Penulis: Rohaniah Noor

Semasa mengembara ke Thailand dan Laos melalui jalan darat pada tahun 2016, saya tak lepaskan peluang pergi kali kedua ke Vang Vieng.

Kali pertama ke Vang Vieng, Laos adalah pada tahun 2015. Masa tu saya datang dari arah Sapa, Vietnam ke Oudomxay, Laos kemudian terus ke Vang Vieng.

Masa tu saya sewa basikal dan explore sungai. Mandi di Blue Lagoon dan tubing di Sungai Nam Song. Oh.. bagi saya tubing tu sangat bosan. Airnya perlahan dan ambik masa sangat lama untuk sampai ke titik tamat. Saya sorang pula tu. Boringnya…

Tapi, bila datang kali kedua, saya nak teroka tempat lain pula. Saya nak teroka gua.

Yup, Vang Vieng ni selain terkenal dengan sungai Nam Song yang cantik dan blue lagoon yang membiru, ia juga terkenal dengan pelbagi gua batu kapur. Ada banyak gua-gua batu kapur di sini yang pihak tempatan cuma promosikan.

Semasa dalam perjalanan ke Blue Lagoon, saya perasan ada beberapa signboard gua yang kalau nak pergi, kami kena masuk ke kiri atau ke kanan. Siap ada penerangan apa yang best di gua ni.

Sejak tahun lepas juga saya memang teringin nak jenguk gua batu kapur di sini tapi masa tu tak sempat. Jadi, kali ni saya berazam mahu menjenguk.

Dari jawaan yang saya tanyakan ke Pakcik Google, ada dua tiga gua yang ada signboard dalam perjalanan ke Blue Lagoon tu yang pelawatnya kata gua tu cantik tapi sangat gelap, kena jalan agak jauh untuk sampai ke gua yang cantik tu dan mereka tak puas hati dengan guide. Katanya ada budak tempatan menunggu, ambil bayaran masuk dan bertindak sebagai guide. Tapi ada guide yang mabuk masa tu, ada guide yang tak bersama mereka sampai balik.

Saya rasa ia sangat adventure dan berisiko. Jadi saya cari gua yang lebih selamat untuk dikunjungi. Saya pun berpegang pada buku Lonely Planer versi fotostat yang saya ada. Beli di Vietnam tahun lepas. Boleh la buat panduan.

Buku Lonely Planet ada senaraikan dua tempat. Satu Tham Jang atau gua Jang, satu lagi Tham Sang Triangle iaitu satu kawasan yang ada empat buah gua berdekatan. Tham Jang tak jauh dari pekan Vang Vieng. Tham Sang Triangle dalam 13 km dari sini, kena lalu jalan utama ke Luang Prabang.

Bertanya pada pakcik Google, tak ada adegan-adegan adventure sangat di Tham Jang. Kata mereka, ia gua yang basic di sini. Kalau datang Vang Vieng, mesti datang ke gua ini. Ada pelawat yang dah banyak melawat gua pula kata, gua ni biasa sangat. Yelah.. dah ada banyak pengalaman lihat gua batu kapur lain yang lebih cantik kan.

Apa pun, saya rasa tertarik. Apa kata saya dan kawan kembara saya mulakan dengan Tham Jang dulu. Kalau kami rasa menarik, boleh la kami lawat gua lain pula.

Masa tu, kami nak ke guna Tham Jang ni selepas puas mandi di Blue Lagoon la.

Kami kena tukar kasut. Yelah.. sebelum ni main air di Blue Lagoon, pakai selipar je. Sekarang kena tukar, pakai kasut trekking atau setidaknya kasut sukan yang selesa.

Dengan bermotorsikal kami mencari di manakah Tham Jang. Mula-mula macam salah jalan juga tapi akhirnya jumpa, selepas bertanya orang tempatan.

Masuk je ke kawasan depan gua ni, kami dikenakan bayaran 2,000 kip seorang dan 3,000 kip untuk motorsikal. Kemudian kami park motor, dan berjalan melintasi sebuah jambatan berwarna oren. Warna jambatan tu buat ia menyerlah, ditambah dengan senibinanya yang klasik.

Kemudian kami nampak sebatang sungai. Nampak ramai orang tempatan mandi di sana. Cantik ke airnya?

Bila jenguk, woww.. cantik. Kebiruan ala-ala di Blue Lagoon juga. Rupanya kat sini orang tempatan pakat datang mandi dan berkhelah. Yelah.. Blue Lagoon dah penuh dengan pelancong.

Kami terus berjalan masuk ke kawasan gua. Kena bayar 15,000 kip bersamaan rm7.55. Ada tangga yang tinggi dan agak curam di hadapan. Wowww…

Satu persatu anak tangga kami naik. Ada yang agak tinggi juga anak tangga tu, ada yang biasa-biasa sahaja. Normi dah risau. Dia tanya, nanti turun lalu tangga ni juga ke?

Hm.. setakat yang saya research. tak ada pula orang cerita ada jalan turun yang lain. Macam kena lalu tangga ni juga la.

Kawan saya, Nas kata dia gayat. Dia takut naik tangga sebab tinggi. Saya cakap, jangan tengok bawah la.. Tengok anak tangga sahaja. Dia kata, nanti dia nak turun kena tengok bawah juga.

Sebenarnya saya pun gayat orangnya. Kalau naik jambatan gantung di Taman Negara haritu, memang takkan pandang bawah la. Pandang atas sahaja. Jangan harap juga saya akan buat bungee jumping satu hari nanti.

Tapi kalau setakat panjat tangga, saya ok. Mungkin sebab dah biasa setiap hari panjat bukit masa menoreh getah dulu

Semakin lama semakin tinggi tangga yang kami naik. Akhirnya sampai juga di pintu masuk gua. Fuh.. lega.. gua sejuk.. sedap la badan lepas berpeluh-peluh panjat tangga tadi.

Kata Nas, dia gayat. Lepas ni dia tak suka gua dah. Hmm.. macamana dengan harapan saya nak explore gua lain di sini kalau macam ni?

Sebelum balik dari Tham Jang, kami beli keledek bakar 3 ketuk dengan harga 10,000 kip, buah plum 10,000 kip dan kerepek pisang buat bekalan naik bas nanti 5,000 kip.

Malam esok, kami mahu tinggalkan Vang Vieng dan bergerak ke Luang Prabang pula.