Ramai antara rakyat Malaysia yang masih takut-takut nak masuk ke negara Thailand melalui jalan darat. Ada juga yang kurang pasti, bagaimana mahu memandu dan membawa masuk kereta sendiri melepas sempadan ini. Jangan risau, ia tak sesusah mana.

Saya dan rakan-rakan telah melalui pengalaman ini pada 13 Mac 2015 yang lalu. Kami memandu dari Kuala Lumpur ke Perlis, dan kemudiannya merentasi sempadan Thailand menuju ke destinasi kami, Koh Lipe.

Saya kongsikan pengalaman kami ini ya.

  • Perjalanan dari Kuala Lumpur ke sempadan Thailand melalui Wang Kelian mengambil masa 6 jam 30 minit. Dari Lebuhraya Utara-Selatan, menghala ke Kangar.  Ada papan tanda ke Wang Kelian di sana. Pandu sahaja mengikut papan tanda tersebut.
  • Imigresen Malaysia dan Thailand di Wang Kelian, Perlis mula beroperasi dari jam 8 pagi waktu Malaysia (7 pagi waktu Thailand) hingga pukul 7 malam waktu Malaysia (6 petang waktu Thailand). Wang Kelian dipilih berbanding Bukit Kayu Hitam atau Padang Besar kerana jaraknya yang lebih hampir dengan Pakbara, Thailand.
  • Teruskan memandu masuk melewati Imigresen Malaysia, tiada apa-apaprosedur ketat di situ, cuma senyum-senyum saja dengan pegawai kastam Malaysia, kemudian carilah mana-mana kawasan untuk meletakkan kenderaan. Di sebelah kiri sebelum melalui Imigresen Thailand ada kawasan yang agak lapang, bolehlah parkir di situ.
  • Jika tiada borang putih (borang yang perlu diisi sebelum memasuki sesebuah negara dan diserahkan semula ketika mahu meninggalkan negara tersebut), sila ke bangunan kecil yang kedudukannya berada di tengah-tengah bangunan Imigresen Malaysia dan Imigresen Thailand. Jika dari bangunan Imigresen Malaysia, pejabat kecil itu berada di sebelah kanan. Hanya di situ sahaja terdapat borang putih. Ada satu keadaan yang tak dapat dielakkan iaitu kita perlu memasukkan RM2 ke dalam passport dan menyerahkan kepada pegawai lelaki di kaunter tersebut. Beliau akan mengisi borang putih tersebut bagi pihak kita walaupun kita boleh mengisinya sendiri. Selepas borang putih diisi, beliau akan menyerahkan borang putih bersama pasport kepada kita.

Nota: Kawan saya cuba meletakkan RM1 sahaja, tidak dilayan. Lelaki di sebelah kami tidak mahu menyelitkan duit, natijahnya, beliau tidak dilayan, borang putih tidak diberikan. Sekali lagi diingatkan, hanya pegawai lelaki di kaunter itu sahaja yang ada borang putih tersebut.

Tempat mendapatkan borang putih
Tempat mendapatkan borang putih
  • Selepas borang putih lengkap, sila bawa pasport dan borang putih tadi ke kaunter Imigresen Thailand (kaunter Imigresen Thailand seperti dalam gambar di bawah). Cop sana, cop sini, siap!

    Bangunan Imiresen Thailand
    Bangunan Imigresen Thailand
  • Kini, kereta bolehlah dipandu masuk ke negara Thailand. Sila memandu dengan perlahan melewati Imigresen Thailand, kemudian cari tempat letak kereta di situ. Jangan letak di tepi jalan di hadapan gerai-gerai di situ, ada polis Thailand yang meronda dan akan menegur kita untuk tidak berhenti di situ. Parkir terletak agak jauh dari bangunan Imigresen Thailand, lebih kurang 100 meter jauhnya. Ada lagi urusan perlu diselesaikan berkenaan pendaftaran kereta dan insuran.
  • Bawa geran asal kereta ke pejabat Imigresen Thailand. Hanya yang asal sahaja. Jika tiada, minta surat pengesahan dari bank yang memegang geran kereta tersebut. Kenderaan Malaysia perlu didaftarkan sebelum bebas merentasi bumi Thailand. Urusannya sekitar 5-10 minit sahaja.
  • Ada dua pilihan insuran ini boleh dibuat. Pilihan pertama adalah di pejabat kecil tempat borang putih dibeli dan diisi. Jika insuran dibuat di sini, RM20 dikenakan. Mujur semasa kami nak berurusan, orang yang menjaga kaunter bahagian insuran itu belum sampai lagi. Mereka yang mengendali insuran ini hanya pihak ketiga, bukanlah di bawah pentadbiran Imigresen Thailand. Pilihan yang kedua adalah di pejabat Imigresen Thailand yang kita wajib pergi semasa mendaftarkan kenderaan. Bayaran yang dikenakan cuma RM10. Jimat RM10!
  • Insuran perlu dibuat bagi tujuan keselamatan. Saya bertanya seorang lelaki di situ, “Kalau tak buat insuran ni, boleh tak?” Lelaki itu menjawab, “Boleh saja kalau yakin tak ada apa-apa yang akan berlaku.” Namun dinasihatkan, buat sahaja insuran.

Nota: Semasa saya dan kawan-kawan pulang dari Pakbara, ada satu kemalangan ngeri melibatkan kematian di daerah La-Ngu, beberapa kilometer dari Pakbara. Lebih mengejutkan ia melibatkan warga Malaysia! Innalillah.

  • Di sempadan Thailand ini terdapat banyak gerai-gerai di kiri dan kanan jalan. Disarankan kalau nak singgah, singgah masa pulang sebelum memasuki Malaysia. Kacang-kacang seperti gajus dan pistachio jauh lebih murah berbanding di Malaysia, sekitar RM16-RM24 satu kilogram. Jika di Malaysia, ia mencecah RM50-65 satu kilogram (harga berdasarkan kedai pak Arab di kawasan Ampang).

Nota: Di sini matawang RM boleh diterima. Ketika matawang RM jatuh merudum, untung jika kita bayar dengan matawang RM kerana matawang Baht lebih stabil berbanding RM.

Gerai-gerai di sempadan Thailand
Gerai-gerai di sempadan Thailand

 

Wang Kelian ke Pakbara, Satun, Thailand

OK, sekarang kami mula memandu di dalam negara Thailand. Perjalanan kami dari Wang Kelian ke Pakbara pada ketika itu dengan memandu kereta hanya mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja. Keadaan jalan sangat lengang pada masa itu. Itu yang pemanduan sangat lancar.

Tapi kalau bawa kereta agak perlahan, peruntukan satu jam lah masa untuk tiba dari Wang Kelian ke Pakbara ya. Supaya tak terkejar-kejar.

Peta Google dari Wang Kelian ke Pakbara
Peta Google dari Wang Kelian ke Pakbara
  • Jika ada GPS, lebih mudah. Tetapi ada juga yang jenis main redah macam saya dan kawan-kawan. Sebab utama adalah, kami tidak mengaktifkan data roaming masing-masing. Berbekalkan peta Google yang kami print, kami redah sahaja jalanraya Thailand. Jalanraya di Thailand berkeadaan baik. Malah jika dibandingkan dengan jalanraya di Teluk Ramunia, Johor, jalanraya di daerah Satun, Thailand jauh lebih baik dan selesa.
  • Bagi cara ‘main redah’ secara manual ini, nama jalan seperti Route 4184, Route 406, Route 416 dan Route 4052 sangat penting untuk kita perhatikan. Mata perlu dibuka luas, janganlah ada sesiapa yang tidur. Papan tanda di Thailand agak kecil dan perlu ambil perhatian supaya tidak terlepas atau tersilap jalan.
  • Dari Imigresen Wang Kelian, pandu lurus sahaja di Route 4184 sejauh 22 kilometer sehingga bertemu simpang tiga. Di simpang tiga itu, papan tanda ke kanan adalah ke Hatyai, manakala ke kiri pula Cha-Lung, ada tulisan kecil tertulis ke Pakbara. Ambil kiri dan pastikan jalan itu adalah Route 406.
  • Selepas masuk ke kiri Route 406, anda perlu memandu sejauh 6.2 kilometer untuk sampai ke pekan Cha-lung. Di pekan Cha-lung, bangunan yang boleh diperhatikan adalah balai polis Cha-lung yang berada di sebelah kiri. Di situ akan terdapat simpang tiga. Masuk ke kanan dari simpang tiga itu memasuki Route 416. Jangan risau, ada papan tanda yang menunjuk arah ke Pakbara, seperti biasa perkataan Pakbara itu ditulis kecil.
  • Dari simpang itu, terus memandu sejauh 35.7 kilometer ke bandar La-Ngu. Di La-Ngu mungkin ada kekeliruan kerana simpang tiganya menyeget. Masuk ke kiri. Kami pun keliru juga tempoh hari, kami ambil jalan terus. Padahal perlu ambil kiri. Simpangnya seperti ‘Y’. Sekali lagi, sila peka dengan papan tanda kecil. Memang ada papan tanda kecil tertulis Pakbara.
  • Tak jauh dari simpang ‘Y’, lebih kurang 2 kilometer ada simpang tiga. Ambil ke kiri. Pastikan berada di Route 4052. Memandu terus hingga ke Pakbara. Pakbara memang terletak di hujung jalan. Insya-Allah tak sesat.

Nota: Perjalanan dari sempadan Malaysia ke Pakbara hanya mengambil masa 30-40 minit sahaja.

 

Pakbara Ke Koh Lipe

  • Pakbara adalah sebuah pekan kecil. Terdapat deret kedai dan bangunan jeti bot ke pulau-pulau sekitarnya. Kawasan ini majoritinya penduduk Islam, oleh itu banyak terdapat kedai makanan yang halal.

    Pekan Kecil Pakbara
    Pekan Kecil Pakbara
  • Dinasihatkan untuk bertanya dua atau tiga kedai yang menjual tiket bot ke Koh Lipe kerana setiap syarikat menawarkan harga dan servis yang berbeza.
  • Harga standard tiket bot ke Koh Lipe adalah 1000 Baht seorang (nilai tukaran secara rawak adalah RM100). Ada juga yang mengenakan 1200 Baht (RM120) termasuk parkir, harga ini boleh diterima kerana perkhidmatan meletakkan kenderaan sudah termasuk di dalam harga tiket. Cubalah menawar harga, jika manis mulut berbicara, mungkin boleh dapat 900 Baht sahaja. Kos parkir dianggarkan 100 Baht sehari (RM10).
  • Bercerita tentang parkir, ia terletak lebih kurang 200 – 300 meter dari jeti di Pakbara. Mengikut pengalaman kami, mereka menyediakan kawasan berbumbung dan terletak di kawasan rumah teres yang kelihatan seperti kuarters. Ia terletak di belakang pekan kecil Pakbara. Selepas meletakkan kereta, kita akan kembali ke jeti dengan membonceng motosikal pekerja tersebut.

Nota: Sila beri perhatian tentang parkir. Pastikan kunci kereta tidak disimpan oleh syarikat tersebut. Ada pengunjung yang diminta meninggalkan kunci kerana kononnya kereta diparkir bertindan dengan kereta pengunjung lain bagi menjimatkan ruang. Ketika pengunjung pulang dari Koh Lipe dan mahu mengambil keretanya semula, minyak petrol yang diisi penuh sebelum memasuki Thailand sudah hampir kosong dikerjakan.

  • Waktu bot ke Koh Lipe agak pelbagai. Ada syarikat yang mempunyai jadual perjalanan pukul 9 pagi,11.30 pagi dan 2 petang (waktu Thailand). Ada juga yang jadualnya 9.30 pagi, 11.00 pagi dan 2 petang. Dari Koh Lipe ke Pakbara pula selalunya 11pagi, 12 tengahari dan 1 tengahari.

    Jeti Pakbara
    Jeti Pakbara
  • Semasa memasuki jeti, ada bayaran kemasukan yang perlu dibayar iaitu 20 Baht seorang (RM2). Harga tidak disekalikan dengan tiket bot jadi janganlah hairan pula.
  • Sesiapa yang ada mabuk laut, di sinilah cabaran bermula. Bukan semua bot laju dipandu secara berhemah. Nasib kami semasa di sana tempoh hari, bot laju yang kami naiki dikemudi dengan ganas, seganas air laut yang berombak. Laut Andaman yang indah boleh bertukar menjadi seram. Bawalah beg plastik, minyak angin dan ubat tahan mabuk sebagai bekal. Kalau bernasib baik, dapatlah bot yang agak luas dan dikemudi dengan cermat. Jika tidak, silalah bertahan demi Koh Lipe yang indah itu.

Nota: Sila bersedia untuk basah. Jika memilih bot daripada syarikat tertentu, mereka akan berhenti pulau-pulau tertentu. Ketika kami di sana, pakej bot kami berhenti di Koh Kha. Pulaunya sangat cantik, pasirnya putih dan halus, terdapat susunan batu menyerupai pintu gerbang dan airnya jernih sekali. Ada juga bot yang menawarkan pakej singgah di Koh Tarutao. Ada bot yang langsung tak singgah. Bergantung pada pakej bot tersebut.

Turun di Koh Kha, pakailah selipar atau berkaki ayam sahaja. Jika sedar diri itu rendah dan rendang, sila jaga barang di dalam poket seluar agar tidak basah. Saya hampir menenggelamkan iPhone di dalam poket seluar saya kerana menyangka diri sendiri tinggi lampai ala-ala model.

Koh Kha
Koh Kha
  • Ketika menghampiri Koh Lipe, penumpang akan diturunkan di jeti terapung. Ia adalah transit sebelum menaiki bot yang lebih kecil untuk sampai ke pantai Pattaya di Koh Lipe.

Nota: Sila beri perhatian kepada beg-beg yang diturunkan dari bot laju atau feri yang anda naiki. Pekerja bot laju hanya akan menurunkan beg-beg tersebut tetapi tidak menguruskannya sampai ke tangan kita. Longgok dan cabut! Oleh itu sila cari beg masing-masing.

  • Bot kecil itu seperti bot nelayan yang memuatkan 10-15 penumpang dalam satu masa. Penumpang perlu membayar 70 Baht seorang (RM7) untuk menaiki bot kecil itu. Tiada pilihan melainkan kalau kita berdegil nak berenang hampir setengah kilometer ke pantai.

Nota: Ketika mahu menaiki bot kecil tersebut, sila sebutkan nama resort kerana bot tersebut boleh menghantar anda terus ke pantai berdekatan.

Jeti Terapung
Jeti Terapung
Bot kecil yang membawa penumbang dari jeti terapung ke Koh Lipe
Bot kecil yang membawa penumbang dari jeti terapung ke Koh Lipe
  • Akhirnya sampailah kita ke destinasi yang sangat indah dan menakjubkan. Pulau ini menjanjikan pengalaman yang tidak akan anda lupakan sampai bila-bila. Tidakkah anda ingin tahu mengapa pulau ini digelar Maldives of Thailand? Datang ke sini dahulu, barulah anda tahu.Koh Lipe