Rani BP

  1. Ini adalah filem Bollywood yang keluar daripada kebiasaan. Ia diarah dan ditulis oleh Vikas Bahl. Secara jujurnya saya tak pernah dengar nama ni tapi mulai hari ini saya akan ingat dan tabik.

  2. Ia mengisahkan tentang seorang wanita yang tunangnya membatalkan perkahwinan di saat-saat akhir. Rani (maksud nama ini permaisuri) sangat kecewa dan meneruskan percutian bulan madu seorang diri ke Paris dan Amsterdam seorang diri.

  3. Apa yang membuatkan si gadis lebih kecewa, lelaki ini membatalkannya dengan cara yang sangat tak bertanggungjawab. Memanggilnya berjumpa di sebuah restoran sehari sebelum perkahwinan, membatalkan tanpa keluarga menghantar wakil dan kemudiannya memberi janji kosong akan menghubunginya semula.

    Rani BP2

  4. Rani adalah gadis India yang tipikal. Negara Eropah terlalu asing baginya. Malah kemahiran berbahasa Inggerisnya sangat terhad. Dia mengalami masalah komunikasi, makanan dan tentunya budaya.

  5. Dia takut-takut ketika menjejakkan kaki di Perancis. Semasa di lapangan terbang dan ingin menaiki teksi, pemandu warga tempatan itu tak faham sebutan lokasi tujuannya sehinggalah Rani menunjukkan maklumat tempahan.

  6. Semasa di Paris, Rani berusaha memadamkan kekecewaan walaupun segala yang dilihat di Paris adalah tentang impiannya bersama Vijay dan janji-janji manis lelaki itu.

  7. Di kota itu, Rani belajar tentang kebebasan menjadi dirinya, bukan lagi terperuk dengan adat dan budaya yang menghalangnya melakukan segala impiannya.

  8. Kota itu mengajarnya menjadi lebih tabah apabila Rani terpaksa berhadapan dengan saat kritikal hampir dirompak. Selepas peristiwa itu, dia juga belajar tentang manusia yang baik itu ada di mana-mana walaupun berbeza gaya hidup. Seorang wanita yang agak ‘liar’ membantunya dan mendengar segala luahan kekecewaannya. Malah banyak membantunya ketika di Paris.

  9. Ketika di Amsterdam pula, secara tak sengaja Rani terpaksa menginap di dorm campuran di hostel backpacker. Dia terlalu takut dan rasa tak selamat kerana tiga rakan sebiliknya lelaki. Di situ dia bertemu Taka dari Japan, Tim dari Perancis and Oleksander dari Rusia. Nama Oleksander sangat susah Rani menyebutnya dan bertukar menjadi Sikandar saja.

  10. Akhirnya Rani berkawan baik dengan ketiga-tiga teman sebiliknya dan mendapati pengembara-pengembara ini kawan yang baik dan sanggup membantunya bila-bila masa.

  11. Pengembaraan solo Rani ke Paris dan Amsterdam membuka mindanya, mengeluarkan dia dari terkurung dengan minda, adat dan budaya tempat asalnya, menjadikan dirinya lebih berkeyakinan serta jelas dengan masa depannya.

  12. Antara yang kelakar, Rani dan tiga rakan sebiliknya ke kedai mainan ‘dewasa’ di Red Light District. Dia membeli barangan di situ untuk nenek, mak ayah dan adiknya kerana menyangka barangan di situ adalah cenderamata biasa.

  13. Vijay mencarinya di Amsterdam. Dan apa yang berlaku selepas itu…kenalah anda cari sendiri. Yang pasti, ia tak stereotaip.

  14. Rani kembali ke India sebagai orang baru. Begitulah impak mengembara walaupun pengalaman yan diberi ketika di negara orang bukan semuanya indah.

  15. Filem ini sangat menarik, luar dari kebiasaan filem-filem Bollywood, mengujakan, kelakar dan pada masa yang sama inspirasi kepada wanita yang mahu cuba-cuba mengembara.

-Normi Nas-

*Sumber gambar: http://www.imdb.com/title/tt3322420/

Rani Poster