keretapi

Salam buat pengembara.

Pagi ini saya dikejutkan dengan berita dari seorang sahabat yang kehilangan barang berharga ketika sedang mengembara. Kerugiannya mencecah lebih RM1000.

Namun saya tak mahu menambah kesedihannya kerana perkara tersebut telah pun berlaku. Saya hanya mampu berkata padanya, mungkin Allah mahu mengajar kita untuk lebih berhati-hati ketika mengembara.

Langkah berhati-hati yang saya nak kongsikan mungkin sudah diketahui umum, namun kita masih perlu mengingatkan diri kita berkali-kali walaupun kita sudah tahu.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil ketika mengembara:

 

1. Sentiasa menjaga barangan peribadi tak kira masa. Ingat, perlu ‘ALERT’!

 

2. Sentiasa BERSEDIA.

Berhati-hati dengan barangan peribadi ketika di dalam pengangkutan awam
Berhati-hati dengan barangan peribadi ketika di dalam pengangkutan awam
  • Jika berada di dalam tren atau kapal terbang, pastikan anda bersiap sedia 15 minit sebelum sampai ke destinasi. Tempoh 15 minit ini cukup untuk anda memastikan barangan sudah dimasukkan ke dalam backpack dan tiada yang tertinggal di seat anda. Perhatikan sekali lagi sebelum berjalan meninggalkan seat.

 

  • Jika berada di penginapan, peruntukkan 30-60 minit sebelum check-out, kemas barang anda dan periksa berkali-kali di atas katil, tepi bantal, bawah selimut, bawah katil dan di dalam locker. Sebelum melangkah keluar, scan sekali lagi bilik atau katil yang akan ditinggalkan.

 

3. Pastikan wang dan barang-barang penting diletakkan hampir dengan tubuh badan atau di tempat yang diyakini selamat. Jika ada yang cuba mengambil barang-barang tersebut, kita mudah perasan kerana barangan tersebut berada dekat dengan tubuh. Wang pula jangan diletakkan setempat. Ditakuti jika dicuri atau tercicir, tidaklah habis semuanya. Pastikan anda mempunyai ‘kocek rahsia’ bagi menyembunyikan wang kecemasan.

 

4. Langkah PENCEGAHAN perlu diambil supaya mengurangkan risiko berlakunya perkara yang tak diingini ketika mengembara. Antara langkah pencegahan yang disarankan:-

 

  • Susun pakaian dan barangan peribadi di dalam backpack dengan teratur. Pakaian yang ingin dipakai selalu atau akan dipakai dahulu, letaklah di bahagian paling atas atau di tempat yang mudah dicapai. Susun atur secara praktikal. Jangan main sumbat sahaja.

 

  • Selepas mengambil pakaian atau barangan yang diperlukan, pastikan barangan lain diletakkan semula ke dalam backpack, usah dibiar ia bersepah di luar. Walaupun anda mungkin mahu menginap beberapa hari, elakkan menyepahkan pakaian dan barangan. Mana tahu kalau-kalau ada kecemasan atau kebakaran, angkat backpack dan terus selamatkan diri. Ia juga mengurangkan risiko ‘salah letak barang’.

 

  • Duit, pasport, kad bank, kamera dan memori kad antara barangan yang perlu dijaga rapi baik ketika di dalam kenderaan awam mahupun di penginapan, terutamanya sewaktu anda tidur. Ada yang mencadangkan money belt, tetapi saya lebih selesa menyimpan di poket seluar atau di poket tersembunyi pada baju. Saya tak pasti ia praktikal atau tidak, tetapi sehingga ke hari ini alhamdulillah selamat. Hati-hati menyimpan wang di poket seluar, kadangkala duit boleh tercicir ketika menyeluknya.

    Money Belt yang sering digunakan backpacker
    Money Belt yang sering digunakan backpacker

 

  • Pastikan barangan penting ada bersama kita setiap masa. Keluarkan dari backpack jika ada situasi yang memerlukan anda berpisah dari beg anda. Contohnya ketika menaiki bot atau bas, kebiasaannya backpack akan disimpan di tempat khas jauh dari pandangan anda, dan orang lain berpeluang menyentuh backpack tersebut. Selain dari situasi yang memaksa, jangan beri peluang orang lain menyentuh backpack anda.

 

Saya hanya berkongsi beberapa langkah yang saya terfikir melalui pengalaman. Jika anda mempunyai tip-tip yang lebih praktikal dan berguna, marilah sama-sama kongsikan agar memberi manfaat kepada semua.

Saya akui saya agak tersentak dan sedikit gentar apabila mendengar pengalaman buruk pengembara-pengembara tentang keselamatan diri dan barangan peribadi. Malang tak berbau, namun kita tetap perlu berusaha mengelak segala kemungkinan itu. Saya berdoa agar Allah melindungi kita semua di mana sahaja kita mengembara.

 

NAS