“Berjauhlah daripada tempat tinggalmu walau sebentar agar diri lebih segar dan hidup”NAS

Baru-baru ini saya ke Singapura. Hanya sehari. Pernah saya menulis tentang trip parti bujang ke negara yang sama satu ketika dulu. Kali ini, ia masih berkonsepkan ‘jalan-jalan bujang’ walaupun salah seorang daripada kami telah mendirikan rumah tangga.

Kawan-kawan terutamanya wanita, ambillah masa ‘me-time’ walaupun sudah mendirikan rumah tangga. Bak kata salah seorang rakan saya, kita perlu membiarkan pasangan kita hidup agar kita juga dapat hidup. Ha, dalam tu maksudnya. Jika tak faham juga, biar saya terangkan. Saya kira, pasangan yang kekal bahagia hingga ke tua mempunyai persamaan iaitu tidak saling mengongkong. Saya dah lihat ramai pasangan yang berkahwin lebih 20 tahun yang kekal romantis, mereka begitu menyokong dan memberi kebebasan yang tak melanggar batasan agama.

Baiklah, itu bukan tujuan saya menulis entri ini. Saya nak cerita apa yang anda boleh lakukan seharian di Kota Singa. Saya cukup menggalakkan anda ke Singapura kerana ia tak makan masa yang lama. Ia dekat dan mudah. Jika anda di Kuala Lumpur atau Selangor, boleh beli tiket bas terus ke Singapura. Saya selalu menggunakan aplikasi BusOnlineTicket untuk menempah bas mahupun kereta api. Anda cuma pastikan di mana lokasi untuk naik dan turun. Pembayaran pun boleh terus dibuat melalui talian.

Masuk Singapura

Saya berjanji dengan empat orang kawan saya untuk bertemu di CIQ seawal jam 7.00 pagi. CIQ adalah Customs, Immigration and Quarantine Complex yang terletak berhampiran Johor Bahru Sentral. Ada parkir disediakan tapi kena datang awal pagi di hari minggu. Di hari bekerja, ia memang cepat penuh. Oh ya, jika anda nak masuk Singapura di hari minggu, rancanglah untuk keluar dan berada di CIQ sebelum 8.00 pagi. Di hari bekerja, elakkan waktu kemuncak seperti waktu pergi dan balik kerja. Alhamdulillah, semasa saya ke sana baru-baru ini, tidaklah terlalu lama melepasi CIQ dan Kastam Singapura. Padahal masa itu, 31 Ogos, Hari Kemerdekaan Malaysia.

Jika tidak menggunakan kenderaan sendiri, anda boleh naik bas saja. Sebaik melepasi Kastam Malaysia, anda boleh beratur tunggu bas ke Keranji MRT Station. Tambangnya RM1.50 sahaja. Simpan tiket kerana nanti anda perlu memasukkan maklumat bas di dalam borang putih di Kastam Singapura. Ha, jangan lupa bawa pen siap-siap. Tidaklah berebut nak isi borang putih itu nanti.

Sebaik melepasi Kastam Singapura, dengan tiket yang sama, naiklah bas ke Keranji MRT Station. Di dalam tiket dah tertulis anda perlu beratur di garisan mana sama ada CW1 atau CW2. Bas itu akan membawa anda ke Keranji MRT Station.

Kad MRT                 

Sesampainya kami di MRT Station, kita boleh beli tiket MRT di mesin yang disediakan. Tapi cadangan saya, beli saja kad MRT (macam kad TnG) yang harganya SGD12. Di dalamnya ada kredit SGD7 untuk anda gunakan ketika naik MRT mahupun bas. Tambang menjadi lebih murah berbanding anda bayar tunai untuk naik bas atau membeli tiket mengikut trip di MRT. Jika nak beli tiket mengikut trip, mesin tersebut hanya terima duit kecil. Paling besar not SGD5. Kami garu kepala masa tu kerana kami semua baru tukar duit dan notnya sama ada SGD10 atau SGD50.

Macam biasa, di negara yang menggunakan sistem pengangkutan MRT, amat penting kita kaji perjalanan setiap Line MRT. Kena jelas di mana patut ditukar ataupun turun. Cara paling mudah adalah Google Maps. Di Singapura, Google Maps sangat memudahkan. Kita boleh tahu bas nombor berapa, di mana mahu naik, bila bas itu akan tiba di perhentian kita malah ada maklumat tentang bas itu penuh atau tidak. Ia tepat dan sangat memudahkan. Banyak juga tempat yang anda lebih mudah sampai dengan menggunakan bas berbanding tren MRT.

Old Bibik’s Peranakan Kitchen

Memandangkan ini bukan kali pertama saya jejakkan kaki ke Singapura, kali ini kami menumpukan tempat-tempat untuk makan. Yang pertama kami kunjungi adalah Old Bibil’s Peranakan Kitchen. Bagi mereka yang beragama Islam, jangan risau. Restoran ini menghidangkan makanan halal. Untuk sampai ke sini, kami turun di stesen MRT Bugis, cari Exit A dan tunggu bas nombor 33 di situ. Kami turun di perhentian bernama Maranatha Hall. Hanya perlu berjalan 300 meter ke Joo Chiat Road. Restoran ini dibuka jam 12.00 tengah hari sehingga 10.00 malam.

Antara menu yang kami pesan adalah Rendang Daging, Rendang Kambing, Telur Dadar Cencalok, Jiuhucha (sejenis sayur daripada sengkuang yang dihiris bersama cendawan, kemudian dibalut dalam daun salad) dan Asam Pedas Barramundi. Untuk lima orang makan, keseluruhan harga termasuk air minuman dalam SGD113. (Ha…ambik kau. Hahaha. Kawan-kawan aku dah la kaya-kaya.) Minuman yang anda wajib cuba Guava Citrus Tea. Memang terbaik dan saya belum jumpa lagi di Malaysia. Makanan yang paling sedap bagi saya adalah rendang. Saya boleh katakan, restoran di Malaysia pun jarang buat sesedap itu. Rendang itu seperti dimasak oleh mak dan nenek kita di kampung, sedap dan asli!

Menu yang kami pesan untuk lima orang makan

Orchard Road

Dari Old Bibik’s Peranakan, kami ke Orchard Road. Nak mudah, naik bas nombor 16. Tempat tunggu bas hanya beberapa meter dari restoran tadi. Turun di Winsland House dan kemudian berjalan kaki dalam 5 minit ke situ. Tak jauh. Senamanlah sikit, dah makan banyak tadi.

Apa yang ada di Orchard Road? Orang yang suka sangat pergi Singapura memang selalu tak lepaskan untuk menjejakkan kaki di sini. Ia sebenarnya tempat membeli belah. Segala mak nenek outlet dan pusat membeli belah terdapat di sini. Selain membeli belah, seronok juga berjalan-jalan jamu mata. Segala kafe, restoran cantik-cantik dan bangunan lama Peranakan boleh anda nikmati di Orchard Road. Kalau nak terus ke sini naik MRT pun senang saja. Ia memang tempat tumpuan di Singapura.

Killiney Kopitiam

Setelah penat berjalan, kami mencari tempat nak basahkan tekak. Kami singgah di Killiney Kopitiam. Ia terletak di Killiney Road, tak jauh dari Orchard Road. Jalan kaki beberapa minit saja dah sampai. Kedai kopi ini sudah wujud sejak tahun 1919 dan kemudian dibeli oleh pelanggan setia kedai kopi itu yang bernama Mr. Woon pada tahun 1993. Kedainya pun bangunan lama. Tempat ini memang begitu terkenal dengan kopinya. Saya pun memesan kopi O ais dan ternyata, ia sangat sedap dan beraroma. Jika anda mengikuti saya di Instagram, anda akan tahu betapa gilanya saya terhadap kopi. Dan secara peribadi, saya boleh katakan Killiney Kopitiam memang menghidangkan kopi tempatan yang sangat sedap.

Mustrafa Centre

Selepas berehat sambil minum kopi, kami menuju ke Mustafa Centre menaiki bas. Kami menunggu di perhentian di hadapan Concord Hotel dan menaiki bas nombor 65. Basnya dua tingkat. Ada satu peristiwa di dalam bas itu, malu nak cerita tapi kongsikan jugaklah. Saya dan kawan-kawan naik ke tingkat dua bas tersebut. Tak ada tempat duduk kosong. Jadi kami berdiri di laluan dan salah seorang daripada kami berdiri di tangga. Tiba-tiba pemandu bas naik dan menyuruh kami turun. Menurutnya, kami tak boleh berdiri di laluan di tingkat dua. Dan rupa-rupanya ada notis yang ditampal melarang sesiapa berdiri di ruang atas. Aduh, malu betul kena panggil turun. Bukan tak boleh berdiri. Boleh, tapi di tingkat bawah saja. Kami turun di Broadway Hotel. Mujur tak lama dalam bas itu sebab dah malu.

Dari Broadway Hotel, kami berjalan kaki dalam 5 minit ke Mustafa Centre. Baik, nak cerita, Mustafa Centre ini sangat menarik. Ia sebuah pusat membeli belah yang beroperasi 24 jam. Barang-barang di sini sangat murah. Bukan murah biasa-biasa, memang SANGAT MURAH! Nak beli minyak wangi, coklat, pencuci muka, gincu, namakan saja, semuanya ada dan harganya memang rendah! Saya tak ketinggalan membeli coklat bar yang besar dengan harga SGD1.70. Murah kan? Rasa menyesal pula tak beli minyak wangi. Nak beli beg yang empat roda pun murah sangat. Macam-macam bentuk dan jenama.

Arab Street

Suasana di Arab Street menjelang malam

Selepas puas membeli belah di Mustafa Centre, kami ke Arab Street. Jalan kaki selama 15 minit saja dari situ. Tak jauh. Arab Street ini memang terkenal di Singapura. Ada sebuah masjid terkenal iaitu Masjid Sultan di situ. Terdapat banyak restoran halal. Kami memang dah sasarkan untuk ke beberapa kedai makan di situ walaupun perut masih kekenyangan. Jika anda ke Arab Street, bolehlah cari Sup Tulang Merah Haji Kadir. Atau boleh juga mencari Murtabak Singapura yang terkenal di Zam Zam Restaurant. Restoran-restoran ini semua jarak jalan kaki saja dari Arab Street atau Masjid Sultan. Cita-cita saya nak makan Sup Tulang Merah terpaksa saya benamkan kerana masih kekenyangan. Jadi kami makan murtabak di Restoran Zam Zam itu sajalah. Jika anda setakat dua tiga orang, ambil murtabak yang saiz kecil saja. Kalau ambil saiz besar, jenuh nak habiskan. Jangan lupa pesan kuah kari kambing untuk dicicah dengan murtabak. Sedap kuah kari kambingnya. Sesuailah dengan murtabak yang agak kering itu.

Julie Bakes dan Overrun Sg

Kawan-kawan saya memang dah sasarkan nak ke Julie Bakes. Ia kedai kek halal yang terkenal kerana berperisa kuih muih tempatan. Kek Ondeh-ondeh mereka memang terbaik. Kek Serawa Durian pun sangat sedap. Tak jauh dari situ ada kedai jual aiskrim cendol iaitu Overrun Sg. Serius, Cendol Overrun memang sangat sedap. Ia bukan seperti cendol kita di Malaysia. Ia sebenarnya sejenis aiskrim berperisa cendol. Ada aiskrim cendol durian juga tapi kami tak pesan yang itu. Cendol Overrun adalah menu utama yang paling laris dan harganya SGD6. Beli satu saja dah cukup. Boleh dikongsi berempat bagi orang perempuan. Ia wajib cuba jika anda ke Arab Street. Saya kira, Arab Street memang lebih sesuai dikunjungi pada waktu malam. Ia sungguh meriah dan sangat mesra pelancong. Nak solat pun mudah. Tandas di masjid pun sangat bersih.

Pulang ke Pangkuan

Kami lepak makan kek dan aiskrim Cendol Overrun di taman berhampiran sehingga hari makin gelap. Dari Arab Street, kami berjalan kaki ke Queens Street. Ada stesen bas di situ. Terdapat bas yang terus ke Larkin Sentral, Johor Bahru selang 20 minit. Tambangnya SGD3.30. Boleh guna kad dan tunai. Bas itu menggunakan lebuhraya di Singapura dan tidak berhenti di perhentian-perhentian lain di Singapura. Kami bernasib baik kerana jalan tidak sesak. Di Kastam Singapura, sistem elektronik turut boleh digunakan bagi mereka yang bukan rakyat Singapura. Tambak Johor juga tidak sesak malah ada laluan yang dikhususkan untuk bas. CIQ di Johor Bahru juga tidak sesak. Walaupun bas boleh terus ke Larkin, kami turun di CIQ saja kerana kereta kawan-kawan saya parkir di situ.

Berakhirlah trip sehari kami di Singapura. Saya hanya membelanjakan tak lebih SGD70 bagi keseluruhan perjalanan di Singapura. Ia dah termasuk membeli belah di Mustafa Centre. Kalau tak ‘makan besar’ di Old Bibik’s Peranakan, mungkin boleh jimat banyak lagi. Apapun, makan semua kami kongsi bayar. Jadi tidaklah terasa sangat. Sangat mudah ke mana-mana di Kota Singa dengan pengangkutan awam berpandukan maklumat dan panduan di Google Maps. Tambang pun lebih murah dengan menggunakan kad. Rata-rata tambangnya sekitar SGD1 ke SGD2 saja. Jadi, apa tunggu lagi, sila tag artikel ini dan kongsi dengan kawan-kawan. Buatlah trip sehari pun cukup. Singapura dekat saja. Travel, jangan tak travel!