Ketika tiba di Walking Area Hoi An, saya dan Azzah terus membuat janji dengan pakcik motor untuk mereka datang jemput kami pada jam 5 petang.

Jadi, seperti dijanjikan, kami ke tempat pakcik motor turunkan kami tadi bila menjelang jam 5 petang. Pakcik memang dah menunggu.

Kami terus dibawa ke stesen bas semula. Bayaran pun sama, 20,000 dong.

Naik Motor di Hoi An

Sampai di stesen bas, bas dah sedia menunggu. Dah nak bergerak dah. Tapi kami belum solat. Wuduk pun belum lagi.

Pekerja syarikat bas memanggil kami untuk naik tapi kami tolak. Kami tanya bas seterusnya jam berapa. Jam 6 petang katanya.

Oleh kerana kami nak ke tandas ambil wuduk dan nak solat dulu, kami tak jadi naik bas itu. Fikir kami, tak apalah naik bas jam 6 petang sahaja.

Ketika dalam tandas, kami dengar suara pekerja bas memanggil-manggil kami di luar. Azzah menjerit,”Go! Go!”

Maknanya tak apa lah. Bas tu pergilah dulu. Kami naik bas seterusnya pula.

Saya dengar bas bergerak… kemudian berhenti. Seorang perempuan tempatan datang ke pintu tandas.

Leklau! Leklau!

Saya suruh dia pergi sebab kami belum siap lagi ambil wuduk. Tapi dia tetap memanggil-manggil jugak. Kelam kabut kami dibuatnya. Pakai tudung, pakai stokin, pakai kasut dan terus keluar.

Perempuan tersebut menarik dan mengiringi kami berlari ke bas. Dipegangnya badan saya untuk naik ke atas bas.

Fuhhh! Selamat naik atas bas.
Rupanya dia kalendan bas. Sangat perihatin dan baik menunggu kami dan tidak mahu kami ditinggalkan bas di situ.

Kami solat atas bas sahaja petang itu.

Bas Hoi An - Da Nang

-Rohaniah Noor-