Artikel ditulis oleh: Norsa’adah Ahmad

Beliau merupakan penulis buku Melbourne dan Sydney dalam 10 Hari dan buku Tokyo dan Osaka dalam Lapan Hari. 

****

Beberapa hari sebelum bertolak ke Tokyo, berita tentang kejadian gempa bumi di negara matahari terbit agak merisaukan. Tapi, perjalanan tetap diteruskan. Hati berdebar-debar, namun semuanya baik-baik sahaja apabila saya dan tujuh sahabat mendarat di Lapangan Terbang Haneda pada akhir Oktober tahun lepas.

1. Tokyo

Misi kami melawat enam buah bandar yang terkenal di Jepun bermula dengan Tokyo. Kota metropolitan yang menjadi tumpuan pelancong. Tokyo terkenal dengan kesibukan dan kepadatan penduduknya. Apa yang menarik di sini?

Meiji Shrine

Budaya orang Jepun khususnya di bandar ini menggabungkan nilai tradisional dan moden. Hari pertama kami ke Meiji Shrine di Harajuku. Salah satu tempat popular untuk dilawati. Ia sebuah taman yang sangat luas dengan ruang pejalan kaki yang lebar dan binaan yang menarik. Rimbunan pokok menjadikan taman ini terasa nyaman.
Terdapat dewan utama yang menjadi tempat upacara istimewa. Kami bertuah pada hari itu kerana dapat menyaksikan majlis perkahwinan pasangan Jepun mengikut adat Shinto. Pasangan pengantin diiringi rombongan mengelilingi kawasan suci. Tiada alunan gendang atau bunyi-bunyian. Selain itu, kanak-kanak berusia 5 dah 7 tahun diraikan oleh ibu bapa mereka. Kanak-kanak ini akan berpakaian tradisional dan dibawa melawat ke tempat suci. Ini menandakan peningkatan usia mereka.

Takeshita Street dan Shibuya Crossing

Usai berjalan-jalan di Meiji, kami bergerak ke Takeshita Street. Suasana yang berbeza sekali. Ia dipenuhi dengan deretan kedai yang menawarkan pelbagai jenis barangan. Cuaca mendung dan hujan renyai tidak menghalang pengunjung untuk membeli-belah di sini.

Tidak sah ke Tokyo tanpa melihat sendiri ratusan manusia melintas di Shibuya Crossing. Suatu pemandangan yang menarik. Lampu isyarat bertukar hijau, arus manusia bersimpang siur selama hampir satu minit sehingga lampu kembali merah. Orang ramai yang berpayungan lutsinar kelihatan seperti cendawan yang tumbuh banyak semasa hujan.

Di sini juga terletak patung Hachiko, anjing yang setia yang menunggu tuannya. Sering kali ia menjadi tempat pertemuan yang mudah dikenal pasti. Dalam kesesakan manusia, kami terpisah kepada dua kumpulan. Namun, dapat berjumpa semula berhampiran patung Hachiko.

Muzium Negara Tokyo

Kami tak sangka begitu ramai orang beratur untuk memasuki muzium. Hujan lebat tidak menghalang pengunjung untuk datang ke sini. Bukan sahaja pelancong luar negara, malahan warga Jepun juga kelihatan ramai di sini. Sudah tentu ada sesuatu yang hebat dipamerkan dalam bangunan ini. Ternyata kami kagum dengan koleksi daripada pelbagai era peradaban Jepun khususnya. Hampir setengah hari juga menghabiskan masa di sini.

Asakusa

 

Jika anda ke Jepun, jangan lupa singgah di Asakusa. Kawasan membeli-belah yang mempunyai sejarah ratusan tahun. Ia berhampiran dengan tokong Senso atau Senso-ji yang menjadi tempat ibadah penganut Buddha. Binaan tokong ini mempunyai ciri yang unik dan sebuah pagoda lima tingkat juga ada dibina. Selain itu, pengunjung dapat menyaksikan upacara membakar colok yang dipercayai boleh membawa tuah.

 

2. Kawaguchiko

Kami menaiki bas dari Shinjuku ke stesen Kawaguchiko. Bermalam di sini dan keesokannya kami berbasikal sekitar Tasik Kawaguchiko. Tasik ini antara tasik yang luas di Jepun. Dari sini, kita boleh melihat Gunung Fuji dengan jelas. Syaratnya, keluar seawal 7 pagi. Apabila matahari naik semakin tinggi, puncak Gunung Fuji mula dilindungi awan. Pemandangan yang sangat indah di sekitar Kawaguchiko. Kami berbasikal sehingga ke Maple Corridor. Daun maple berwarna kekuningan dan kemerahan menandakan musim luruh sudah bermula.

3. Osaka

Sehari rasanya tidak cukup untuk menikmati ketenangan di Kawaguchiko. Tapi kami mesti beredar kerana telah membeli tiket Shinkansen untuk ke Osaka. Kami menaiki tren berkelajuan tinggi ini dari Stesen Mishima ke Stesen Shin-Osaka.

Universal Studios Japan

Taman tema yang berasaskan filem Hollywood terkenal dibuka di Osaka pada 2001. Ia antara empat US di dunia selain Universal Studios Singapore, Universal Studios Hollywood dan Universal Orlando Resort. Ia tempat yang mesti dikunjungi bagi penggemar aktiviti beradrenalin tinggi seperti roller coaster. Peminat siri Harry Potter juga mesti datang ke sini untuk mengalami dunia magik dan sekolah Hogward seperti yang wujud dalam filem.

Taman tema ini sentiasa sesak dengan pengunjung. Lebih baik beli tiket secara online untuk menjimatkan masa. Jika ada bajet, dapatkan Express Pass supaya anda boleh memasuki tarikan utama di sini seperti Wizarding World of Harry Potter World, Jurassic Park, Hollywood dan Minion Park. Sepanjang hari berada di sini penuh dengan keseronokan. Apatah lagi ia dilakukan bersama sahabat baik dalam perjalanan ini. Semuanya terhibur walaupun ada yang rasa menyesal bermain roller coaster Flying Dragon, dikejar zombie Jepun di Deadman’s Forest dan meremang bulu roma semasa pementasan Sadako.

Osaka Castle Museum

Muzium ini berasal daripada istana yang dibina untuk pemerintah Jepun. Salah seorang pemerintah Jepun yang terkenal ialah Hideyoshi Toyotomi. Pengunjung boleh melihat sejarah kehidupan Hideyoshi yang bermula selepas beliau keluar mengembara dan menjadi hamba puak Imagawa. Kemudian, beliau menyertai peperangan dan meninggalkan legasi kebudayaan dan kepimpinan yang penting dalam masyarakat Jepun.
Muzium ini ada lapan tingkat. Pengunjung perlu naik ke tingkat atas sekali dan kemudian turun setiap tingkat untuk melihat barang pameran. Ada bahagian yang tidak dibenarkan untuk mengambil gambar.

Kawasan Osaka Castle yang luas ini juga menjadi tumpuan pengunjung kerana taman dan tasik di tepi istana. Kami sempat menaiki Gozabune Boat untuk menyaksikan pemandangan unik istana dari sini.

Dotonburi

Glico Running Man terletak di Dotonburi, satu lagi kawasan membeli-belah yang mesti dikunjungi. Tidak semestinya anda mahu berbelanja di sini. Memerhatikan gelagat manusia daripada pelbagai lapisan juga suatu yang menarik. Papan tanda iklan Glico sudah wujud di situ sejak 1935. Memang terdapat banyak papan iklan yang bersaiz besar dengan warna neon di sepanjang jalan.

Suasana malam sentiasa meriah dan hiruk-pikuk daripada muzik dan orang ramai yang datang ke sini. Boleh dikatakan pelbagai jenis barang ada dijual. Makanan, kosmetik, cenderamata, kedai kopi Starbucks dan pelbagai jenama lain boleh didapati di sini.
Jangan lupa datang ke Dotonburi untuk melihat sendiri Glico dan membeli-belah di sini.

4. Kobe

Hanya sejam menaiki tren dari Osaka untuk ke Kobe menggunakan laluan Hanshin. Kobe, bandar pelabuhan dan pernah menjadi pelabuhan kontena yang paling sibuk di dunia. Pada tahun 1995, gempa bumi besar berlaku dan mengorbankan 5,000 orang. Bandar Kobe rosak teruk. Kami pergi ke Meriken Park, Port of Kobe Tower dan berjalan di sekitar Muzium Maritim. Semua kawasan ini berdekatan.

Malahan, sempat juga minum kopi di Starbucks Meriken Park yang baru dibuka pada bulan April 2017. Selepas itu kami ke Masjid Kobe. Kebetulan pula ada sekumpulan pelajar sekolah tinggi yang mendengar penerangan tentang Islam di ruang tengah masjid. Pendakwah Jepun itu menegur kami dalam Bahasa Melayu. Rupanya dia pernah belajar di Indonesia. Sungguh kagum dengan kesanggupannya belajar agama.

Di kawasan berhampiran masjid, ada restoran India yang menyajikan makanan halal. Boleh tahan mahal harganya. Kami masuk ke Kobe Halal Food, kedai barangan runcit. Banyak barang seperti rempah, kicap, sos dan mi segera diimport dari Indonesia. Pekerjanya juga pelajar dari Indonesia yang menuntut di Kobe.

Kami membeli beberapa barang seperti beras dan kicap, kemudian berjalan ke Sannomiya Street. Ini juga kawasan membeli-belah yang sibuk dan meriah. Kami membeli coklat dan kemudian pulang ke Osaka.

5. Kyoto

Bandar Kyoto juga tidak jauh dari Osaka. Boleh menaiki tren dengan menggunakan Kansai Thru Pass. Tujuan kami ialah Arashimaya, untuk ke hutan buluh. Arashimaya satu lagi tempat tarikan pelancong. Dari stesen, kami berjalan kaki menyeberang Togetsukyo Bridge. Cuaca sangat baik pada hari itu.

Beberapa orang rakan mencuba pakaian tradisional kimono. Ada banyak kedai yang menyediakan perkhidmatan sewaan kimono lelaki dan wanita. Ia dilengkapi dengan terompah dan aksesori seperti tas tangan dan sepit rambut. Memang rumit pemakaian kimono yang berlapis-lapis. Seorang pembantu akan memakaikan persalinan ini.
Selepas berjalan-jalan di Arashimaya, kami ke Gion dan Starbucks Kyoto yang dibuka dalam bangunan lama. Ia terletak di Ninen-zaka. Pelanggan boleh duduk di atas tatami dan menikmati kopi panas dalam suasana yang unik ini.

6. Nara

Bandar terakhir yang kami lawati sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Selepas menyimpan beg di stesen Osaka Namba, kami menaiki tren ke Nara. Tujuan kami adalah Nara Park yang terkenal dengan rusa liar. Orang ramai boleh memberi rusa makan biskut rusa iaitu Shika Senbei. Namun perlu berhati-hati kerana rusa ini mungkin akan bertindak ganas.

Orang Jepun memang suka keluar ke taman rekreasi seperti ini. Festival makanan jalanan sedang berlangsung tidak jauh dari kawasan rusa liar. Kami juga sempat pergi ke Hyejo Palace untuk melihat Festival Mitsuki Umashi.

*****

Maka berakhir perjalanan selama lapan hari di enam buah bandar Jepun. Pelbagai peristiwa menarik yang kami lalui. Semestinya negara Jepun mempunyai budaya, sejarah dan pembangunan yang mengagumkan.

Kami merakamkan pengalaman ini dalam buku Tokyo dan Osaka dalam Lapan Hari. Ia menjadi hadiah buat kenalan dan juga pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang trip kami kali ini.

Selepas ini kami merancang akan ke daerah di utara Jepun iaitu Hokkaido, bermain ski dan salji pada musim sejuk.