan sahaja bahagian Low Defences, malah menara-menara di bahagian atas istana bersama kelengkapan meriam juga dibina olehnya. General Wade juga dikenang kerana binaan-binaan jalanraya di bahagian pergunungan-pergunungan Scotland untuk tujuan ketenteraan.

“Had you seen these roads before they were made,
you would hold up your hands and bless General Wade”

Kami memanjat semula tangga menuju ke laman istana yang maha luas itu. Kelihatannya di sebelah barat istana, terdapat National War Museum of Scotland yang menempatkan peralatan-peralatan perang, penceritaan kisah-kisah perang yang berlaku di Scotland (yang melibatkan Edinburgh Castle sebagai kubu pertahanan) dan patung-patung tokoh ketenteraan. Kami terus berjalan mendaki ke atas bangunan utama istana. Saya suka membayangkan situasi di situ pada masa-masa ia berfungsi. Pasti kuda-kuda diraja atau komander-komander perang berkuda pantas memanjat memasuki kawasan laman utama (Crown Square) di hadapan The Great Hall bagi menyampaikan pesan. Agak jauh juga jaraknya dari pintu pagar masuk dengan halaman utama di hadapan The Great Hall, tempat raja bersemayam.

Melepasi Foog’s Gate, kelihatan sebuah gereja kecil di kiri jalan, menghala pemandangannya selari dengan bahagian Low Defences di bawah. Gereja yang bernama St Margaret Chapel ini dibina oleh King David I pada tahun 1130 sebagai tempat ibadat keluarga diraja. Ia dinamakan St Margaret Chapel kerana didedikasikan buat ibunya, Queen Margaret. Saya memasuki gereja kecil itu, pintu masuknya muat-muat untuk seorang dewasa melaluinya. Di dalamnya kelihatan beberapa pelancong Kristian duduk di kerusi panjang di kiri dan kanan gereja sambil membaca kitab Bible dan berdoa. Keluasan gereja ini hanya dua depa orang dewasa untuk lebarnya dan kira-kira 5 depa orang dewasa dari pintu masuk hingga ke hadapan gerbang mimbar.

Saya kemudiannya menuju pula ke bahagian timur yang terletaknya Half-Moon Battery, tembok tebal yang tinggi itu dibina di atas puing-puing runtuhan David’s Tower untuk mengelakkan peluru-peluru meriam sampai ke Royal Palace. Di sinilah mahkota diraja Scotland disembunyikan iaitu di dalam almari tandas di David’s Tower semasa Perang Dunia Kedua.

Saya masuk ke Crown Square, halaman istana bersegi empat sama di mana di bahagian utaranya terletak Scottish National War Memorial, di timurnya ialah Royal Palace, di selatannya ialah The Great Wall dan di bahagian baratnya adalah Prisons of War. Kelihatannya ramai pelancong yang bergambar di sekeliling halaman bersegi itu. Saya dan teman ikut masuk beratur ke Royal Palace di mana dipamerkan sejarah kerajaan Skolandia, kematian Queen Mary of Guise, sehinggalah kepada kelahiran King James VI. Dipamerkan juga proses pembuatan Crown Jewels yang menjadi tanda kehormat Kerajaan Skolandia.

Akhir sekali, kami terpegun apabila dipamerkan The Crown, Sword of State dan juga Sceptre yang tulen, lambang kerajaan beraja yang tertua di Kepulauan Britain. Raja Scotland yang pertama sekali memakai mahkota tersebut ialah King James V (ayahanda Mary Queen of Scots) semasa hari pertabalan isterinya Queen Mary of Guise pada tahun 1540. Mahkota yang bertakhtakan mutiara putih entah berapa butir itu kelihatannya sungguh gah dengan baldu merah meliputi keseluruhan rangka mahkota. Sayang, gambarnya tidak boleh diambil dengan seorang pekerja istana duduk memerhati di hujung sudut. Di Royale Palace juga, saya menjejak ke dalam bilik-bilik yang pernah didiami oleh keluarga diraja ini, melihat siling bilik yang bercorak mewah dengan kandil yang memberi gaya elegan kepada bilik seorang permaisuri, Mary Queen of Scots.

Di The Great Hall, saya membayangkan betapa urusan-urusan rasmi diraja diadakan, tempat para utusan dari luar mengadap Raja Scotland dan tempat raja-raja Scotland menyampaikan titahnya. Namun, pada tahun 1650, ia ditukar fungsinya menjadi berek tentera oleh Cromwell.

Setelah penat menjelajah keseluruhan kawasan istana, kami duduk sebentar di kerusi panjang yang disediakan di bawah pohon Cherry Blossom. Angin dingin menerpa ke wajah, laju dan tajam, menyiat kulit tangan saya. Percaya atau tidak, tangan saya sudah beberapa kali terluka kerana angin tajam ini. Kami keluar dari Edinburgh Castle setelah hampir 3 jam mengenang sejarah peperangan, kelahiran dan kematian Kerajaan Skolandia. Maka, tidak hairanlah ramai yang beranggapan bahawa Edinburgh Castle adalah antara tempat berhantu dan bermisteri di dunia dengan cerita-cerita pelbagai versi yang menakutkan. Saya senyum sahaja apabila mengenangkan kepercayaan tahyul-mahyul ini bukan saja dimonopoli oleh orang Melayu, tetapi juga orang-orang Barat yang terkenal dengan gaya modennya itu.

Seterusnya, kami menjelajah ke segenap Old Town di Edinburgh. Menjejaki lorong-lorong kecil di celahan bangunan. Menariknya, setiap lorong di celah-celah bangunan itu punya namanya tersendiri, kadang-kadang lurus ke hadapan, kadang kala bertangga-tangga. Walaupun bandarnya sibuk sesibuk Kuala Lumpur, ia tetap menampakkan ciri-ciri historikal yang unik kerana bangunan-bangunan tuanya itu. Seusai solat di Central Mosque of Edinburgh di Potterrow berdekatan dengan Universiti Edinburgh, kami menyusuri ke New Town. Old Town dan New Town hanya dipisahkan oleh sebuah jambatan panjang yang merentangi stesen keretapi Waverly Edinburgh dibawahnya dan dipanggil Waverly Bridge.
Pemandangan dari atas Waverly Bridge sangat mempesonakan, menghadap ke Princess Street Garden di sebelah kirinya dan terlihat bukit-bukau nun jauh menghijau di sebelah kanannya.

Kami menghala ke Princess Street Garden yang terletak tidak jauh dari Waverly Bridge. Hanya 5 minit berjalan kaki. Dari Princess Street Garden, jelas kelihatan pemandangan bangunan-bangunan lama di Old Town dari kejauhan. Sungguh, ia punyai nilai sejarah yang unik. Bangunan-bangunan tersebut ada yang dibina beberapa abad lamanya, masih tersergam gah sehingga ke hari ini. Di Princess Street Garden, tersergam sebuah monumen tinggi (Scott Monument) bercirikan reka bentuk Victorian Gothic. Ia dibina bagi memperingati penulis Scotland iaitu Sir Walter Scott.

Beberapa kali saya terlihat-lihat bangunan-bangunan di New Town, sungguh berbeza dengan Old Town yang punya ciri klasik di seluruh bandarnya. Kelihatan juga beberapa buah tram lalu-lalang di Princess Street menghala ke Waverly Bridge. Tidak seperti di Glasgow, kedai-kedai menjual pakaian tradisional Scotland (tartan) berderet-deret di sepanjang jalan-jalan kota Edin ini. Saya mengenang-ngenang baju kurung sebagai pakaian tradisional Melayu. Sungguh saya lega apabila mengenangkan baju kurung masih dipakai sebagai pakaian harian (ke tempat kerja, kuliah, sekolah, kenduri). Tidak seperti tartan yang hanya dipakai ketika urusan rasmi kebangsaan dan hari-hari tertentu sahaja oleh orang-orang Scotland. Selepas ini mungkin saya perlu menerapkan dalam diri untuk mencintai baju kurung dan berbangga memakainya.

13 April 2014
Edinburgh, Scotland