Hari Pertama – 18 Disember 2017
Kajang – Shah Alam – Ipoh
Hari ini bermulalah perjalanan pertama kami dari Kajang ke Shah Alam dan seterusnya ke Ipoh. Kami bertolak dari Kajang dalam pukul 10.00 lebih pagi setelah bersarapan di restoran berdekatan dengan Mydin Mall Bandar Teknologi Kajang.

Ketika kami sedang bersiap sedia untuk memulakan perjalanan, tiba-tiba ada seorang lelaki yang menaiki kereta berwarna putih merapati kenderaan kami. Beliau yang dikenali sebagai Encik Amin menghulurkan sumbangan sebanyak RM100 dan mengucapkan ‘Selamat maju jaya’ untuk Road Tour Pelancaran Buku Backpack Bonceng Motor ni.

Wowww… Segan pun ada, rasa terharu pun ada. Sebab kami tak sangka akan mendapat sokongan sebegini daripada seseorang yang kami tak kenali.

En Amin yang bawak kereta putih tu

Disebabkan kami semua terkejut dengan situasi itu, kami terlupa untuk merakam video, mengambil gambar dan memberi buku secara percuma kepada beliau. Kami doakan agar beliau dilapangkan pintu rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Amin.

Di Shah Alam, kami memilih untuk berhenti di Medan Selera Seksyen 2. Kami sampai pada pukul 12.00 tengah hari dan berada di situ selama sejam lebih untuk mempromosikan buku Backpack Bonceng Motor Medan-Parapat-Berastagi.

Ada sedikit ralat yang berlaku iaitu bendera yang kami pasang di motor, terkoyak ketika dalam perjalanan. Hm.. Nampaknya kami dan designer tersilap percaturan dalam pemilihan material bendera.

Ketika di Shah Alam, kami berkesempatan berjumpa dengan lima orang anak muda yang bertuah memiliki buku ini. Terima kasih Abu Dzar, Nisa, Ahmad, Sufi dan Shazana!

       

Adik Abu Dzar ini merupakan orang pertama yang bertuah memiliki buku Backpack Bonceng Motor ni. Dia sangat berminat dengan buku Backpack Pusing Jerman ketika melihat banner yang kami pasang di situ. Rupa-rupanya, dia pernah belajar di Jerman selama dua tahun.

Selesai di Shah Alam, kami meneruskan perjalanan ke Ipoh. Mengantuk sungguh. Terpaksa berhenti sebentar di Rawang. Ada seorang penjaja menjual aiskrim. Segar terus mata kami selepas pekena aiskrim roti. Tak kedekut abang tu, disumbatnya aiskrim sebanyak empat scoop penuh!

Perjalanan diteruskan. Walaupun bukan hari minggu, lebuh raya sesak dengan kenderaan. Sepatutnya kami berhenti di Tapah. Tapi terpaksa berhenti di Ladang Bikam kerana admin NAS terlalu mengantuk.  Selepas 15 minit melelapkan mata, barulah teruskan perjalanan dan singgah di RnR Tapah.

Nasib kami baik kerana sampai saja di RnR Tapah, hujan turun dengan selebat-lebatnya. Jam dah 5.00 petang dan kami masih belum makan tengah hari. Kami memilih untuk menjamu selera di Restoran Pak Tam yang popular itu.

 

Sesiapa yang lalu di RnR Tapah, rugi kalau tak singgah Restoran Pak Tam ni. Walaupun harganya lebih mahal daripada medan selera milik PLUS, tapi berbaloi dengan rasanya yang sedap. Antara menu yang paling digemari adalah Mee Rebus, Bihun Sup Utara, Nasi Beriyani dan Char Kuey Tiow.

Selepas hujan reda, kami menyambung perjalanan ke Ipoh. Kami tak singgah mana-mana pun malam tu. Terus saja check-in ke hotel yang ditempah melalui booking.com. Dek kerana terlalu penat, niat nak buat promosi di kota Ipoh terpaksa dibenamkan.

Bila masuk ke bilik, wah, punyalah besar dan luas walaupun tak ada tv. Ada satu katil queen dan satu katil single. Tapi tandas dan bilik air berada di luar, kena berkongsi… Murah saja hotel ni, RM50 semalam. Jadi kawan-kawan bolehlah cuba menginap di Bean Residence jika berkunjung ke Ipoh.

 

Kata pemilik hotel, lebih murah kadar yang dikenakan jika telefon terus pihak hotel. Tapi, perlu diingatkan, bukan semua penginapan boleh guna cara ni. Sesetengahnya lebih murah jika ditempah melalui booking.com dan Agoda.

Alhamdulillah, hari pertama road tour berjalan dengan lancar. Esoknya kami bercadang untuk berjumpa dengan mereka yang bertuah di Medan Selera Stadium Perak. Walaupun letih, kami puas dapat bertemu pembaca baru buku-buku travelog Kasi Terbit.

Jemput tonton video aktiviti hari pertama kami

Perancangan trip, klik DI SINI