Artikel ditulis oleh :Ali Gaban

Beliau merupakan penulis buku Travelog Memoir 20 Pengembara dan boleh ikutinya di Facebook https://www.facebook.com/aligaban.art

****

Berbasikal di Jepun

Berbekal basikal lipat dan khemah, Ali dan sahabatnya Hakimi tekad berkayuh mengelilingi bahagian tengah Jepun yang merangkumi Osaka, Nagoya, Hamamatsu, Shizouka, Tokyo, Saitama, Gunma dan Kyoto untuk meneroka peluang barangan preloved yang berpotensi tinggi diniagakan di Malaysia. Jumlah keseluruhan jarak kayuhan dalam pengembaraan ini dianggarkan lebih daripada 1,000km.

Pada mulanya, objektif pengembaraan hanya sekadar menikmati keindahan dan keunikan negara Jepun dengan lebih dekat. Idea untuk meneroka pasaran barangan preloved Jepun tercetus apabila mereka membuat persinggahan pertama di sebuah kedai barangan preloved, melihat sendiri barangan seperti bag tangan berjenama, kasut, jam tangan, keperluan perkhemahan, basikal berjenama, barangan aksesori kereta, baju berjenama, alat mainan dan banyak lagi. Hampir kesemua barangan preloved mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dikembangkan.

topi preloved jepun

 

Kedai barang preloved jepun

Akhirnya, rancangan asal bertukar menjadi kembara serampang dua mata. Peluang yang ada digunakan sehabis baik sehinggalah segala kos yang dikeluarkan untuk menampung perbelanjaan pengembaraan dapat ditampung semula dengan menjual kembali barang dagangan ini di Malaysia.

Selain daripada objektif tadi, melebarkan lagi jaringan kenalan baru  juga menjadi misi tambahan pengembaraan kali ini.

Menurut Ali, “Saya menginginkan suatu perkembangan dunia fesyen yang sihat. Generasi baru yang ingin menceburkan diri dalam dunia fesyen dapat menikmati produk yang berkualiti, pada harga yang berpatutan.”

handbag preloved jepun
jam preloved jepun

Menjadi tanggungjawab individu yang terkehadapan dalam industri barangan terpakai seperti bundle, preloved dan sebagainya untuk meneroka peluang baru bagi memastikan permintaan daripada pasaran dipenuhi. Dari situ, wujudlah satu kitaran ekonomi yang sihat serta berdaya saing, selain dapat mengimbangi harga agar sentiasa berpatutan dan mampu milik.

Perjalanan kali ini sangat mudah dan teratur, dengan jarak kayuhan 40km-50km sehari, dan hanya tidur di tapak perkhemahan yang diluluskan oleh pihak polis di sana. Banyak juga lokasi luar bandar yang dapat diterokai. Selain daripada meneroka peluang barangan preloved, mereka juga dapat mengenal pasti perkembangan ekonomi setempat yang berpotensi dijadikan peluang.

berkhemah

Dianggarkan lebih seratus buah kedai yang dikunjungi sepanjang kayuhan tersebut. Antara nama kedai yang dikunjungi adalah 2nd Street, Bookoff Plus, Bookoff Super Bazaar, Hard Off, Off House, Mandai Store, Bon Bon Wednesday, Pick Up dan banyak lagi.

book-off jepun
2nd street

Ia merupakan pengalaman baru yang sihat untuk dicuba oleh generasi muda masa kini. Banyak ilmu yang boleh dipelajari selain mengasah hard skill pengembara seperti kemahiran survival hidup seharian. Kayuhan juga mengajar mereka kemahiran soft skill seperti hubungan dan komunikasi awam, memahami bahasa badan, ilmu negosiasi, perancangan masa, perancangan perjalanan dan banyak lagi. Inilah modal insan yang diinginkan agar generasi baru sentiasa siap siaga untuk menghadapi kemungkinan yang mendatang.

ali gaban

Harapan daripada Ali, rebutlah peluang yang ada dengan kemudahan yang telah disediakan seperti penerbangan tambang murah yang berbaloi dan kemudahan visa percuma. Tambah beliau lagi, rancangan perjalanan perlu kemas supaya bajet pengembaraan tidak tersasar. Banyak buku-buku yang boleh dijadikan rujukan bagi merancang perjalanan anda, antaranya buku nukilan Jack S. Adli iaitu Road To Japan.

Ali dan Hakimi