photo_2016-04-10_12-49-29

Kami bertolak dari Kajang jam 10 pagi. Ikut Waze kami akan sampai jam 2 petang. Oklah tu. Empat jam je. Kami melalui Lebuhraya Karak, kemudian LDP, keluar di Exit Chenor, melalui Felda Jengka, dan semakin mengarah ke jalan sunyi berliku-liku ke Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

 

 

Kuala Tahan memang sebuah perkampungan yang tenang dan aman. Tiada pembangunan di situ. Kami mencari penginapan yang telah kami tempah di booking.com. Menggagau juga sebab ia berada agak jauh dari jeti Sungai Tembeling. Perlu naik ke bukit dan jalannya tak rata. Beberapa kali lantai kereta bersagat dengan jalan.

 

Rumah penginapan atas bukit itu nampak sunyi, seolah-olah tiada yang menghuni. Ada seorang lelaki menunggu di sebuah meja berhadapan penginapan.

 

“RM280 dik, kalau tempah melalui panggilan telefon, murah sikit. Tapi adik dah tempah di Internet. Ada caj lebih kat situ,” kata lelaki itu selepas menandakan kedatangan kami di buku lognya. Saya intai senarai nama di situ, hampir keseluruhan list nama Omputeh.

 

Kami dibawa ke bilik. Besar biliknya dan nampak seperti rumah kampung. Bilik airnya agak tinggi dan perlu naik satu anak tangga. Ada ruang tamu berhadapan dengan katil. Sepasang cawan bercorak antik diletakkan di atas meja kopi. Bilik yang sesuai jika bawa satu keluarga.

 

Lelaki itu meninggalkan kami setelah membukakan penyaman udara. Saya tengok luar tingkap, hutan. Baru saya perasan ada yang tidak lengkap.

 

“Tak ada TV bilik ni. Dah la kita dalam hutan. Jeti pun jauh. Jenuh bosan kita waktu malam kalau tak ada TV,” saya menyatakan pandangan.

 

“Ha’ah la, tak ada TV,” Anie menyahut.

 

“Awak memang tempah bilik tak ada TV ke? Harganya mahal juga ni. Sebab ada bilik dalam booking.com tu jauh lebih murah dari ni. Kalau bilik tu tak ada TV juga, baik kita pilih yang murah tu saja. Yang ini tak ada TV tapi mahal la,” saya berhujah dalam rasa tak puas hati.

 

“Eh, ada. Dalam booking ni memang tulis bilik ni ada TV,” Anie menunjukkan surat pengesahan tempahan.

 

“Tak boleh ni. Kita bayar untuk kemudahan yang kita nak. Kalau tak ada, kita sepatutnya boleh cari bilik murah yang tak ada TV. Takkan kita bayar mahal-mahal tapi servis dia sama dengan yang murah?” saya persoalkan kredibiliti bilik tersebut. Namun jika dilihat keluasan bilik, ok juga. Cuma kami berdua saja dan tak perlukan bilik seluas itu. Bukannya kami nak main kejar-kejar.

 

Anie mengeluarkan telefon bimbitnya dan menelefon pemilik penginapan itu. Dia sudah keluar mengambil anaknya di sekolah.

 

“Ok, tak apa dik. Nanti saya ke sana semula dan pulangkan duit adik. Adik batalkan saja tempahan tu di booking.com. Lagi sejam saya ke sana,” kata lelaki itu di corong telefon. Baik dan sopan orangnya.

 

“Baik, sementara tunggu encik, kami survey dulu penginapan lain ya,” kami letak telefon dan segera meninggalkan bilik tersebut. Kami masukkan semula barang-barang kami ke dalam kereta semula.

 

Kami memandu semula ke jeti Kuala Tahan. Kami meninjau-ninjau penginapan yang banyak juga terdapat di kawasan itu. Ramai orang asing dari Eropah berlegar-legar di daerah kecil itu. Rupanya ramai ‘orang putih’ di Taman Negara.

 

Kami meletakkan kereta di hadapan sebuah chalet bajet yang sangat hampir dengan Sungai Tembeling. Anie menuju ke kaunter resepsi dan bertanya kadar yang dikenakan.

 

“RM60 semalam untuk bilik dua orang,” kata lelaki yang berada di kaunter.

 

“Ada TV?”

 

“Tak ada”

 

Anie memandang saya seolah-olah bertanya jika saya setuju menginap di situ.

 

“Tengok, sini pun tak ada TV tapi RM60 je. Sana tadi RM140. Sini dua malam pun baru RM120. Sana tadi RM280. Beza banyak tu, padahal sama saja tak ada TV,” saya menguatkan logik hujah saya.

 

“Habis tu nak tak yang ni?” tanya Anie.

 

“Awak nak ke? Atau nak tengok yang lain dulu? Ada banyak lagi sebelah sana tu,” saya tunjukkan deretan penginapan berhampiran jeti yang terletak di kawasan agak berbukit.

 

“Kita tengok yang lain dulu,” Anie bergerak semula ke kereta. Kami menghala ke bahagian berbukit tak jauh dari jeti. Sementara saya parkir, Anie bertanya beberapa wanita yang menjaga penginapan di situ.

 

“RM60 cik,” kata wanita yang umurnya hampir sebaya dengan kami.

 

“Ada TV?”

 

“Sini semuanya tak ada cik. Kalau nak yang ada TV, hotel yang mahal sikit tu, Han Rainforest dan Xcape ada TV,” ujar wanita itu.

 

Kami mengangguk, mengangkat tangan tanda terima kasih dan berlalu dari situ menuju ke hotel yang dimaksudkan.

 

“Tengok sini harga standard RM60 untuk bilik tak ada TV. Betullah tempat tadi tu mahal sikit,” saya membuat kesimpulan. Padahal, mungkin harga itu berpatutan untuk keluasan bilik yang boleh memuatkan 4-5 orang.

 

Kami bertanya Han Rainforest dan Xcape. Harga kedua-duanya mencecah RM200. Salah satunya RM180 tanpa TV, wah, lagi mahal. Namun ini antara hotel yang kelihatan cantik dan menarik. Sesuai dengan kadar yang dikenakan. Ia bertaraf resort dan bayaran sudah termasuk sarapan.

 

Kami berpatah balik ke kawasan berhampiran jeti. Ada satu hotel bajet yang agak besar dan banyak bilik. Terletak betul-betul atas bukit sebelum menurun ke arah jeti. Harga di Internet RM77. Kalau di Google RM90. Setelah ditanya, harganya RM60 semalam. Harga memang rendah pada hari bekerja atau bukan hari cuti. Tak ada TV juga tapi lokasinya sangat hampir dengan jeti dan deretan kedai. Meriah. Kalau tak ada TV, boleh kami jalan-jalan di pekan kecil itu. Akhirnya kami memilih Teresek View Motel itu.

 

Selepas membayar RM120 untuk dua malam, kami mengarah ke penginapan tadi. Lelaki itu sudah menunggu di depan bangunan. Dia memulangkan duit kami semula. Timbul rasa kasihan namun apakan daya, kami rasa lokasinya agak jauh dan harganya tak merangkumi servis yang ditawarkan seperti di Internet. Walaupun kami tak memerlukan TV, tapi kami menempah harga tersebut berdasarkan servis yang dijanjikan. Tanpa servis itu, kami boleh dapat yang lebih murah.

 

“Satu saja saya minta, adik cancel booking di Internet. Sebab kalau tidak, saya terpaksa bayar caj kepada booking.com sebanyak RM60,” pinta lelaki itu.

 

“Encik, kalau kami cancel, ia percuma kalau dibatalkan 3 hari sebelum check-in. Kalau last minute macam ni, nanti duit kami kena tolak RM280 tu. Rugi pulak kami,” ujar saya kepada lelaki itu.

 

“Tapi kalau adik tak cancel, saya pula yang kena tolak duit,” ujarnya kerisauan. Namun tak adil juga bagi kami kerana memang kami pilih penginapan itu sebelum ini berbanding satu lagi penginapan bajet yang kadarnya RM77 kerana servis TV itu. Alang-alang tak ada, biar ambil yang murah saja.

 

“Tak apa, biar kami email dan tanya dulu pihak booking.com. Kami tak boleh cancel terus sebab nanti duit kami pulak yang kena tolak,” saya menamatkan urusan dan kami meninggalkan kawasan itu. Mujur dapat tempat lain. Penginapan yang ini agak jauh dari jeti. Perlu naik kereta kalau nak cari makan dan nak buat aktiviti.

 

Rupa-rupanya, banyak penginapan bajet yang tak ada dalam online booking. Dan kalau menempah sendiri tanpa menggunakan portal di laman maya, kadarnya jauh lebih murah. Ini kerana mereka perlu memberi komisen kepada pihak portal tersebut, itu yang harganya tinggi dari harga sebenar. Cumanya kalau tak tempah awal-awal di Internet, takut nanti penuh pula.

 

Menurut orang-orang di situ, ramai pengunjung Eropah yang memenuhi penginapan-penginapan di situ sekitar bulan Julai hingga awal September setiap tahun. Selalunya penginapan habis ditempah walaupun hari bekerja. Mungkin kerana ia musim panas yang kebanyakan negara empat musim bercuti panjang.

 

Untuk maklumat tambahan, kadar harga semalam untuk bilik bajet yang boleh muat dua orang pada waktu bukan hari cuti adalah sekitar RM60. Pada hari cuti atau waktu kemuncak (pengunjung Eropah memenuhi Taman Negara sekitar Julai-awal September), harga penginapan bajet adalah RM90-100. Untuk hostel, harga sekitar RM20-25 semalam.

 

Bolehlah anda telefon ke nombor-nombor berikut untuk penginapan bajet. Yang mahal-mahal tu boleh tengok di mana-mana portal online booking. Semoga senarai penginapan bajet ini dapat membantu anda merancang penginapan di Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.

 

  1. Abot Guest House

017-9169616 / 010-9193719

 

  1. Agoh Chalet

09-2669570

 

  1. Dakilihouse (Hostel/Room/Campsite)

014-2927069

 

  1. Holiday View Inn

012-9456727 / 012-9872577

 

  1. Julie’s Hostel

09-2672242

017-9040344 (Julie)

017-9290962 (Mie)

019-9220822 (Mie)

 

  1. Liana Hostel

09-2667288 / 09-2669322

013-9237288 / 013-9227288

 

  1. Park Lodge

017-9561970

 

  1. Teresek View Motel

09-2669744

 

  1. Yellow Guest House

09-2664243

 

*Gambar-gambar berikut adalah gamabr Teresek View Motel

photo_2016-04-10_12-49-21photo_2016-04-10_12-49-13
photo_2016-04-10_12-49-25photo_2016-04-10_12-48-47