Saya menyambung kisah kembara solo saya di Kuala Selangor. Jumaat – Ahad, betul-betul sebelum masuk Ramadan. Sebenarnya saya berpuasa ganti pada hari tu. Hahaha.. padan muka siapa suruh lambat puasa ganti. Tapi, sebab terpaksa, saya ambil ini sebagai cabaran.

Jam 11 pagi hingga hampir jam 3 petang saya meneroka Bukit Melawati. Kini, masa untuk ke destinasi seterusnya. Taman Alam Kuala Selangor. Dalam bahasa Inggeris, Kuala Selangor Natural Park.

Sebenarnya kalau jalan kaki, Taman Alam tu cuma 350 meter je dari pintu masuk Bukit Melawati. Boleh la jalan kaki. Tapi, kena ingat. Kita bukan jalan kaki antara pintu masuk ke pintu masuk je kan. Saya dah la memang dah jalan kaki panjat Bukit Melawati tu. Nanti di Taman Alam pun jalan kaki juga teroka tempat tu.

Hah.. jangan cari pasal. Baik saya ambik kereta yang sedang setia menunggu kat tapak parking. Kemudian bawak ke parking Taman Alam pulak. Biar kereta saya berdating pula dengan kereta kat Taman Alam.

Jam 3.16 petang, saya tiba di pintu masuk Taman Alam Kuala Selangor. Saya terus disambut dengan satu papan tanda cantik di sebelah kiri dan di belah kanan pula, ada satu bangunan kayu. Disitu ada tandas dan surau. Ya, baik guna tandas dulu di sini. Nanti kat dalam tu dah tak ada tandas dah.

Tiket masuk RM4. Di depan saya, ada beberapa orang dewasa dan kanak-kanak. Bunyi macam bercakap Jerman. Tapi saya tak pasti.

Apabila membayar harga tiket, staff kaunter tu akan menunjukkan peta keadaan dalam tu. Dia terangkan, dari sini nanti kami perlu ke mana. Apa yang akan kami jumpa dan di mana kedudukan menara tinjau. Kemudian dia berikan saya pamplet yang ada butiran tempat ini dan peta. Ahaa.. penting juga peta tu. Sebab nanti ada simpang ke kiri atau ke kanan.

Tapi jangan risau. Takkan sesat sebab jalan bersimpang tu ada berpusing. Cuma nak lalu belah kanan dulu atau belah kiri dulu je la.

Selepas saya beredar dari kaunter, ada pelawat lain pula di belakang saya. Pekerja kaunter tu, lelaki sebenarnya, ulang ayat yang sama macam dengan saya tadi.

“Encik dah pernah datang sini?”

Kemudian pelawat akan jawab, belum. Mungkin ada yang jawab ya kan.. tapi mat salleh tadi, saya dan pelawat lepas saya, semua jawab belum.

“Ok, kalau begitu mari saya terangkan tentang tempat ini. “

Kemudian dia pun tunjuk peta dan ulang skrip yang sama. Skrip yang bagus dan sangat berinformasi.

Tapi, saya kagum. Entah berapa puluh kali dia ulang skrip ni ya dalam satu hari. Keringkah tekaknya bercakap?

Kalau dia cuma rakam dan mainkan je rakaman suara, lebih senang kerja kan. Tapi, pengalamannya tak sama la. Tak nampak mesra macam tadi. Tak syok sangat.. Ok saya kagum dengan pekerja kaunter tu dan kemesraan senyuman dia menerangkan benda yang sama berulang kali.

Kawasan ni luas. Besarnya 296 hektar, terbahagi kepada dua. Hutan hujan tropika dan hutan paya bakau. Yang menariknya, ia bukan ditadbir oleh kerajaan tau. Tapi oleh Persatuan Pencinta Alam. Ingat tak persatuan yang logonya tapir atau tenuk tu? Haaa persatuan tu la yang urus tempat ni. Dari saya remaja saya biasa tengok logo persatuan ni. Saya bangga dengan mereka. Saya rasa mereka sangat ikhlas, berusaha dan cool.

Ok, taman alam ni, kiranya kerajaan hanya beri kebenaran mereka urus. Kemudian semuanya mereka buat sendiri, termasuklah dari segi kewangan. Termasuklah juga pekerja kaunter yang ramah tadi. Memang cool.

Saya mula berjalan kaki masuk ke dalam. Ada wakaf dengan signbord, A green walk to remember. Ahaaa… nampak mengujakan. Kemudian saya nampak ada kemudahan surau. Eh, chalet!

Hey.. inilah chalet yang saya jumpa di Airbnb. Masa nak cari penginapan, saya ada jumpa di Airbnb. Tapi yang kat Airbnb tu Cuma private room di Dorm. Bukan chalet sebuah-sebuah. Kalau chalet sebuah-sebuah, mungkin saya berminat stay di sini. Sejuk, penuh dengan pokok. Cuma mungkin tak ada wifi. Ah, asalkan ada line Digi yang bagus, saya boleh hotspot je. 50 GB data saya cukup untuk keperluan bulanan saya. Kalau tengok setakat kat depan ni, masih ada line. Aisehman.. ok, lain kali kalau saya ke sini, saya boleh pertimbangkan duduk di sini.

Saya terus berjalan ke depan. Ada kera. Ok ini bukan monyet berwarna hitam atau lotong yang saya jumpa kat Bukit Melawati tadi. Ini kera berwarna coklat yang kita biasa jumpa. Baik jangan usik mereka sangat. Kemudian, saya jumpa roundabout kecil. Di tengah-tengah tu ada satu rumpun pokok yang nampak dah berusia tapi cantik. Argh. Saya bukan budak perhutanan. Saya hanya kenal pokok getah dan kelapa sawit. Jadi saya tak tau apa nama pokok yang halus-halus batangnya ni. Tapi bila dah cantik, kena la tangkap gambar dia.

Di depan pula, dah mula trail utama untuk melihat hutan. Ada signboard bertulis Denai Kembara atau Main Trail. Laluan denai bertar. Di kiri kanan pula pokok-pokok hutan yang pelbagai. Ada pokok muda dan renek, tapi banyak pokok yang dah berusia dengan batang pokok yang cantik. Ada papan tanda nama-nama pokok juga untuk pengetahuan pelawat. Cuma yang kurang syok, info pokok tu dalam bahasa Inggeris sahaja. Tak ada dalam bahasa Melayu.

Apabila kita melalui habitat sesetengah haiwan, akan ada pula papan tanda yang memberi info tentang haiwan tersebut. Tapi tu pun dalam bahasa Inggeris.

Katanya ada 156 spesis burung kat Taman Alam ni. 57 daripadanya adalah burung dari luar negara. Mereka kan tak ada kena pakai passport dan tak ada imigresen. Jadi bila musim sejuk, diorang ni dari Russia dan Siberia terbang ke hemisfera selatan untuk mencari cuaca panas. Kuala Selangor antara tarikan mereka.

Tu menunjukkan Kuala Selangor ni banyak hutan yang masih terjaga dan alam semulajadinya bersih. Macam kita la.. nak travel atau berhijrah, mesti cari tempat yang cantik, bersih dan boleh cari makan.

Beratus spesis burung ni buat perjalanan meneroka tempat ni seperti ditemani burung pula. Macam-macam bunyi burung yang saya dengar. Yang halus, yang lagi halus, yang berkuak dan macam-macam lagi. Tapi, dengar bunyi je. Bila pandang atas, tak nampak seekor pun. Alaa.. sayang betul.

Saya melalui sebuah sungai yang agak cetek dengan satu jambatan. Tapi tak nampak apa-apa haiwan di sungai tu. Nasib kurang baik agaknya.

Akhirnya selepas 14 minit berjalan kaki sambil berhenti-henti snap gambar, saya dah sampai di persimpangan. Ke kiri dan ke kanan akan jadi satu pusingan. Tapi ke kiri lebih cepat sampai ke hutan paya bakau. Tengah berfikir-fikir sambil tengok peta papan tanda di situ, ada seorang lelaki dengan isteri dan anaknya menegur saya. Dia kata, depan ada menara tinjau. Ahhh, yelah.. saya hampir lupa ada menara tinjau.

Saya bayangkan macam dalam Safari di Afrika. Dari menara tinjau nampak harimau baring-baring. Nampak gajah sedang berlari gedebuk gedebuk bunyinya. Nampak pula zirafah sekawan sedang membawang. Oh.. jap. Kat Taman Alam Kuala Selangor lah. Mana ada haiwan ni semua. Ini tempat ada pelbagai burung. Ada kera dan mungkin beberapa jenis ikan di paya bakau. Okm be reasonable. Mana tau nampak burung.

Jadi saya pun berjalan terus ke depan. Dalam satu minit berjalan, dah nampak menara tinjau berwarna biru dan putih. Ada tangga naik ke atas sekali. Wah.. nampak keseluruhan kawasan hutan ni dari menara ni. Nampak pokok-pokok hutan hujan tropika yang tebal. Nampak selut di satu sudut lain. Itu sure menuju hutan paya bakau tu. Tapi tak nampak apa-apa haiwan lain selain burung yang nampak terbang dari jauh. Alahai.. Mana burung-burung ni.. nak tengok dekat. Burung.. burung… alaa.. tak nampak jugak la..

Saya turun dari Menara Tinjau. Kembali ke persimpangan tadi. Kali ni saya menghala ke kiri. Saya tak sabar nak tengok hutan paya bakau. Teringat kenangan saya semasa di Yan dan Tanjung Dawai Kedah. Bila lihat laut yang dipenuhi paya bakau, fuhh lawa.

Jadi saya pun berjalan agak sederhana kelajuannya. Kali ni, jalannya tak bertar. Hanya jalan yang berbatu kerikil halus dan dipenuhi rumput hijau di kiri kanan jalan. Macam jalan kebun kita. Kiri kanan pula penuh dengan pokok.

Masih geram dengan bunyi burung yang riuh di atas pokok, tapi satu pun tak nampak. Saya kemudian terserempak semula dengan keluarga Melayu tadi. Ahaa.. saya potong mereka. Sesekali ada wakaf untuk pelawat berehat, kalau dah keletihan berjalan. Saya tak berhenti. Dah jam 4.14. Nak habiskan cepat sebab nanti nak cari port bukak puasa.

Kemudian saya jumpa satu terusan dan di hujung jalan, ada satu lagi menara tinjau yang ditutup. Tangganya dibina dengan kayu. Mungkin ada anak tangga yang dah tak elok kan. Jadi mereka tutup.

Kami pula memang kena ke kanan. Dah tak boleh terus.

Depan sikit lagi dari Menara Tinjau kedua ni, saya tiba di Mangrove Walkaway. Laluan konkrit di tengah-tengah hutan paya bakau. Ia tak ada pagar kiri kanan. Tapi luas. Jadi kalau tak tengok kiri kanan, main jalan je, memang boleh jatuh ke becak selut paya bakau ni la. Terutama yang bawak anak-anak kecik. Kena perhatikan mereka sikit.

Mangrove Walkaway

Tapi pemandangan hutan paya bakau dari laluan konkrit ni.. subhanallah. Bayangkan laluan konkrit putih lurus ke depan. Kiri dan kanan pula pokok-pokok paya bakau yang tebal dan kurus tinggi tinggi. Batangnya berwarna coklat cerah dan gelap. Bahagian atas pula berwarna hijau pokok bakau tu sendiri. Cahaya matahari pula menembusi di celah-celah pokok tu.

Suasana ni membuatkan saya teringat trail yang saya trekking di Fenqihu, Taiwan. Bamboo Slope, nama tempat tu. Ada tangga batu berwarna putih simen, naik ke bukit. Kiri kanan dipenuhi dengan buluh Maso yang lurus-lurus tinggi dan berwarna hijau. Ya, suasana hijau dengan kontras warna yang sama. Cuma beza pada jenis tumbuhan sahaja.

Fuh, bagi saya suasana mengrove walkaway di hutan paya bakau di sini setanding dengan suasana Bamboo Slope di Fenqihu Trail, Taiwan. Sangat tahap antarabangsa. Dan kedua-duanya under rated. Korang jarang dengar kecantikan dua tempat ni kan? Biasa dengar kecantikan New Zealand atau Switzerland sahaja kan.. haaa betul la tu. Dua tempat ni under rated.

Saya tak biarkan ia begitu sahaja. Saya pacak tripod, snap beberapa gambar dan video. Ada video pemandangan di sini yang saya upload ke tiktok saya tu mencecah 1300 view setakat ni. Memang cantik.

Ada tangga turun ke bawah. Dan ada banyak juga signboard bertulis nama orang yang menanam pokok bakau ni. Oh.. rupanya mereka ada buat projek menanam semula pokok bakau. Ada individu dan ada syarikat yang menyertai projek ni. Satu usaha yang bagus supaya hutan ini tetap tebal dengan pokok baru.

Mangrove Walkaway ni tak panjang sangat. Ia berbentuk seperti U shape terbalik. Masuk pintu lain, nanti akan keluar balik di pintu lain. Dekat tempat selekoh tu, saya lalu kawasan tepi laut. Air laut memenuhi di bawah laluan.

Keluar dari kawasan hutan paya bakau, saya teruskan berjalan kaki di kawasan hutan tropika. Saya lalu satu terusan. Air dari laut dialirkan ke paya di seberang jalan. Di situlah saya bertemu pengurus taman ini dan seorang pekerja intern. Pengurus tu dah bekerja di sana selama 18 tahun. Orang tempatan. Dia amat menghargai usaha saya datang melawat dan berkongsi cerita tentang tempat ini.

Jam 5.25 petang, saya keluar dari Taman Alam Kuala Selangor dengan penuh kepuasan. Saya bangga tempat secantik ini dengan alam semulajadinya cuma berjarak satu jam dari Kuala Lumpur. Saya lihat kumpulan Mat Salleh Jerman yang di depan saya pun nampak letih tapi puas hati melawat tempat ini. Lagi saya bangga, tempat ini dijaga dan dilestarikan oleh sebuah persatuan sahaja. Kagum.

Saya pulang ke hotel. Mandi. Badan dah habis berpeluh. Jam 6.15 petang saya keluar semula. Pergi ke Pantai Jeram pula. Saya merancang nak bukak puasa di sana.

Katanya sini terkenal dengan ikan bakar. Tapi bila tengok terlalu banyak kereta parking di food court ikan bakar Pantai Jeram, buat saya rasa berat hati nak berhenti. Saya teruskan lagi ke dapan lalu jalan tepi laut tu. Rupanya di depan sikit ada satu kedai makan beri makanan free haritu. Patut la nampak orang sanggup beratur panjang.

Saya akhirnya berhentikan kereta di deretan kedai makan di depan lagi. Malangnya kedai-kedai yang saya nak pergi tu dah nak tutup bila maghrib. Jadi saya hanya dapat order nasi dengan asam pedas ikan. Air pula teh o panas yang sedap dan ais mangga.

Ais Mangga

Sambil melihat sunset di Pantai Jeram, saya berbuka puasa. Hari yang meletihkan tapi menggembirakan.

Esoknya, saya tau akan menarik juga. Sky Mirror pula.